Klik disini

Search This Blog

Loading...

Tuesday, June 22, 2010

Panggilan untuk menyertai skuad Bola Rotan

Salam
Satu kejohanan akan diadakan pada 10 dan 11 bagi acara regu dan 31 Julai - 1 Ogos bagi acara berpasukan.
Bola Rotan akan menghantar pasukan bagi tujuan ini.
Dijemput kepada mana - mana pemain yang berminat untuk menyertai skuad kami.
Baju dan elaun makan juga disediakan. Sila respon segera kerana nama perlu adihantar hari ini.
Hubungi saya di 013 - 388 9214

Monday, June 21, 2010

Kenangan dulu - dulu.. Bagaimana saya mula main sepak takraw

Salam.
Merenung anak saya yang kedua - Nur Basyira Wafa suka sangat bermain dengan bola sepaktakraw saya, mula tergetus di hati tentang bagai mana saya mula - mula jatuh cinta pada sukan ini. Seingat saya, sepanjang bersekolah rendah, saya hanya mampu cemburu melihat rakan - rakan bermain dan mewakili sekolah. Hebat betul mereka masa itu.

Saya mula serius bermain takraw ketika di tingkatan 2 - Sekolah Menengah Tinggi Kajang menjadi pusat semaian saya. Ketika itu saya hanya mampu melihat pelajar senior membelasah bola - antaranya Aizal Lamin (bekas pemain bolasepak Selangor) dengan libas gulung dan maniamnya. Saya masih gemar dengan bola sepak ketika itu dan sepaktakraw ini hanyalah sukan ketika bermain di dalam dorm atau ketika hujung minggu sahaja. 

Satu pagi, pemilihan skuad sepaktakraw sekolah dijalankan oleh Cikgu Razak, yang juga merupakan jurulatih bola sepak sekolah kami. Saya yang tidak pandai menimang bola takraw ini sengaja pergi ke pemilihan itu atas dasar ingin ponteng Prep pagi. Maka kami pun beratur menanti giliran. Ujian awalnya ialah setiap orang perlu menimang lebih dari 10 kali. Seorang demi seorang melepasi had atau terkandas dan tiba giliran saya. Gugup dibuatnya...

Satu..dua..alahai..
Cuba lagi
Satu..dua..adusss..

"Kalau setakat timbang macam ni..baik kamu balik aje!!!"
Tegas Cikgu Razak dan menusuk jiwa saya ketika itu.

Saya pun melangkah longlai dan mula memikirkan nasib diri. Bermula dari petang hari yang sama, saya tidak lagi ke padang untuk bermain bola. Saya mula menimang bola takraw...

Wednesday, June 16, 2010

TERENGGANU SEKAT SELANGOR RAIH EMAS SEPAK TAKRAW BERPASUKAN


AYER KEROH (15 JUN 2010 ) - Terengganu menamatkan kemarau 10 tahun gagal meraih sebarang pingat sepak takraw apabila menjuarai acara berpasukan lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) XIII Melaka 2010 menewaskan penyandang juara, Selangor 2-1 di Dewan B Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Begitupun, bukan tugas mudah buat Terengganu berdepan dengan Selangor yang menjuarai acara itu pada temasya yang sama dua tahun lalu yang terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menafikan hajat Selangor yang turun beraksi selaku pasukan pilihan.

Mata pertama Terengganu hadir menerusi regu pertama dibarisi Mohamad Subbha, Mohamad Fadzli dan Azrol Nizam mudah mengatasi regu Selangor menerusi gandingan Muhd. Shafiq Sharif, Ali Alhamidi dan Mohd. Syafiq dengan 21-16 dan 21-13. Begitupun, Selangor bangkit pada permainan kedua apabila gandingan mantap trio kebangsaan, Ahmad Haikal Shahrom, Norshahruddin Md Ghani dan Farhan Adam terpaksa berhempas pulas sebelum dapat membenam gandingan Zulkifli Razak, Hisham Kamaludin dan Mohd. Safarudin 19-21, 21-18 dan 21-14.

Kemenangan itu mengikat kedudukan 1-1. Mata kemenangan Terengganu diperolehi menerusi gandingan Izurin Refin, Mohd. Saiful Razaki dan Muzhaffar Zamir Daiman yang menang mudah 21-17 dan 21-15 menewaskan gandingan Muhamad Rashid, Mohamad Arif Busu dan Hairol Anuar.

Jurulatih Terengganu, Ahmad Mohd. Zin berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha gigih dan komitmen tinggi pemain dalam usaha menebus kekecewaan Terengganu pada Sukma dua tahun lalu setelah kecundang di tangan Selangor. ``Saya gembira dan bersyukur atas kejayaan ini dan kemenangan ini juga sekali gus memastikan pingat emas menjadi milik kami yang kali terakhir diperoleh 10 tahun lalu.

``Tapi apa pun saya ingin memuji semangat pemain yang begitu berkobar-kobar untuk membalas dendam setelah kami dikecewakan oleh Selangor pada Sukma 2008 di peringkat separuh akhir acara ini,'' katanya.

Dalam acara berpasukan wanita pula, Kedah berjaya mempertahankan kejuaraan apabila menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam perlawanan akhir..

Tuesday, June 8, 2010

Ulasan Produk - Bola Marathon MT.201

Salam
Seperti yang dijanjikan, saya akan memulakan segmen ulasan produk (product review) bagi sukan kegemaran kita semua ini. Untuk memulakannya saya telah membeli bola Marathon MT.201 bagi menguji dan membuat ulasan mengenainya.

Sebelum itu, sekiranya pembaca sekalian ada ternampak undian yang blog ini jalankan iaitu jenama bola kegemaran anda, setakat saat saya menulis ini, 38 orang telah mengundi dan keputusannya adalah seperti berikut.

Ok, mari kita mulakan mengenai produk ini. Saya mula mengenali jenama ini apabila mula bermain sepaktakraw hampir 20 tahun yang lalu. MT.201 ini sering digunakan di kebanyakan kejohanan sama ada peringkat antarabangsa mahupun domestik. Dengan pensijilan ISO 9001, MT.201 ini diiktiraf oleh ISTAF bagi sebarang kejohanan dibawah naungan ISTAF. Di Malaysia, produk ini d import oleh MESUMA Sports Sdn. Bhd.


Di bahagian luar kotak bola ini tertera satu pernyataan seperti berikut:
"The Original Inventor"- Marathon is the original inventor of Synthetic Takraw ball. With Modern production technology, the quality, standard dan safety of Marathon ball can be ensured

Ini merupakan satu fakta yang terpaksa di telan oleh semua di mana sepengetahuan saya, ketika rakyat Malaysia masih menggunakan bola rotan untuk bermain sukan ini, Thailand telah memulakan langkah untuk membina bola ini dari bahan sintetik agar ia lebih ringan dan kurang perit berbanding rotan. Dan hakikatnya bola ini menjadi popular dengan cepat kerana Marathon berjaya menguasai ISTAF dan semua perlawanan perlu menggunakan bola ini. Setakat hari ini, bola ini diguna pakai di sukan berikut:

Sukan Asia - Beijing (1990) Hiroshima (1994) Bangkok (1998) Pusan (2002) Doha (2006)
Sukan SEA - Singapura (1993) Chiang Mai (1995) Jakarta (1997) Brunei (1999) Kuala Lumpur (2001) Vietnam (2003) Manila (2005) Bangkok (2007) Laos (2009)

Selain itu juga MT.201 ini di iktiraf oleh badan - badan berikut


The Takraw Association of Thailand
International Sepak Takraw Federation
Asia Sepaktakraw Federation
The Sport Authority of Thailand

Saya menguji bola ini di gelanggang Re - Union di Cheras Perdana. Dimainkan hampir selama 2 jam, berikut adalah keadaan bola sebelum dan selepas 2 jam.

Sebelum

Selepas - Calar pada tulisan Bola Rotan yang tidak terlalu terjejas

Kesan calar yang tidak teruk walaupun gelanggangnya dikelilingi batuan 
dan rumput serta libasan dan sepakan kuat dari pemain

Pada hemat saya, bola ini memiliki apa yang dikehendaki oleh pemain sepaktakraw. Daya anjal yang sedap untuk di timang, bentuknya yang cukup bulat dan kurang bersegi, tidak terlalu berat atau terlalu ringan dan pergerakannya lebih mudah di agak. Bola ini juga memiliki daya tahan yang bagus kerana berdasarkan pengalaman saya, bola MT.201 ini lambat hancur walaupun dimainkan dengan kerap dan kasar.

Secara keseluruhan saya berikan

 untuk MT.201

Sila kemukakan komen anda berkaitan produk ini diruangan komen. Terimakasih

Monday, June 7, 2010

Bola Sepak Takraw..ada berapa lubang?

Salam.
Saya akan memulakan segmen ulasan produk (product review) mengenai apa saja berkaitan Sepak Takraw. Ini bagi tujuan berkongsi pandangan mengenai pengalaman dan pengamatan saya terhadap sesuatu produk. Saya tidak menggunakan sebarang kaedah saintifik bagi mengukur sesuatu produk kerana ia hanyalah semata - mata pandangan peribadi saya sahaja.

Saya ingin mulakan dengan perkara penting dalam sukan ini iaitu bola - ya bola sepak takraw yang pelbagai gred dan warna. Ia sangat berkait rapat dengan blog ini kerana saya menamakan blog ini bola rotan kerana asal permainan ini ialah menggunakan bola rotan.


Persoalan awal yang harus diketahui oleh kita semua mengenai bola ini ialah, bahan, saiz, warna dan jenama. Namun satu soalan cepu emas kepada peminat sukan ini ialah - Berapakah jumlah lubang yang terdapat pada setiap biji bola takraw? Jawapannya ialah 12 lubang!!

Oleh itu, kepada pengeluar apa juga produk berkaitan sukan ini - sama ada peralatan, minuman, makanan, pakaian dan sebagainya, anda di alu - alukan untuk menghubungi saya bagi tujuan ulasan produk ini.

Nantikan entri saya yang pertama mengenai bola jenama Marathon......

Thursday, June 3, 2010

Sepak Raga Tuju

Tu dia..ramainya..

Salam.
Sejak saya berkahwin dengan isteri saya yang berasal dari Kulim, saya dapat menyaksikan satu kelompok pemain yang lebih gemar bermain sepakraga dalam bulatan berbanding Sepak Takraw. Saya mula melihat kelompok sebegini ketika mula - mula mengembara di Perlis ketika masih menuntut. Mereka berkumpul di Stadium Kangar ketika itu dan begitu asyik merembat, menimang, membadik dan pelbagai kemahiran lain yang tidak saya kuasai. Namun kini di Kulim, saya berpeluang mendekati kelompok ini.

Pakai seluar jeans je brader ni...tapi terer betul

Seingat saya, semasa mula - mula mendirikan rumah tangga, saya pernah sekali menyertai mereka bermain - pada sangkaan saya ia hanyalah sepakraga bulat seperti yang biasa dimainkan di sebelah Lembah Kelang ini. Tetapi saya silap kerana apabila mula menyertai bulatan ini, lunyai saya dirembat oleh pemain - pemain yang sangat cekap mengawal bola mereka. Rupa - rupanya ia dinamakan sepak raga tuju dan ia mempunyai sistem mata dan gelanggangnya yang tersendiri.

Gelanggang yang di cat di atas jalan - perhatikan saiz kotak yang mana setiap pemain harus berdiri di dalamnya dan merembat bola ke dalam kawasan kotak lawan

Saya ke Dataran Kulim untuk mengintai penggemar sepak raga tuju ini. Dengan kasut yang pelbagai, ada yang berseluar jeans dan ada pula yang hanya sambil menggenggam kotak rokok, mereka begitu tekun dan bersahaja mempamerkan kemahiran kawalan bola yang tinggi. Setiap hari mereka akan kemari dan andainya hujung minggu, jumlah mereka berlipat ganda kerana ada yang datang dari jauh untuk turut serta dalam Sepak Raga Tuju ini.  Setelah mundar mandir beberapa kali, saya selamba mendekatkan diri ke tepi gelanggang. Rezeki saya kerana beberapa orang lama yang turut bermain Sepak Takraw di Kampung Keladi turut ada. Saya terus menemuramah mereka mengenai sukan ini.

Perhatikan gaya kaki pakcik tu merembat bola..siap placing tu...

Menurut Mat Temenggung (sila lihat entri Siri Jelajah Gelanggang Kampung Keladi), Sepak raga Tuju ini merupakan bentuk awal Sepak Takraw yang menggunakan jaring seperti yang kita lihat hari ini. Sepak Raga Tuju sangat mencabar kerana selain kemahiran mengawal bola, kemahiran menyerang dengan tepat juga perlu kerana mata hanya boleh dipungut sekiranya serangan kepada pihak lawan menepati ruang yang diberikan dan bola harus disasarkan antara lutut ke bawah. Setiap serangan yang berjaya meraih 2 mata. Berbanding Sepak Takraw yang melihatkan aksi libasan dan servis sebagai punca mata, Sepak Raga Tuju pula memerlukan kebolehan menyepak dengan kekuda kaki dengan laju dan tepat supaya bola bergerak deras menuju ke kaki lawan.

Lihat saja bagaimana bola menuju laju ke arah lawan

Sepakraga Tuju sangat popular di zon utara malahan untuk mencari gelanggang sepaktakraw aktif di sekitar Alor Setar juga agak sukar kerana mereka lebih gemar bermain Sepakraga Tuju. Walaupun mereka ini tidak menggunakan sistem mata ketika gambar ini saya rakam kan, tetapi persaingannya tetap hebat seolah - olah mereka bertanding. Satu perkara yang menarik hati saya ialah, mereka sangat bersopan santun ketika bermain dengan memuji lawan, mengucap maaf andai hantaran kurang baik dan sebagainya.

Saya akan cuba meneliti sukan ini di peluang akan datang. Nantikan entri lengkap mengenainya. Lebih gambar di Facebook saya.

Wednesday, June 2, 2010

Lokasi Piala Raja Thai berpindah

Pindah lokasi

Di petik dari Harian Metro
Oleh Lokman Zainal Abidin

SEPERTI diduga dan diuar-uarkan sebelum ini, Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai edisi ke-25 akan tetap berlangsung tetapi venue kejohanan bertaraf lima bintang itu saja yang berubah - atas dasar keselamatan.

Tarikh ditetapkan sebelum ini iaitu 27 Julai hingga 1 Ogos, kekal seperti dimaklumkan dan Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) memutuskan ia akan dilangsungkan di Chiangmai dan bukannya, Bangkok.

Pengesahan pertukaran venue itu dibuat TAT menerusi surat rasmi kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan badan induk antarabangsa itu juga dilaporkan sedia memberikan persetujuan terhadap perubahan yang mahu dilakukan.


Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader, berkata TAT menghantar surat memaklumkan perubahan venue kejohanan itu kepada Istaf, minggu lalu dan badan induk antarabangsa itu tidak mempunyai halangan berhubung perkara berkenaan.


“Memang sebelum ini kami sudah mendapat tahu secara lisan venue Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai akan diubah ke Chiangmai dan minggu lalu, kami menerima surat rasmi yang ditandatangani Setiausaha Agung TAT, Thanawat Prasongcharoen berhubung perkara berkenaan.


“Chiangmai juga mempunyai lapangan terbang antarabangsa sendiri dan semua pegawai serta pemain tidak perlu berada di Bangkok. Perkara itu mengurangkan kebimbangan kami berhubung isu keselamatan dan justeru, kami tidak berhasrat meminta TAT memikirkan semula kewajaran mengadakan kejohanan itu,” katanya.


Sebelum ini, Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) itu berkata, beliau bimbang dengan tahap keselamatan semua pegawai serta pemain daripada negara gabungan Istaf serta Astaf jika kejohanan itu diadakan di Bangkok.


Isu kumpulan baju merah yang menentang kerajaan sedia ada di Thailand mencetuskan pelbagai insiden yang tidak diingini, sekali gus membuatkan Istaf mengarahkan TAT supaya mengkaji semula penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai.


TAT selaku penganjur kejohanan itu juga pernah dikhabarkan mengambil keputusan untuk menunda kejohanan itu hingga tahun depan, sekali gus mendorong Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk mengadakan Kejohanan Sepak Takraw Piala Malaysia sebagai ganti.


Tarikh dicadangkan PSM sama dengan tarikh Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai dan selepas TAT memutuskan untuk tetap mengadakan kejohanan berkenaan, PSM kini perlu memikirkan tarikh baru.