17 May 2011


Media, Marsiling sama handal

KUALA LUMPUR -- Siapa menang, siapa kalah hanyalah sebahagian atau adat dalam mana-mana perlawanan sukan termasuk sepak takraw.

APIT kanan Media Malaysia, Azmi Mansor (kiri) mengadang libasan pemain Kelab Sukan dan Komuniti Marsiling Singapura pada perlawanan persahabatan di Kompleks Sukan MSN, Taman Keramat, Kuala Lumpur, 23 April lalu. Kedua-dua pasukan seri.

Ciri ini menyerlah  apabila Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) melayani kunjungan Kelab Sukan dan Komuniti Marsiling Singapura dalam aksi persahabatan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara, Taman Keramat pada 23 April lalu.

Masing-masing terikat dengan dua kemenangan, dua kekalahan dan tiga seri selepas tujuh perlawanan berformat berpasukan yang kebanyakannya cuma diakhiri dua set selain menggunakan sistem kiraan lama, 21 mata.

PENOLONG ketua pasukan Media Malaysia, Daud Abdullah yang juga pengacara program Titik Sentuhan RTM (kanan) bersalaman dan bertukaran cenderamata dengan wakil kelab Marsiling Singapura sebelum perlawanan sepak takraw persahabatan di Taman Keramat, Kuala Lumpur, 23 April lalu

Sebenarnya yang terpenting ialah bagaimana sebuah pasukan amatur di tengah Semenanjung seperti Keris mampu menjalin hubungan persaudaraan dan membuktikan semangat kesukanan tidak sesekali membatasi walau sejauh mana pasukan dari negara jiran di seberang Tambak Johor itu.

Tempoh hampir tiga jam perlawanan itu juga sudah memadai untuk Keris dan Marsiling terus menyuburkan sepak takraw - sukan warisan budaya bangsa Melayu yang menjadi matlamat utama kedatangan pelawat yang turut disertai beberapa bekas pemain kebangsaan Singapura.

Bukan menang kalah yang kami pentingkan tetapi lebih kepada untuk menikmati sebuah perlawanan sepak takraw dan terima kasih kepada Media Malaysia yang sudi bermain menentang kami, kata Zakaria Ismail, bekas tonggak kebangsaan 70-an dan 80-an Singapura, mewakili Marsiling yang turut membawa segelintir rakan seangkatannya dan jurulatih republik itu, Said Yusop.

Terdapat juga beberapa pemain muda yang kini bermain dengan kelab Home United dan E-Trust dalam Liga Perdana Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) dan Liga SCA (Persatuan Jurulatih Sukan). 

Inilah kali kedua sebuah pasukan luar negara mengadakan perlawanan persahabatan dengan Media Malaysia selepas Oman dalam tiga siri di Bukit Jalil dari Jun hingga Julai tahun lalu.

BARISAN pemain dan pegawai Media Malaysia dan Kelab Marsiling Singapura, melaungkan sorakan semangat sebelum perlawanan sepak takraw persahabatan di Taman Keramat, Kuala Lumpur, 23 April lalu.



No comments:

Post a Comment