15 May 2011

Piala Perdana Menteri - Siri Super PSM


Piala Perdana Menteri - Siri Super PSM

KUALA LUMPUR -- Habuan lumayan yang keseluruhannya bernilai lebih RM150,000 dengan RM30,000 daripadanya, menanti juara Piala Perdana Menteri dalam kemuncak Siri Super Persatuan Sepak Malaysia (PSM) malah kelayakannya sahaja, menjanjikan RM8,000 kepada pemenang tiga pusingan yang bermula bulan depan.


Ia diwajibkan kepada 17 ahli gabungan PSM kecuali di Sarawak, Sabah dan Labuan namun terbuka kepada kelab atau seluruh penggemar sepak takraw seluruh negara di bawah format pertandingan berpasukan yang menetapkan penyertaan dua regu terbuka dan sebuah regu bawah 21 tahun.
 
Turut beraksi tanpa perlu melalui kelayakan ialah skuad elit negara bimbingan Jamaluddin Hassan sekali gus memberikan mereka medan pemanas badan menghadapi Sukan SEA XXVI di Indonesia (November) dan Siri Super Istaf Kedua di Kuala Terengganu (November hingga Disember).

Tiga pusingan kelayakan ini turut menawarkan Piala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail sebagai rebutan dengan 15 pasukan terbaiknya serta skuad elit akan diletakkan ke Bahagian Satu Siri Super dan selebihnya menyertai Bahagian Dua yang berentap dalam tiga pusingan lagi sebelum memilih lapan terbaik lagi ke Piala Perdana Menteri.
   
Kelayakan pertama dijadualkan di Melaka dari 9 hingga 12 Jun diikuti Perlis sementara gelanggang bagi pusingan ketiga di Pulau Pinang (Julai) manakala sirkit Siri Super PSM ialah di Pulau Pinang (September), Johor (Disember) dan Pahang (Februari 2012).

Yuran penyertaan bagi Kelayakan Siri Super PSM 2011 ialah RM300 sebuah pasukan di samping wang jaminan RM3,000 sebagai prasyarat untuk mereka yang bertanding, menghabiskan kesemua perlawanan yang dijadualkan atau dikira lupus sekiranya gagal berbuat demikian.

Satu majlis taklimat mengenai Siri Super ini bersama Presiden PSM , Datuk Ahmad Ismail di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara, Taman Keramat, Kuala Lumpur dilangsungkan pada pukul 8.30 malam hari Rabu, 11 Mei lalu selain majlis undian Kejohanan Belia Kebangsaan 2011 di Kuala Terengganu

No comments:

Post a Comment