19 May 2011

Tenaga Pakar Thailand - Jurulatih atau Perunding?

Langkah PSM mengambil 2 bekas pemain Thailand bagi membantu skuad negara menerima reaksi yang pelbagai. Undian yang di jalankan di laman ini menunjukkan 64% dari undian memihak kepada bersetuju dengan menggunakan khidmat mereka.

Apa yang menjadi persoalan ialah, PSM dalam banyak pernyataan mengatakan 2 bekas pemain Thailand ini bukan menjadi jurulatih - sebaliknya hanya sebagai perunding. Jamaluddin, Iskandar Arshad dan beberapa yang lain masih menjadi teras kejurulatihan skuad negara.

Bolarotan berpeluang menyaksikan sendiri sesi latihan tubi skuad negara yang bakal ke China dalam masa terdekat ini. Bagi saya, kalau ini tugasan yang dilakukan , maka bukanlah perunding jawatan mereka. Sebaliknya jurulatih. Turut bersama melatih skuad ini ialah bekas tekong negara iaitu Ahmad Jais. 

Melihat kepada corak latih tubi ini, saya sangat gembira seandainya inilah sumbangan 2 bekas pemain Thailand ini kepada negara. Mungkin PSM malu mengakui bahawa kehadiran 2 susuk ini sebagai jurulatih sebenar. Susuk badan yang tegap, malah lebih baik dari pemain negara kita, tinggi dan sangat tangkas membuatkan pemain negara perlu bekerja keras membuktikan mereka layak mewakili negara.

Saya yakin kita bakal menyaksikan peningkatan aksi skuad negara. Namun kita harus realistik dengan pencapaian yang diinginkan, Berilah masa untuk mereka buktikan kemampuan mereka. Saksikan 2 klip rakaman yang sempat saya titipkan untuk entri kali ini.



1 comment:

  1. http://tekongdarat.blogspot.com/2011/05/apa-benarkah-berita-ini.html

    ReplyDelete