21 June 2011

The Next Wonder Kid - Khairul Rashidi b. Nuryakin

Teks oleh Mohd Harmizi

Itulah gelaran yang amat sesuai digambarkan kepada Khairul Rashidi b. Nuryakin. Remaja yang baru berusia 17 tahun ini dikesan bakatnya semakin menyerlah ketika berlangsungnya kejohanan Sepaktakraw KFC - Utusan 2011 Zon Selatan yang diadakan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Johor. 


Bakat baru yang perlu diketengahkan

Bolarotan.com berpeluang mendekati dan menemuramah remaja ini nyata amat tertarik dengan aksi memukau yang di tonjolkan beliau. Bermain sebagai apit kiri yang mewakili UTM B, setiap persembahan di awal pusingan berjaya ditempuh dengan cemerlang. Setiap gerakan lawan dibaca dengan amat teliti, malah serangan pihak lawan juga dipatahkan dengan baik. Berfungsi sebagai apit kiri, umpanan kepada Apit Kanannya diterjemahkan beliau dengan amat berkesan dan teliti. 

Jarang sekali kesalahan dan kesilapan yang mengundang cemas kepada rakan sepasukan ditunjukkan oleh beliau. Justeru, Bolarotan.com tanpa ragu-ragu mengangkat Khairul Rashidi b Nuryakin sebagai sensasi baru arena sukan sepaktakraw tanah air untuk masa hadapan. 

Masih lagi dalam mood bergelar Johan Antara Regu yang mewakili Johor di Sukan MSSM berlangsung di Terengganu, penyertaan beliau bersama pasukan UTM B diharap dapat memberi saingan sengit kepada regu-regu yang bertanding. Masih diusia muda, penyertaan beliau dalam kategori terbuka di kejohanan ini merupakan pendedahan yang amat berguna dan berharga. 


Menerusi kejohanan kompetetif sebegini, beliau mampu menambah pengalaman dan mempertingkatkan mutu persembahannya. Di tanya mengenai peluangnya dalam kejohanan ini, dengan bersahaja beliau tidak meletakkan harapan yang tinggi. Hanya kerana minat yang tinggi dan semangat kecintaan terhadap sukan sepaktakraw, membuatkan beliau bersemangat menyertai kejohanan ini. Kemenangan bagi beliau adalah satu bonus. Kredit diberikan untuk guru yang membimbing dan mentor beliau, Cikgu Ali.              

No comments:

Post a Comment