13 June 2011

RM20,000 HABUAN JUARA SIRI SUPER PSM

PRESIDEN PSM, DATO' AHMAD ISMAIL (KIRI SEKALI); SETIAUSAHA AGUNG PERSEKUTUAN SEPAK TAKRAW ANTARABANGSA (ISTAF), ABDUL HALIM KADER (KANAN SEKALI); BENDAHARI ISTAF DAN PERSATUAN TAKRAW THAILAND (TAT), BOONCHAI LORHPIPAT (DUA DARI KANAN) SERTA (DUA DARI KIRI) JEFF CHUE, PENGARAH URUSAN UFA SPORTS ASIA - AGENSI PEMASARAN ISTAF)



KUALA LUMPUR -- Tiga pusingan kelayakan Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Siri Super Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2011 dengan dua divisyen yang dihajatkan, gagal menjadi kenyataan setelah hanya 18 pasukan yang mampu disahkan penyertaan mereka.

Sebaliknya kejohanan liga berpasukan julung kali ini akan diteruskan menerusi hanya Siri Super sebanyak tiga pusingan dengan Dewan Universiti Teknikal Melaka (Unitem), Durian Tunggal menjadi gelanggang sirkit pertamanya dari 9 hingga 12 Jun ini.

Juara Piala Emas Khir Johari, Mac lalu, Selangor mengetuai 12 ahli gabungan PSM di seluruh negara yang bakal berentap dalam Siri Super di samping Johor, Kedah, Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. 

Tidak ketinggalan ialah skuad elit negara dan empat kelab - Universiti Teknologi Mara, Majlis Sukan Kedah, Majlis Sukan Negeri Sembilan dan Tentera Laut Diraja Malaysia namun empat ahli gabungan PSM yang tidak menyertainya ialah Negeri Sembilan, Sarawak, Sabah dan Labuan.

Juara Siri Super PSM selepas tiga sirkit (di dua lagi gelanggang yang belum dinamakan), bakal turut mengaut RM20,000; naib juara RM15,000; tempat ketiga RM10,000, keempat RM7,000; kelima RM5,000; keenam RM3,000; ketujuh RM2,000 dan kelapan RM1,000.  

Malah lapan pasukan terbaik siri ini akan bertarung sekali lagi bagi menentukan juara pusingan kemuncak, Piala Perdana Menteri sekali gus mengaut ganjaran lebih lumayan yang kemungkinan dilangsungkan pada tahun depan.

Liga Siri Super turut mewajibkan penyertaan regu bawah 21 tahun di antara dua regu terbuka dalam setiap pasukan manakala kemenangan 3-0 atau 2-1 dalam perlawanan mereka akan mewakili 2 mata dan tiada mata bagi yang kalah.

No comments:

Post a Comment