24 June 2011

Selangor peneraju Siri Super PSM

Di petik dari Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR - Juara Piala Emas Khir Johari 2011, Selangor membuktikan penguasaannya di arena tempatan dengan menerajui sirkit pertama Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Siri Super Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) 2011, kelmarin. Mereka mengumpul 14 mata selepas memenangi ketujuh-tujuh perlawanan mengikut format liga berpasukan ini di Dewan Sukan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka yang bermula Khamis lalu hingga kelmarin. Membariskan bekas bintang elit seperti Mohd. Futra Abd. Ghani, Ariff Ramli dan Affandi Abdul Rahman, Selangor menewaskan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah 3-0. 

Namun, mereka terpaksa berhempas pulas untuk menundukkan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Melaka dan Terengganu 2-1. Mengekori Selangor ialah naib juara Piala Emas di Kuching, Mac lalu - Kuala Lumpur dengan 12 mata selepas menewaskan Perak dan Pahang 3-0 selain mengatasi Kedah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pahang 2-1. Di tangga ketiga ialah Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masing-masing terikat dengan 10 mata, diikuti oleh ATM, Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS) dan UiTM yang turut berkongsi lapan mata. 

Siri Super yang turut menawarkan Piala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail sebagai rebutan, berlangsung dalam tiga sirkit dengan Kangar, Perlis menjadi gelanggang sirkit keduanya dari 23 hingga 25 September ini. Sebanyak 18 pasukan termasuk kesemua ahli gabungan PSM kecuali Negeri Sembilan, Labuan, Sabah dan Sarawak menyertainya yang turut mewajibkan penyertaan sebuah regu bawah 21 tahun di samping dua regu terbuka. Skuad elit yang turut menyertainya bagaimanapun hanya akan mula beraksi dan mengharungi banyak perlawanan tertunggak pada sirkit kedua kerana sedang menyertai Kejohanan Persahabatan Antarabangsa di Beijing dan Piala Datuk Bandar Hatyai, Thailand. 

Juara Siri Super PSM selepas tiga sirkit, bakal turut mengaut RM20,000, naib juara RM15,000,tempat ketiga RM10,000, keempat RM7,000, kelima RM5,000, keenam RM3,000, ketujuh RM2,000 dan kelapan RM1,000. Malah, lapan pasukan terbaik siri ini akan bertarung sekali lagi bagi menentukan juara pusingan kemuncak, Piala Perdana Menteri, tahun depan sekali gus mengaut ganjaran lebih lumayan.

No comments:

Post a Comment