01 June 2011

Utamakan dulu kepentingan negara – Tok Mat


Disalin dari Utusan Online - Sumber asal disini

KUALA LUMPUR – Majikan yang memiliki pemain skuad elit sepak takraw disaran meletakkan kepentingan nasional mengatasi mana-mana kejohanan kecil tempatan.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail berkata, sekian banyak pelepasan buat pemain elit untuk majikan masing-masing, mampu menjejaskan program persediaan negara menghadapi Piala Dunia, Julai ini.
Menyedari majikan berkenaan turut berhak ke atas pemain elit, beliau turut berharap agar pihak berkenaan lebih berani menampilkan muka baru dari kalangan kakitangan tetap mereka sekali gus membantu PSM mengenal pasti mereka yang turut berbakat dan boleh digilap lagi.

“Baru-baru ini program persediaan skuad elit tidak dapat dijalankan sepenuhnya apabila khidmat pemain berkenaan kerap diperlukan bagi Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (Maksak), Sukan Persatuan Badan Berkanun dan Kejohanan Antara Kor Perkhidmatan Tentera.

“Enam minggu untuk pemain elit menjalani program penyesuaian di ISN (Institut Sukan Negara) juga kerap tertunda. Saya bimbang atas faktor ini, kita akan terus mengecewakan harapan peminat dalam Piala Dunia di Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kebimbangan Ahmad ternyata berasas memandangkan hanya tinggal sebulan 20 hari untuk Piala Dunia anjuran Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dengan kerjasama PSM ini dilangsungkan di Stadium Titiwangsa dari 21 hingga 24 Julai.

Sementara itu, skuad elit bimbingan Jamaluddin Hassan akan menghantar tiga regu ke Kejohanan Piala Datuk Bandar Hatyai, Thailand dari 10 hingga 12 Jun sebelum menyertai Kejohanan Persahabatan Antarabangsa China di Beijing dari 11 hingga 15 Jun.
Terdahulu atas sebab keadaan cuaca dan pengangkutan, kejohanan di Beijing anjuran Persatuan Sepak Takraw China (CSA) ini dijadualkan dari 25 hingga 31 Mei dengan gelanggang asalnya ialah di Wuhai, Dalaman Mongolia.

No comments:

Post a Comment