01 August 2011

Salam Ramadhan!


Ramadhan muncul lagi. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana diberikan peluang untuk kita bersama mengharungi Ramadhan kali ini. Bulan penuh keberkatan, nikmat, rezki, keampunan dan pelbagai lagi kelebihan sebaiknya kita manfaatkan bersama.

Cuti rehat kepada pemain - pemain sepaktakraw tegar kecuali buat skuad Malaysia yang perlu terus berlatih untuk persiapan Sukan SEA yang bakal menjelma. Namun saya pasti ramai sahaja pemain - pemain yang mengambil kesempatan malam minggu atau malam Sabtu untuk bergasak - sama ada main kosong atau melayan Liga Tengkorak! Usai Tarawikh dan Moreh semestinya gelanggang - gelanggang yang memiliki pengcahayaan yang mencukupi diserbu pemain - pemain yang bakal membawa mereka terus bersahur!

Buat regu - regu yang bakal bersaing untuk KFC - Utusan Zon Tengah pastinya anda perlu mengekalkan kawalan bola dan kecergasan kerana kita bakal bersua hanya 2 minggu selepas Aidilfitri. Ketika lemang, ketupat dan rendang masih menjadi santapan serta demam rumah terbuka masih dalam senarai jemputan, anda perlu bergasak untuk mencari slot akhir KFC - Utusan Grand Finale yang bakal berlangsung di UITM Shah Alam pada Oktober nanti. 

Apa pun yang bakal anda lakukan pada Ramadhan ini, pastikan ia mampu memaksimumkan hasil pahala dan barokah kehidupan agar bekalan kita ke akhirat kelak menjamin diri kita. Mungkin Ramadhan ini juga satu titik tolak baik untuk kita yang masih belum menutup aurat sepenuhnya terutama ketika di gelanggang. Dalam bersukan jangan lupa tuntutan menutup aurat ya! Begitu juga solat - jangan puasa tapi tidak solat dan menutup aurat!

Saya mewakili krew Bolarotan.com memohon kemaafan andai ada tulisan, laporan serta liputan kami yang ada mengguris hati mana - mana  pihak terutama PSM. Bukanlah niat kami bermusuhan dengan sesiapa tetapi sekadar ingin menyumbang kepada penambahbaikan sukan ini di negara kita.

Salam Ramadhan dari Bolarotan.com. Kullu A'amin Wa Antum Bi Khoir!

No comments:

Post a Comment