29 August 2011

Minal Aidil Wal Faiizin - Selamat Hari Raya Aidil Fitri


Pembaca, peminat, penggiat dan anda semua di luar sana; saya mewakili diri saya dan warga kerja Bolarotan dengan ini ingin mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf andai ada mana - mana hati terguris sepanjang kami melakukan tugasan ini. Terutama buat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM). Dari Presiden sehinggalah ke pemain - pemain yang pernah diulas, di kritik atau di puji secara tulisan, lisan atau sembang Facebook. Niat kami bukanlah ingin memburukkan mana - mana pihak tetapi ikhlas untuk membantu kepada perkembangan dan kemajuan sukan tanah air.

Kami juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua dengan harapan sambutan kali ini akan menjadi sambutan terbaik buat diri kita semua. Semoga ibadah di bulan Ramadhan menjadikan kita lebih dedikasi kepada Islam sebagaimana kita bersungguh - sungguh menjalani latihan sepaktakraw.

Buat pemain Malaysia yang sedang berusaha menyiapkan diri, cubalah sebaik mungkin membersihkan contengan yang terpalit dalam sejarah takraw negara. Peminat semuanya mengharapkan kalian melakukan terbaik untuk negara. Kami akur bahawa kalian adalah yang terbaik buat masa ini di Malaysia, maka janganlah sia - siakan harapan ini.

Buat PSM - berlapang dadalah. Kembalilah ke Fitrah manusia iaitu tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Kita saling memerlukan dan setiap pandangan itu ada sebabnya. Andai kata kemampuan memimpin, mencari penaja, mengurus atau kesihatan sudah susut, maka undurlah segera dari kerusi pemerintahan kerana itu lah yang lebih baik untuk diri dan negara, Jangan di risau siapa yang bakal mengambil alih kerana Allah Taala Maha Mengetahui setiap sesuatu. Tawakkal dan yakin dengan rencananya.

Buat peminat di luar sana, doakan lah pemain sedia ada ini mampu melakukan keajaiban di Sukan Sea, Super Series dan King Cup yang akan datang. Semoga mereka semakin yakin dan membuahkan hasil. Sekiranya anda merasakan anda boleh melakukan sesuatu kearah kebaikan sukan ini, marilah sertai kami melalui GPSN yang akan bermesyuarat tidak lama lagi. Jangan hanya pandai mencemuh di dinding - dinding Facebook tapi bila kudrat ditagih semuanya lepas tangan!

Akhir kata, marilah kita bergabung tenaga tanpa mengira jarak, usia, harta atau pangkat dalam membangkitkan semula sukan kesayangan kita ini. Semoga ada sinar dihujung jalan. InsyaAllah!

Kullu Amin Wa Antum Bi Khoir!
Selamat Aidilfitri
Maaf Zahir Batin

Mohsen Amdan
Pengasas Bolarotan.com

26 August 2011

Tekong servis sangkut, apit kiri pula kena gugur...

PSM makin menghairankan...itu saja yang boleh saya katakan. Farhan sebagai apit kiri negara menerima nasib buruk apabila tidak tersenarai dalam regu utama yang bakal bersaing di Siri Super 1 dan Piala Raja Thai bulan hadapan. Selain Farhan, Helmi juga tidak tersenarai dalam regu utama tersebut.

Farhan (tengah) diketepikan kali ini

Tempat Farhan bakal digalas oleh Faizul Hairy Osman manakala posisi Helmi digantikan dengan apit kanan kelahiran Terengganu iaitu Fazli Roslan. 

Walaupun Norazman gagal beraksi baik pada kejohanan di Titiwangsa dan Piala Egat, kudratnya tetap ditagih oleh PSM untuk berada sebagai tekong utama. Ahmad Sufi Hashim masih tidak berpeluang berada di regu utama walaupun ramai peminat sepaktakraw tempatan yang ingin melihat aksi beliau dalam regu utama. Manakala nasib tekong dari utara yang tumpas 1 - 15 kepada regu Indonesia baru - baru ini ; Fazil Asri tidak tersenarai dalam pasukan yang bakal ke Bangkok pada 12 - 17 September ini. Selain Fazil, Tunku Noarazawari, Hanafiah dan Anuar juga tidak terpilih.

24 August 2011

Sukarelawan Bolarotan diperlukan!

Bolarotan ingin mempelawa anda yang berminat menjadi sukarelawan untuk kejohanan KFC Utusan 2011 Zon Tengah yang akan berlangsung pada 17 - 18 September ini. Pelawaan ini di buka untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk membantu perjalanan kejohanan secara khususnya dalam aspek media. Sekiranya anda cekap menggunakan dan memiliki kamera, laptop dan broadband sendiri, ataupun minat dalam pengendalian kejohanan, sila emailkan butiran diri anda seperti berikut ke bolarotan@gmail.com

Nama penuh
No. kad pengenalan
No. tel
Email
Saiz baju

Setiap sukarelawan akan mendapat t-shirt Bolarotan dan makanan sepanjang kejohanan berlangsung.
Tawaran terhad kepada 5 orang sahaja! 

MInat kepada sukan sepaktakraw meningkat!

Dari 140 pengundi di laman ini, 77% bersetuju bahawa minat ke atas sukan sepaktakraw di negara ini semakin subur di kalangan masyarakat. Walaupun di sebalik kemelut PSM dan persembahan hambar skuad negara, semakin ramai yang mula ingin tahu atau turut serta dalam sukan ini. 

Tidak dinafikan kejohanan anjuran Utusan iaitu Kejohanan Sepaktakraw KFC - Utusan banyak membantu  ke arah ini. Ini di ransang dengan saiz kejohanan yang bertambah besar tahun ini serta liputan dan Astro Arena turut menyumbang kepada senario sihat ini. 

Astro Arena juga ketika dihubungi baru - baru ini mengesahkan rating Astro Arena 801 melonjak naik apa bila perlawanan separuh akhir dan akhir KFC Utusan ditayangkan. Ini adalah satu peluang yang harus di manfaatkan semua penggiat sukan ini.

Semoga kejohanan akan semakin banyak dan pelbagai selepas Aidilfitri ini. Kepada anda yang belum mendaftar untuk Kejohanan KFC Utusan Zon Tengah nanti, sila berbuat segera kerana penyertaan masih dibuka dan terhad!

23 August 2011

Skuad KERIS bakal melibas di Paroi


Teks disediakan oleh Abdul Hafiz Ahmad
Gambar oleh Mohsen Amdan

MEDIA Malaysia bergambar dengan kelengkapan baru pasukan tajaan Universal Fitness & Leisure Sdn. Bhd. (UFL) bagi menghadapi Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan Malaysia 2011 Zon Tengah di Paroi, bulan depan.

KUALA LUMPUR -- Mengulangi tahun lalu, Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) tidak ketinggalan untuk kembali melontar cabaran sebagai antara 50 pasukan yang terawal mendaftar pada Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan Malaysia 2011 Zon Tengah dari 17 hingga 18 September ini.

Malah berbekalkan suntikan penajaan barangan sukan daripada United Fitness & Leisure Sdn. Bhd. (UFL) baru-baru ini, kelab yang dianggotai petugas dan pengamal media sekitar Lembah Klang ini bakal lebih yakin dan bersedia untuk ‘melibas lawan’ di Kompleks Sukan Negeri Paroi, Seremban.

Ketua pasukan Media Malaysia, Mohd. Izzuddin Kamaruddin berkata, tiga regu terbaik mereka bakal dipertaruhkan dalam kategori Terbuka kejohanan kalah mati itu dengan latihan persediaan menghadapinya tetap giat dijalankan walaupun sepanjang bulan Ramadan ketika ini.

“Kehadiran kami kali ini bukan sekadar pelengkap jadual namun tetap dengan tekad untuk berada setanding pasukan ternama di Paroi nanti. Sebagai bukti keseriusan kami, sesi latihan tetap dijalankan sebelah malam walaupun sepanjang bulan puasa supaya pemain turut kekal cergas.
   
“Ujian pemilihan skuad 12 pemain ke KFC-Utusan bakal dijalankan di Bukit Jalil pada 7 dan 14 September ini selepas Aidilfitri dan kami cuba mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman bagi membantu menyiapkan pasukan,” katanya yang juga wartawan foto majalah Motodotmania.

Media Malaysia ketika ini katanya, berjaya menghimpunkan antara 12 hingga 15 pemain pada setiap sesi latihan mingguan di sebalik kesibukan tugas hakiki mereka dengan syarikat akhbar, radio, TV, majalah dan laman web serta agensi Kementerian Penerangan.

Edisi pertama Kejohanan KFC-Utusan di Kompleks Sukan Rakan Muda Puchong, tahun lalu menyaksikan salah sebuah daripada tiga regu Keris sempat mara ke pusingan kedua sebelum akur kepada lawan yang jauh lebih berpengalaman dan dibarisi pemain kebangsaan.

Mengenai penajaan UFL, kata Mohd. Izzuddin, apit kiri atau pengumpan Media Malaysia: “Kami berterima kasih dan amat menghargai sumbangan yang berupa jersi, seluar dan beg sukan bernilai ribuan RM ini malah berharap lebih banyak pihak yang turut akan tampil menyokong kami.”

Antara pencapaian terbaik Keris ialah menjuarai kategori Khas Kejohanan Piala Naib Canselor UniMAP, Januari lalu; naib juara Kejohanan Antarabangsa Perancis (September 2010) dan kategori Media (Karnival Kebangsaan KPT-UiTM, Oktober 2010).

Sejak ditubuhkan pada 1 April 2009, kelab ini turut pernah beraksi pada Kejohanan Piala Yang Dipertua MPSJ, Terbuka UPM, Cabaran Rejam Kuala Selangor, Libas Memori selain menjadi rakan sepelatih Iran, Jerman dan Perancis sempena Piala Dunia Pertama, bulan lalu.

Media Malaysia: Mohd. Zubir Muhamad Shari, Akhrun Musa, Khairul Faizee Mahmod, Rahmad Abu Awang, Daud Abdullah, Azmi Khamis (tekong), Azmi Mansor, Norazizan Ahmad, Nazizul Najhan Shaarani, Maznan Muhd. Mapot Muhamad Mahfud, Mohamad Naquib Idris, Mohsen Amdan (pelibas), Mohd. Nurazhar Amdah, Mohd. Izzuddin Kamaruddin, Ali Saifuddin Kamis, Muhammad Haffizul Ibrahim (pengumpan).

20 August 2011

Ulasan Produk - Kasut Nan Yang Hitam

Bertemu lagi dalam ruangan ulasan produk. Kali ini saya akan menulis mengenai kasut sepaktakraw yang menjadi kegilaan ramai iaitu Nan Yang. 

Kasut buatan Thailand ini sememangnya sinonim dengan sukan sepaktakraw di Malaysia. Boleh dikatakan begitu ramai pemain yang kerap menyertai kejohanan tempatan menggunakan kasut ini. Tanpa mengira posisi, kasut ini seolah - olah satu penanda tahap keseriusan seseorang itu bermain sepaktakraw.


Di Thailand, kasut ini digunakan sebagai kasut sekolah - seperti juga Bata, Warrior dan Pallas di sini. Malah, di Youtube juga terdapat beberapa iklan kasut ini yang menunjukkan ianya untuk pasaran sekolah. Di Kuala Lumpur, terdapat beberapa tempat yang menjual kasut jenama ini. Khabarnya di Melaka dan Kelang juga ada kedai kasut yang memiliki stok kasut ini dengan banyak.

Selain Nan Yang, Breaker dan Tang Nam juga merupakan jenama kasut Thailand yang memiliki rupa yang hampir sama. Cuma beberapa perbezaan kecil di antara ketiga - tiga ini. 


Saya mendapat kasut ini dari Saad - (Cari beliau di Facebook dengan nama Saad Ku Idamkan Khan) di mana beliau merupakan seorang usahawan yang agak kerap ke Thailand untuk perniagaan. Bersaiz 42, ini merupakan kali pertama saya menggunakan Nan Yang berwarna hitam. Agak berat pada awal menyarungnya..tetapi kasut ini memberi keselesaan pada permukaan kekura dalam dan luar kaki.

Kali pertama saya menyarungnya saya berada di posisi tekong. Agak sedap melakukan servis sepak / hentak. Begitu juga untuk melakukan servis drop, gesekan di bahagian tapak tidak memerlukan usaha keras kerana tapaknya yang bagus. Kawalan bola dengan menahan servis atau libasan laju juga agak bagus dengan kasut ini. 



Setelah menggunakannya lebih dari 3 bulan saya dapati kesan haus pada tapak dan permukaan atas adalah sangat minima. Ini mampu memberi jangka hayat yang panjang pada kasut ini. Cuma rasa berat menggunakan kasut ini sememangnya terasa. Hanya selepas beberapa lama baru anda akan benar - benar rasa selesa menggunakan kasut ini.

Tidak banyak kesan haus kelihatan

Sedikit sahaja hausnya


Masih utuh

Seterusnya saya turut menggunakan kasut ini untuk aksi melibas. Saya dapati kasut ini memberikan banyak kelebihan sekiranya  anda menggunakan teknik gulung atau hand stand. Ini adalah kerana saiz permukaan yang lebar dan luas memberi lebih ruang untuk melakukan pelbagai variasi bola. Untuk libas Maniam / Back Stroke - saya masih memilih Badminton Master sebagai kasut yang lebih baik kerana Nan Yang ini memiliki kekurangan dalam aspek lenturan bahagian hadapan kasut. Ia agak keras untuk melakukan teknik cangkuk atau jilat bola.

Seolah seperti tidak diguna dengan  kerap kesan geserannya



Secara keseluruhan, kasut ini memang sangat bagus untuk permainan sepaktakraw. Selain dari ketahanan, reka bentuknya juga banyak memberi kelebihan. Dengan ini saya berikan 4.5 BINTANG untuk produk ini

19 August 2011

Gabungan Penggiat Sepaktakraw Nasional - Daftar Sekarang

Gabungan Penggiat Sepaktakraw Nasional atau singkatannya GPSN adalah nama cadangan untuk projek penubuhan satu badan baru bagi memainkan peranan memartabatkan sukan sepaktakraw di Malaysia. Nama yang di cadangkan oleh Jo Java (cari beliau di Facebook dengan nama yang sama) adalah salah satu nama cadangan selain Persatuan Penggiat Sepaktakraw Malaysia.

Saya sedang cuba mengumpulkan seramai mungkin bagi mencapai matlamat ini. Ini adalah kerana pertubuhan ini bakal didaftarkan dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia. 

Sila isikan borang yang disertakan dibahagian tepi blog ini. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, sila email ke bolarotan@gmail.com

Luahan rasa peminat sukan tanah air

Berikut adalah satu luahan rasa sahabat saya yang juga antara jutaan peminat sukan tanah air


Rizal Rosli  - 
Bagi kebanyakan orang,sukan adalah manifestasi kebanggaan dan semangat cintakan Tanahair ini...biar apa pun sukan yang kita sokong atau kita ceburi,semangat bangga dan cintakan Tanahair ini membuak-buak ingin sangat melihat jersi negara megah merai kejayaan...namun jika persatuan sukan yang diamanahkan oleh rakyat gagal memahami inspirasi ini,apa lagi yang boleh kita katakan lagi...apa sanggup kita "meraikan kecundangan" tiap-tiap kali bertarung? Hatta dengan lawan yang dahulu dan kini persatuan anggap kerdil dan tidak relevan? Apa sanggup kita melihat jaguh negara terpaksa bertarung dengan lawan yang setaraf dengan anak-anak sekolah dek kerana mungkin pasukan negara berkenaan merasakan kita ini hanya tahap anak-anak sekolah mereka? Aduh...aduh...aduh...sesia
pa tolong redakan kerunsingan saya ini...

18 August 2011

Regu PSM dibelasah 15 - 1?

Petang tadi, saya terkejut membaca satu entri di dinding Facebook seorang teman yang menyatakan salah satu regu Malaysia di belasah 15 - 1 di kejohanan persediaan 5 penjuru di Pulau Pinang. Seakan tidak percaya saya cuba mendapatkan pengesahan dari beberapa sumber lain. Hampir semua mengiyakan berita itu. Tetapi saya masih tidak mahu percaya sepenuhnya.

Takdirnya, salah seorang peminat sepaktakraw telah memuatnaik video kekalahan itu di Facebook. Kecewa dengan apa yang saya saksikan, Fazil yang saya puji permainannya ketika di Piala Raja Libas di apit oleh Helmi yang baru sahaja beraksi di ISTAF World Cup baru - baru ini serta pemain yang baru diserap ke skuad - Muhlis atau lebih dikenali sebagai Kechik.

Respon dan komen peminat sepaktakraw hampir semuanya berbaur kecewa, hampa dan sedih melihat apa yang berlaku. Tambahan pula dengan kehangatan kenyataan saya di Astro Arena baru - baru ini seolah - olah mengiyakan kepincangan yang berlaku. Kenapa perkara sebegini boleh terjadi? Sudahlah perlawanan persediaan ini membariskna pasukan sekolah Korea Selatan. Keputusan permainnya pula begini..apakah mendung hitam akan terus menghiasi cuaca sepaktakraw Malaysia?

Saksikan video serta komen - komen peminat di pautan ini

Malaysia memilih menentang skuad Korea - maksud saya skuad sekolah Korea

Berikut ialah berita yang di salin dari Utusan Malaysia mengenai perlawanan 5 penjuru di Pulau Pinang yang sedang berlangsung kini. Artikel ini hasil tulisan wartawan Abdul Hafiz Ahmad


KUALA LUMPUR - Tiada rotan akar pun berguna. Perumpamaan ini tepat buat skuad elit sepak takraw negara yang sedang dalam persediaan menghadapi Siri Super I dan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di Bangkok, bulan depan.

Hanya Indonesia yang sanggup menghantar pemain kebangsaannya ke siri perlawanan ujian dengan skuad elit di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban, Pulau Pinang dari pukul 10 malam mulai semalam hingga 21 Ogos ini.

Myanmar yang mara ke separuh akhir Piala Dunia, bulan lalu terpaksa menolak saat akhir siri ujian ini sementara Thailand menghantar kelab Royal Thai Navy yang pernah diwakili perunding skuad elit, Prawet Intar.

Sebuah regu Pulau Pinang turut tampil sebagai pengganti tetapi yang paling menghairankan ialah bagaimana sebuah regu pelajar sekolah tinggi Korea Selatan pun boleh terlibat dalam siri ujian dengan skuad elit kita?

Sekalipun pendedahan perlawanan bagi meningkatkan tahap kecergasan pemain penting khususnya dalam bulan puasa, status persaingan dan lawan sepelatih itu masih perlu dititikberatkan penganjur, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Skuad elit pun baru sahaja 'disekolahkan' oleh Thailand dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Kuala Lumpur, baru-baru ini lalu adakah wajar anak buah Jamaluddin Hassan ini diadukan dengan regu yang dikatakan juara kejohanan antara sekolah tinggi Korea Selatan?

Malaysia bakal ke kejohanan berprestij dan sehebat Piala Dunia - Siri Super dan Piala Raja Thai (kejohanan antarabangsa tertua) dari 8 hingga 17 September ini dan sepatutnya langkah sekarang ialah memperbetulkan dan meningkatkan mutu persembahan atau gandingan regu utama.

Skuad elit juga dikalahkan hanya kelab Thailand dalam Piala EGAT di Rayong, bulan lalu dan pasti ramai tertanya-tanya sempat atau tidak mereka pulih mendadak di Bangkok nanti jika cuma menentang pemain hingusan Korea yang lebih rendah tarafnya daripada pasukan MSSM.

Siri Super (antara regu) turut disertai Myanmar, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, India, Filipina, Brunei, Laos, Amerika Syarikat dan Jepun dan wanita kita berdepan tuan rumah yang juga juara dunia, Vietnam, China, India, Myanmar, Korea Selatan dan Kemboja.

Acara berpasukan dan beregu lelaki dan wanita dipertandingkan dalam Piala Raja Thai tetapi penganjur membahagikan negara peserta menurut Divisyen Perdana, Satu dan Dua seperti tahun terdahulu.

 - PSM oh PSM... kalau mahu perlawanan ujian sangat, telefon lah saya..biar saya aturkan

15 August 2011

Bolarotan di Kafe Sukan - Astro Arena malam ini!

Alhamdullillah. Syukur ke hadrat Allah kerana akhirnya dengan rezeki yang diberikan kepada saya, Bolarotan akhirnya berpeluang muuncul di Astro Arena - Kafe Sukan iaitu sebuah rancangan bual bicara sukan santai yang dikendalikan oleh dua personaliti popular - Akhbar dan Rizal Hashim, penulis sukan tersohor.

Akhbar dan Hafiz berbual sementara krew ASTRO melakukan persediaan akhir.

Rezeki di depan mata ini bermula apabila di pelawa oleh wartawan Utusan dan satu - satunya penulis Sepaktakraw yang berpengaruh, Abdul Hafiz Ahmad. Saya katakan berpengaruh kerana setahu saya hanya beliau wartawan Malaysia yang kerap menulis tentang sukan ini dan sangat hampir kepada Presiden PSM dan Halim Kadir. Pada mulanya beliau ingin mempelawa satu nama lain, tetapi beliau berubah fikiran dan mempelawa saya.



Isu berkisar pencapaian skuad Malaysia di kejohanan Piala Dunia ISTAF yang baru saja berlangsung, PSM serta perkembangan terkini sukan sepaktakraw. 



Jangan lupa untuk menonton Astro Arena 801 malam ini (15 Ogos 2011) yang mana rakaman telah berlangsung petang tadi. Saya rasa mungkin tidak semua hasil rakaman akan disiarkan kerana masa siaran yang ada agak terhad. Terimakasih Astro Arena, Rizal dan Hafiz atas peluang yang diberikan!

Suasana keresahan penyokong Malaysia dari tengah gelanggang

Ini adalah video yang dapat saya rakamkan tatkala pemnyokong Malaysia berasa sangat rimas dengan kemampuan Norazman menyempurnakan servis. Bayangkan seluruh stadium menjerit Tukar! Tukar!. Saya faham Azman mungkin panik atau gugup. Bayangkan pula andai diri kita di situ dan disorak demikian. Bayangkan juga Syazwan yang masuk menggantikan Azman... pasti terasa berat bahunya memikul kerana penyokong begitu mengharap keajaiban darinya!


12 August 2011

Koleksi gambar KFC Utusan Zon Timur seterusnya


Yazer menghiburkan penonton

2 orang kuat PESTANS













Bintang Baru - Abdul Muhaimi mampu saingi Pornchai?

Ketika saya berjalan sambil memegang kamera di KFC - Utusan Zon Timur 2011, ekor mata saya terlihat satu gaya libasan yang menakjubkan.  Takjub dengan tingginya lonjakan badan, takjub dengan kelajuan bola dan takjub juga dengan jatuhan bersepahnya ke atas lantai! Lantas saya cuba halakan lensa saya ke arah susuk ini, tetapi saya gagal merakam gambar yang cantik kerana kemampuan kamera saya yang terbatas serta pengcahayaan yang kurang baik. 








AB MUHAIMI BIN CHE BONGSU - orang muda yang bakal meraikan ulangtahunnya yang ke 21 pada 22 Ogos ini berasal dari Kelantan. Pelajar tahun akhir Politeknik Kota Bharu ini merupakan finalis kejohanan IPT yang berlangsung beberapa bulan yang lalu. 


Gaya libasan yang hebat ini memukau ramai penonton yang hadir. Saya sempat menemubual beliau. Insyallah akan disiarkan video temubual itu nanti. Setakat ini, silah nikmati gambar - gambar aksi beliau yang sempat saya rakamkan.

Silap tengok nampak macam libas gulung!

Perhatikan bayang - bayang di bawahnya

Kalau di tanyakan kepada saya, siapa bakal apit kanan negara di masa akan datang, Muhaimi adalah di antara orangnya. Tetapi kalau PSM tak mengambil peluang dengan bakat sebegini, suruh sahaja pihak Universiti Malaya bina robot yang boleh jadi Apit Kanan!

11 August 2011

ISTAF World Cup 2011 - Skuad Singapura

Apabila Singapura tewas kepada Malaysia pada perlawanan separuh akhir, saya terus meluru ke luar stadium mencari pasukan mereka untuk di temuramah. Kenapa saya teringin menemuramah mereka? Kerana wajah yang di tampilkan pada kejohanan kali ini merupakan susuk yang sangat asing - muda, karektor yang agak pelik serta corak permainan yang berbeza.


Kebetulan mereka sedang duduk minum di cafe stadium Titiwangsa, tanpa berlengah saya mendekati mereka. Jurulatih sempoi Singapura bernama Syed Yusof. Lucu dan selamba orangnya. Saya terus mengubah dialek percakapan saya ke mode Singapura - pada yang tidak tahu keluarga saya semuanya lahir di Hospital Kandang Kerbau Singapura; hanya saya lahir di Malaysia.

Syed Yusof

Nazrin

Menurutnya, regu yang hadir bertanding di ISTAF World Cup ini hanyalah regu yang dikumpulkan dalam tempoh yang sangat singkat. Sebagai mana yang kita tahu, Singapura memiliki liga sepaktakraw mereka sendiri. Maka pencarian bakat bukanlah satu kerja sukar. Menggabungkan pemain yang dilihat berpotensi di mata beliau, Syed Yusof memberanikan diri memilih Nazrin selaku tekong utama. Malah apit kanan mereka - Anwar juga tidak memiliki karektor seorang Apit Kanan - bukan saya ingin menghina, jangan salah faham! Tubuh kurus dan wajah tenangnya tidak bersifat atlit ini memiliki rejaman yang kelihatan tidak membahayakan tetapi sebenarnya konsisten dan mengutip mata!


Kali pertama menyaksikan serivs Nazrin, perkataan pertama yang terpacul dari mulut saya ialah - Nordin Sabarudin! Gaya selamba, drop dan slop dari Nazrin beberapa kali mencuri mata apabila servisnya di halakan ke arah Helmi - apit kanan Malaysia.

Menenangkan diri tatkala di ganggu oleh penyokong Malaysia

"Kami sendiri pun tak sangka mara ke separuh akhir!" ujar Nazrin. Usianya yang masih muda, rambut berhias pewarna serta cacahan tatu yang saya sendiri tak pasti asli atau tidak membuatkan dia menjadi perhatian ramai. Apabila dia menentang Malaysia, peminat - peminat bersorak kuat dan meng - "boo" setiap kali dia mahu melakukan servis.

Menurut Syed Yusof, berdasarkan ranking, regu yang diturunkan ini berada di kedudukan ketiga di Singapura. Maka dengan pencapaian layak ke separuh akhir dilihat sebagai satu pencapaian yang boleh dibanggakan.


Ada juga teman - teman yang berpandangan Singapura layak ke separuh akhir kerana percaturan jadual yang membolehkan mereka mendapat laluan mudah. Lebih menguatkan hujah mereka apabila orang kuat ISTAF aialah Halim Kadir, warga Singapura dan bukan hanya dian, 2 orang anaknya juga memegang jawatan utama di ISTAF dan ASTAF. Di Singapura juga sebenarnya terdapat 2 persatuan sepaktakraw, walaupun negara kecil mengapa ada 2 persatuan? Satu merupakan persatuan yangsealiran dengan Halim Kadir dan satu lagi, ditubuhkan oleh jurulatih dan pengadil serta penggiat yang tidak sehaluan dengan Halim Kadir. 


Anak - anak Halim Kadir

SYed Yusof sebelum ini dikatakan antara orang yang kuat mengkritik Halim Kadir. Tapi kini nadanya agak berbeza. Beliau turut berkongsi rasa mengenai kejohanan kali ini yang mana disifatkan paling hebat dan gah pernah dianjurkan diperingkat antarabangsa.

Dalam perpecahan sebegitu pun, mereka masih mampu memiliki liga sendiri. Mengapa tidak Malaysia?