04 August 2011

MEDIA JADI PILIHAN SEPELATIH IRAN, EROPAH


Teks disediakan oleh Abdul Hafiz Ahmad


KUALA LUMPUR – Ketibaan Sepak Takraw Piala Dunia Pertama Kuala Lumpur 2011 di Stadium Titiwangsa dari 21 hingga 24 Julai lalu, turut menghidangkan peluang keemasan bagi siri perlawanan persahabatan sebagai persediaan jangka panjang Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris).

Jaringan baru keluarga sepak takraw dunia turut terjalin dengan kehadiran pasukan bertaraf di luar 10 teratas dunia misalnya Iran, Jerman dan Switzerland sebagai lawan persahabatan Media Malaysia di stadium itu dan Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Menggabungkan kakitangan akhbar, majalah, radio, TV, agensi Kementerian Penerangan dan laman web, kelab ini mencatat keputusan seri dengan ketiga-tiga pasukan berkenaan dalam perlawanan berformat berpasukan itu.

Iran yang dibimbing bekas jurulatih Malaysia, Haris Abd. Rahman, menunjukkan kesungguhan dan peningkatan permainan biarpun rata-rata pemainnya muka baru dan diambil dari universiti malah mampu melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia untuk mara ke pusingan kedua.

Dalam perlawanan dengan Jerman dan Switzerland, Media Malaysia turut menikmati peluang beraksi di gelanggang baru berwarna merah Piala Dunia  2011 yang menjadi sebahagian penjenamaan semula sukan sepak takraw.

Keris juga pernah menghantar sebuah regu yang muncul naib juara Kejohanan Antarabangsa Perancis di Strasbourg pada September tahun lalu.

Sejak tahun lalu, dua pasukan luar negara sudah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Keris iaitu Oman (Jun hingga Julai 2010) di Bukit Jalil dan Kelab Sukan dan Komuniti Marsiling Singapura di Taman Keramat, Kuala Lumpur (April lalu).

Beberapa hari sebelumnya, Keris turut diundang memeriahkan perlawanan pertunjukan menentang Pilihan Pelakon Libas seperti Rosyam Nor, Zamri Gerak Khas, Din Maidin dan Kip MDAG sebelum perlawanan akhir Kejohanan Piala Raja Libas di Stadium Titiwangsa.

Misi berikutnya Keris, juara kategori Khas Piala Naib Canselor UniMAP, Januari lalu, ialah Karnival Sepak Takraw Kebangsaan Ketiga di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang turut mempertandingkan kategori Media.



BARISAN pemain dan pegawai pasukan Media Malaysia, Jerman dan Switzerland yang turut dilatih jurulatih Malaysia, bergambar kenangan sebelum perlawanan persahabatan sempena Sepak Takraw Piala Dunia Pertama Kuala Lumpur 2011 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, 22 Julai lalu.


APIT kanan Media Malaysia, Mohsen Amdan (kanan) cuba mengelirukan regu Pelakon Libas dalam perlawanan pertunjukan sempena Kejohanan Piala Raja Libas 2011 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, 14 Julai lalu.


PEMAIN Media Malaysia (berbaju biru gelap) dan Artis Libas bersalaman tanda semangat kesukanan dan persaingan sihat selepas perlawanan pertunjukan sempena Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Libas 2011 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, 14 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment