04 August 2011

Perlawanan selesai, mana hadiahnya?


Di petik dari Utusan Online

Mana hadiah wang tunai sepak takraw Piala Dunia?

KUALA LUMPUR - Sudah hampir dua minggu Sepak Takraw Piala Dunia Kuala Lumpur 2011 berlalu tetapi wang hadiah kemenangan belum dapat ditunaikan daripada penganjurnya, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan rakan pemasaran, UFA Sports Asia.
Begitu gah setiap pasukan juara dan naib juara dipaparkan kepada 750 juta penonton dengan replika cek bernilai ribuan AS$ menerusi siaran langsung televisyen ke 68 negara seluruh dunia pada perlawanan akhir 24 Julai lalu, namun sehingga kini skuad elit dan wanita tuan rumah pun masih cuma mampu 'menggigit jari'.
Anak buah Jamaluddin Hassan dan Md. Fikri Md. Nor masing-masing bergelar naib juara kategori lelaki dan pemenang ketiga bersama wanita yang melayakkan mereka menikmati 'duit raya', AS$4,000 (RM12,000) dan AS$1,500 (RM4,500) - menurut peruntukan yang disediakan Istaf dan UFA Sports Asia.
Setiausaha Agung PSM yang juga Setiausaha Jawatankuasa Pengelola Piala Dunia 2011, Datuk Arshad Yahya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam, berkata: "Kami belum menerima apa-apa pembayaran tunai (berhubung hadiah kemenangan Piala Dunia bagi skuad elit dan wanita).
"Setakat ini yang diperoleh ialah emel daripada pihak berkenaan yang memohon kami memberikan butiran tertentu (bagi urusan susulan pembayaran) kerana wang hadiah kemenangan akan disalurkan terus kepada persatuan sepak takraw negara berkenaan."
Istaf dan UFA Sports Asia memperuntukkan wang kemenangan berjumlah AS$50,000 (RM150,000) bagi 36 pasukan lelaki dan wanita peserta Piala Dunia edisi sulung itu yang berdasarkan ranking pencapaian keseluruhan mereka dengan hadiah terendahnya ialah AS$500 (RM1,500).

No comments:

Post a Comment