10 October 2011

Isu PSM - Mana sijil jurulatih saya?

Saya dihubungi oleh beberapa pihak yang meminta Bolarotan.com menyuarakan perkara ini - iaitu nasib mereka yang telah menjalani kursus Kejurulatihan PSM tetapi masih sehingga kini tidak diberi sijil pentauliahan. Oh ya.. kursus itu bukan baru berlangsung minggu lepas..tetapi sejak 2009 lagi.

Perkara ini telah sampai ke pengetahuan saya beberapa bulan lalu menerusi cerita - cerita rakan yang pernah terlibat dari pelbagai negeri. Kali ini rintihan ini hadir dari mereka yang sangat perlukan sijil bagi mentauliah mereka seterusnya melayakkan mereka mendapat kemudahan dari Majls Sukan Negeri.

Bayangkan nasib mereka yang berhempas pulas membangunkan bakat di negeri masing - masing dan dinafikan hak mereka semata - mata sijil yang telah pun sepatutnya menjadi hak mereka tapi tidak dicetak oleh PSM.

Sebagai seorang yang menjalankan perniagaan berasaskan Program Pembangunan Latihan, pemberian sijil adalah satu perkara yang menjadi salah satu elemen program dan saya perlu penuhi. Mencetak sijil bukanlah satu perkara yang memerlukan kepakaran khusus. Tidaklah sesusah mana pun menghasilkan sijil. Malah ada sesetengah keadaan saya sebagai tenaga pengajar sendiri pun terpaksa menyiapkan dan mencetak sijil di waktu lapang ketika program berjalan. Hairan kenapa PSM masih tidak mampu mengeluarkan sijil walaupun sudah hampir 3 tahun program berlangsung. Susah sangat kah?

Oleh yang demikian, Bolarotan.com dengan ini mengalu - alukan mereka yang menjadi mangsa keadaaan ini untuk memaklumkan kepada kami dengan menghantar email ke bolarotan@gmail.com dan sertakan nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan tarikh serta lokasi anda berkursus dahulu agar sesuatu dapat dilakukan dan nasib anda terbela.

Bertindak sekarang!

No comments:

Post a Comment