28 October 2011

Siri Jelajah Gelanggang Bersama Bro M & GPMS - UTeM

25 Oktober 2011
Perjalanan kami dimulakan dengan saya bertolak dari Cheras pada jam 4.05 petang. Saya terus memandu menuju ke Nilai Negeri Sembilan untuk menjemput Bro M. Setiba saya di sana lebih kurang setengah jam kemudian, Bro M sudah pun sedia menanti saya namun, ada berita kurang gembira bersamanya ketika itu; anak bongsunya yang baru berusia 2 bulan dimasukkan ke hospital kerana batuk dan selsema yang teruk. Walaupun Bro M agak keberatan untuk pergi namun kerana janji dan komitmen yang telah diberikan Bro M setuju juga ke selatan tetapi dengan syarat Rabu malam usai saja perlawanan menentang Singapura kami harus bergegas pulang. 

Berikut adalah sesi bergambar bersama peminat di UTeM




Zaki selaku wakil UTeM menyampaikan cenderamata kepada Bro M


Destinasi kami yang pertama ialah ke Universiti Teknikal Malaysia (UTeM). Menanti kami di sana ialah Zaki Abdullah iaitu pengurus pasukan Sepaktakraw UteM. Kami terkandas di lebuhraya berhampiran Ayer Keroh kerana hujan yang amat lebat mengakibatkan satu kemalangan jalanraya berlaku. Akhirnya kami tiba di UTeM pada jam 5.45 petang.

Bro M melangkah masuk ke pusat sukan UTeM

Disambut ramah oleh Zaki, kami terus menuju ke surau menunaikan solat Asar dan terus bersiap untuk ke gelanggang. Kelihatan beberapa pemain UTeM telah pun berada digelanggang. Kejutan buat saya kerana untuk kali pertamanya saya berpeluang mengenali seorang pemain veteran yang hebat iaitu Bonen! Walaupun uban sudah memenuhi kepala, lonjakan , libasan dan hadangan beliau masih setanding pemain muda. Khabarnya Bonen juga menjuarai LISUS untuk Melaka Tengah! Hebat!

Bonen melakukan hadangan bak orang muda

Turut beraksi ialah bekas tekong negara iaitu Ahmad Affendy. Tekong kuda berbadan sasa ini membelasah saya dengan servis kudanya yang laju dan padat membuatkan saya beberapa kali hanya mampu termenung.

Affendy dengan gaya servisnya

Pada perlawanan ketiga, Bro M masuk sekali lagi kali ini beliau bergasak dengan Ahmad Affendy. Walaupun regunya di dahului 20 – 13, Bro M menunjukkan kehebatannya melalui servis mantap sebanyak 8 biji berturut – turut dan menang dengan 22 – 20! Hebat!
Saksikan videonya di sini

Apit Kanan UTeM - Joehardi dengan libasan padunya - melendut jaring dibuatnya!


Saya juga berpeluang bertemu dengan rakan lama iaitu Sahizam yang juga kini bertugas di UTeM sebagai pegawai pendaftar. Beliau yang datang tanpa membawa peralatan sukan turut bergasak walaupun terpaksa meminjam kasut dan seluar dari rakan – rakan! Ini baru semangat kesukanan!

Sahizam - Kiri (berdiri)


Selesai solat Maghrib, kami di bawa oleh Zaki dan teman – teman ke Gerbang Melaka untuk sesi the Tarik dan makan malam. Bersembang panjang sehingga jam 11 malam maklumlah, ini peluang bersua muka sesama sendiri yang selama ini hanya mesra di dunia maya. Rusdy Ahmad – pengendali Sepaktakraw.my juga hadir memeriahkan suasana.

Bro M melakukan servis

Utuk pengetahuan semua, gelanggang UTeM ini juga merupakan lokasi Super Series PSM yang pertama bagi 2011. Gelanggang ini juga sering digunapakai untuk kejohanan - kejohanan penting di Melaka.

Terimakasih UTeM atas layanan yang baik, belanja makan malam dan cenderamata yang diberikan. Moga ada rezki bertemu lagi nanti. Kami terus menyambung perjalanan selepas itu menuju ke Johor Bahru. Kami menginap di Taman Damansara Aliff – rumah teman baik saya iaitu Shahrul Faizal – Terimakasih Shahrul atas kesudian menerima kami ditengah malam.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment