01 December 2011

GPSN - Gabungan Penggiat Sepaktakraw Nasional telah mula bersidang

Tatkala di media utama negara menayangkan Persidangan / Perhimpunan Agung UMNO, GPSN juga telah mengorak langkah untuk bersidang secara rasmi pada 29 November 2011 yang lalu. Satu lagi catatan sejarah terukir apabila GPSN semakin serius berusaha untuk memartabatkan semula sukan sepaktakraw ini di persada antarabangsa.

Gandingan orang lama dan baru membarisi kepimpinan GPSN

Mesyuarat jawatankuasa penaja yang dihadiri seramai 15 orang di satu lokasi rahsia ini berlangsung kira - kira 3 jam. Persidangan kali ini memberi penekanan kepada halatuju penubuhan GPSN dan lantikan jawatankuasa penaja. Proses ini sedang berlangsung dan GPSN berharap pendaftaran melalui Pesuruhjaya Sukan ini mendapat lampu hijau dan boleh dimulakan segera.

Korum mesyuarat yang hadir dari pelbagai lapisan penggiat - bekas pemain negara dan negeri, jurulatih pasukan, pengurus pasukan, penyelidik dari universiti dan peminat sukan ini bergabung tenaga dan buah fikiran untuk menjadikan GPSN sebagai peneraju sukan sepaktakraw di Malaysia ini satu realiti.

Sekali lagi saya tegaskan; penubuhan GPSN ini tidak sama sekali bertujuan menjatuhkan atau mencampuri urusan PSM. Kami tidak sama sekali berminat untuk merampas atau menduduki mana - mana jawatan dalam PSM kerana agenda kami berbeza. Maka sesiapa juga adalah dialu - alukan untuk menyertai GPSN untuk menyumbang masa, tenaga dan fikiran untuk menaikkan imej dan profesionalisme sukan sepaktakraw ini. Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai GPSN, sila emailkan soalan anda ke bolarotan@gmail.com

Untuk makluman semua juga, 5 Disember 2011 ini Astro Arena melalui rancangan Kafe Sukan mengundang saya selaku pengendali Bolarotan.com untuk mengupas isu kekalahan teruk di Sukan SEA Palembang baru - baru ini. Bersama saya dipentas selain 2 pengacara Kafe Sukan ialah Ketua Jurulatih Skuad Sepaktakraw Malaysia. Saya menjangkakan perbincangan bakal hangat kerana kelihatan PSM agak terganggu dengan sidang media GPSN yang lalu. Jangan lupa saksikan di Kafe Sukan jam 8 malam 5 Disember 2011 nanti.

1 comment: