07 November 2011

Libasan Muay Thai 'perisakan' Terbuka MBPJ

KEHADIRAN dan kehandalan empat regu yang mengimport pemain dari Thailand - Bukit Angkasa A dan B serta PKNS A dan B dalam Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ke-19, 2011 yang berakhir 30 Oktober 2011, menggambarkan betapa merudumnya mutu permainan pemain kita.


Dalam usia yang hanya belasan tahun, Bukit Angkasa B yang diperkuatkan pemain Universiti Thonburi Bangkok (BTU) dan Akademi Tentera Laut Diraja Thailand itu sudah pun 'menelanjangkan' kelemahan pemain tempatan apatah lagi terhadap beberapa tonggak yang berpengalaman antarabangsa dan negeri.
 

REGU Bukit Angkasa B yang diperkuatkan pemain kelab Thailand merangkul Piala Datuk Bandar Petaling Jaya dan RM3,000 selaku juara kategori Terbuka. Turut menyampaikan hadiah pemenang ialah Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman (tiga dari kanan).

Beberapa regu tempatan juga tersungkur lebih awal sekali gus gagal mengekang penangan dan libasan 'Muay Thai' ini walaupun diperkuatkan nama besar antaranya Futra Ghani, Normanizam Ahmad, Sulaiman Salleh, Saufi Salleh, Syafiq Abd. Rahman, Azlan Mubin dan Shaifullah Mohamed Nor serta regu juara Kejohanan KFC-Utusan, baru-baru ini, Pestans.

Tidak kurang hebat dengan libasan gulung di sebalik usia 45 tahun ialah perunding skuad elit dari negara itu, Tawit Wongkluen dengan regu Bukit Putra yang menjuarai kategori Veteran tanpa tentangan sengit MBPJ A manakala rakan sejawatan, Prawet Intra, 35, yang sempat mara ke separuh akhir Terbuka bersama PKNS B. 

Malah sebelum kejohanan ini, trio import Bukit Angkasa B - Nattanon Sanjan, Tawesak Kongsai dan Terasat Onkai serta simpanan,Tairong Vrigarat ini dikatakan hebat menyaingi skuad elit Malaysia yang akan ke Sukan SEA Indonesia, minggu depan dalam siri perlawanan ujian selama lima hari di Bukit Jalil.

Pada satu sudut lain, kehadiran pelibas Gajah Putih ini memang dialu-alukan bagi meninggikan populariti sepak takraw di kalangan peminat tanah air malah mampu menjadi contoh kepada lain-lain kejohanan terbuka tempatan khususnya di Lembah Klang asalkan masyarakat penggiatnya sentiasa berfikiran terbuka.
   
Tonggak import Bukit Angkasa B jelas dalam kelas tersendiri ketika mudah membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) B yang dibarisi bekas tekong negara, Ahmad Ezzat Zaki, Masran Abd. Rahman dan Suhaimi Shaharuddin 2-0 (15-10, 15-5) pada perlawanan akhir yang cuma setengah jam.

Bukit Angkasa B turut menjulang Piala Datuk Bandar Petaling Jaya dan pingat selain mengaut ganjaran RM3,000 sambil menghampakan lawan yang dibimbing Mohd. Nizam Yassin untuk sekadar berpuas hati selaku naib juara dengan RM2,000.

Bagaikan tiada ruang langsung buat PDRM B apabila lawan sentiasa mendahuluinya 7-4, 9-5, 11-7 malah libasan Masran yang terkandas di jaring sebanyak tiga kali, menjadikan set pertama itu digenggam mudah regu pemain negara Gajah Putih itu.


PELIBAS Bukit Angkasa B, Tawesak Kongsai melakukan libasan padu yang sukar diadang apit kanan PDRM B, Masran Ab. Rahman pada perlawanan akhir kategori Terbuka Kejohanan Sepak Takraw Terbuka MBPJ Ke-19 di Kompleks Sukan Kelana Jaya.

Set kedua tiada bezanya apabila Bukit Angkasa yang diuruskan bekas pemain negara, Rosli Ab. Rahman, kerap menjauhi lawan, 5-3, 8-4, 11-5 sebelum menjuarai kejohanan dua hari yang melibatkan 27 regu dan bernilai hampir RM10,000 ini.

Nattanon dan rakan regunya, Terasat masing-masing turut meraih bonus RM200 selaku Tekong dan Apit Kiri Terbaik kejohanan sementara Masran mengekalkan satu lagi anugerah penghargaan individu, Apit Kanan Terbaik yang disandangnya tahun lalu.

Terdahulu Bukit Angkasa B menghampakan PKNS B (Prawet, Azlan dan Affandi Abd. Rahman) pada separuh akhir, 12-15, 15-7, 15-11 sementara PDRM B mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 15-11, 15-13 dalam satu lagi perlawanan.

Tawit pula membantu Bukit Putra menguasai kategori Veteran dan ganjaran RM1,000 bersama-sama penolong jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun dan Rosli Ab. Rahman yang menewaskan MBPJ A 2-0 (15-8, 17-16) selepas 40 minit.

Hadiah termasuk buat dua regu yang kalah separuh akhir Terbuka (ATM dan PKNS B dengan RM1,000) selain naib juara Veteran, MBPJ A (RM600) dan pemenang ketiga bersama, MPAJ-Bola Rotan dan PDRM A (RM300), disampaikan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.


TAWIT Wongkluen (dua dari kiri), bekas pemain kebangsaan Thailand yang kini perunding skuad elit Malaysia, membantu Bukit Putra menjuarai kategori Veteran dengan menewaskan MBPJ A.



No comments:

Post a Comment