16 November 2011

Sidang Media GPSN



SIARAN MEDIA 
16 NOVEMBER 2011 PETALING JAYA, SELANGOR
GABUNGAN PENGGIAT SEPAK TAKRAW NASIONAL (GPSN)

SKUAD elit sepak takraw negara mencatat keputusan yang paling hambar dalam kempen Sukan SEA XXVI Indonesia 2011 di Palembang malah dalam sejarah temasya dwitahunan ini sejak 1965 apabila dikalahkan tuan rumah dua kali berturut-turut dalam tempoh tiga hari sejak Ahad lalu (13 November).

Pada peringkat separuh akhir antara regu Sukan SEA di Pusat Konvensyen Sriwijaya, Ahad lalu, anak buah Jamaluddin Hassan kalah 0-3 (10-15, 11-15, 11-15) sebelum perlawanan sulung liga berpasukan turut menyaksikan mereka tumpas 0-3, Selasa lalu (15 November).

Inilah kekalahan ketiga kepada lawan selepas diaibkan 2-3 dalam suku akhir Siri Super I (antara regu) dan 1-2 pada separuh akhir berpasukan selain 0-3 bagi acara beregu pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-26 di Bangkok, September lalu.

Malah sebutir gangsa antara regu Sukan SEA 2011 ini sekadar meneruskan prestasi hambar pada temasya Laos 2009 selepas diaibkan tuan rumah 2-1 sehingga mendorong kontrak jurulatih negara ketika itu, Haris Abd. Rahman tidak disambung ke Sukan Asia 2010 dan skuad elit dirombak besar-besaran.

Deretan kekalahan ini membuktikan betapa merudumnya sepak takraw kita dan tidak syak lagi kita tidak boleh beranggapan kita masih Nombor 2 di belakang Thailand yang sudah jauh meninggalkan kita hanya dengan mengukur pencapaian naib juara Piala Dunia Pertama di Kuala Lumpur, Julai lalu.

Malah ranking kedua milik Malaysia dalam senarai terkini Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) yang menilai prestasi Piala Dunia dan Siri Super, tidak membawa erti lagi jika Indonesia yang di belakang kita pun begitu mudah menewaskan kita bukan sekali tetapi tiga kali berturut-turut dalam tempoh dua bulan sahaja.

Tiada lagi alasan jika ada pihak yang mengatakan tuan rumah mempunyai kelebihan penyokong dan gelanggang sendiri dalam Sukan SEA 2011 kerana jika kita masih ingat, skuad elit negara turut diaibkan Indonesia dalam separuh akhir Kejohanan Dunia Piala Malaysia tanggal Mei 2009 di Kuala Terengganu.

Lebih parah ketika itu, kita selaku tuan rumah yang menghantar dua pasukan, Malaysia A dan B, masih tidak mampu mengekang Indonesia yang kemudiannya mara ke separuh akhir dan hanya disekat Thailand untuk bergelar juara kejohanan edisi ketiga anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu.

Sekiranya kita sekadar beroleh gangsa berpasukan dalam Sukan SEA kali ini (masih perlu menghadapi Thailand (Khamis, 17 November) dan Myanmar (Jumaat, 18 November), ia satu pencapaian terburuk skuad negara yang mengulangi sebutir gangsa acara sama di Brunei 1999.

GPSN berasa hairan dengan hasil latihan yang dibuat oleh PSM nampaknya masih gagal meningkatkan mutu permainan pemain meskipun telah mendapat khidmat 2 orang jururunding dari Thailand. Meskipun Sukan SEA belum berakhir, GPSN tetap melihat amat sukar bagi mencapai sasaran sebutir emas yang ditetapkan PSM dan skuad elit apabila melihat persembahan semasa.

Justeru, sidang media hari ini mahu menzahirkan rasa terkilan, kecewa dan prihatin selain cadangan Gabungan Penggiat Sepak Takraw Nasional (GPSN) terhadap pencapaian hambar skuad negara dalam Sukan SEA XXVI Indonesia yang sedang berlangsung di Palembang.

Kumpulan ini mengandungi bekas-bekas pemain negara dan beberapa kelab tempatan serta peminat yang tidak putus-putus menghidupkan permainan tradisi bangsa Melayu ini menerusi penglibatan masing-masing selain sentiasa mengambil berat perkembangan skuad negara menerusi aneka media canggih seperti laman sosial  internet hari ini selain akhbar dan TV.

GPSN tidak sesekali mahu apa yang disifatkan ‘melancarkan perang’ terhadap PSM mahupun Majlis Sukan Negara (MSN) atau mereka yang berkaitan dengan skuad elit tetapi penzahiran perasaan dalam sidang media ini lebih didorong kepada hasrat dan keprihatinan kami untuk melihat sukan sepak takraw Malaysia kembali ke tahap yang boleh dibanggakan dan mencapai zaman kegemilangannya seperti era 60-an hingga awal 90-an.

Percayalah jika ada pun kritikan kami terhadap, ia hanyalah dengan tekad untuk membina, bukannya membinasa.

Jika kami juga dianggap ‘memukul’, ia ibarat sayangkan anak, tangan-tangankan.

Kerana sayangkan sepak takrawlah - pusaka nenek moyang kita sejak Zaman Kesultanan Melaka berkurun-kurun lalu, maka sidang akhbar ini dan kami secara sukarela sanggup ke sini mengorbankan masa dan tenaga. 

Kami juga menyeru pihak-pihak di seluruh negara yang terasa diri mereka sebahagian daripada keluarga sukan sepak takraw, turut terpanggil atau berkongsi perasaan ini, agar menyertai kami dengan menghulurkan apa juga bentuk galakan, bantuan dan sokongan padu.

BANYAK YANG PERLU DILAKUKAN, DIROMBAK DAN DIBENTUK SEMULA - IA MESTILAH SEGERA!!!!!

ROBOH SUDAH KOTA MELAKA,
SERPIHAN PALEMBANG DIRIKAN SEMULA,
AYUH BANGKIT PEJUANG SUKAN PUSAKA,
TEBUS MARUAH KEMBALI TERBELA!

Kami dengan ini turut mencadangkan LAPAN SARANAN yang patut dilakukan oleh PSM dan mereka yang berkepentingan dalam sukan ini bagi memulihkan pencapaian sepak takraw negara iaitu:  

LAPAN SARANAN

1.    Rombakan besar-besaran kepada skuad elit sedia ada. Proses pemilihan pemain seharusnya dibuat dengan lebih baik, telus, menyeluruh dan sistematik serta kajian saintifik. Kriteria pemain haruslah berdasarkan pencapaian semasa dan bukan daripadapemerhatian PSM semata-mata.

2.    Melihat semula strategi permainan menerusi kepelbagaian servis tekong, teknik adangan dan libasan apit kanan serta umpanan apit kiri.

3.    Program pembangunan bakat baru dan pelapis perlu diwujudkan semula di peringkat pusat dan tidak hanya menyerahkan kepada negeri. Masalah tuntutan elaun mereka bagi memastikan kelancaran program jurulatih di peringkat negeri juga harus diselesaikan.

4.    Mengguna pakai kepakaran perunding dari Thailand untuk skuad pelapis sahaja (bawah 21 tahun) dan bukannya untuk skuad elit.

5.    Sistem pencarian bakat yang lebih agresif oleh PSM menerusi pertandingan tempatan dalam kalendar PSM, ahli gabungannya mahupun oleh badan bukan kerajaan (NGO) lain atau sektor korporat.

6.    Agresif dalam mengusahakan penajaan dan promosi sukan sepak takraw menerusi media aliran perdana (akhbar, TV, radio) dan aliran baru (internet laman sosial).

7.    Menyusun semula gerak kerja jawatankuasa dan kepimpinan PSM agar lebih mantap dan relevan khususnya tanpa melupakan penglibatan serius ahli gabungan.

8.    Mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih baik dengan agensi kerajaan berkaitan sukan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia(Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia - MSSM), Kementerian Pengajian Tinggi (Majlis Sukan Universiti Malaysia – Masum) dan Kementerian Belia dan Sukan.

1 comment:

  1. bagaimana pihak GPSN boleh membantu PSM meningkatkan sukan sepak takraw ini...?

    good luck tuan.

    ReplyDelete