03 December 2011

Mohd Khaizir terus cemerlang! Keputusan undian nama servisnya diumumkan!

Saya baru selesai berhubung dengan orang kuat PESTANS iaitu En. Zahir bertanyakan perkembangan kejohanan sepaktakraw di Pulau Pinang. PESTANS yang menghantar beberapa kategori nampaknya mencapai keputusan memberangsangkan bagi kategori belia, dengan 2 regu PESTANS layak ke separuh akhir. Satu regu di kemudi oleh apit kiri sensasi PESTANS yang juga pemain Sukan Sekolah Asean iaitu Suhairi dan satu lagi tekong padu iaitu Kemong.

Regu PESTANS yang beraksi di Pulau Pinang

Mana kala bagi kategori veteran 56 tahun ke atas, tekong berpengalaman iaitu Mokhtar Bomba juga berjaya mengekalkan reputasi apabila layak ke akhir esok dan bagi kategori 35 ke atas, tekong sensasi RM10,000 iaitu Bro M atau Mohd Khaizir berjaya membantu regunya mara ke separuh akhir. Di apit oleh Shahriman - killer ampuh dengan permainan konsisten serta bekas pemain negara iaitu Khairul Nizam Md Jidin atau Kicap berjaya menumpaskan regu seorang lagi bekas pemain negara iaitu Ahmad Ezzat Zaki dengan 2-0 untuk menempah tempat ke separuh akhir. 


Keputusan mengejutkan ini sememangnya menarik perhatian ramai dan membolehkan pertemuan sesama PESTANS di peringkat separuh akhir dengan satu lagi regu dibarisi oleh Johan kejohanan di Jerantut sebelum ini iaitu regu guru - Cikgu Ali, Cikgu Yon dan Cikgu Awie Seman. Menanti di separuh akhir ialah regu dari Terengganu di kemudi oleh bekas pemain negara yang juga nama besar pantai timur iaitu Madi Kuta berjaya menundukkan regu yang membariskan kesemuanya bekas pemain negara hebat dari utara iaitu Zabidi Shariff, Saravanan dan Norhisham Ghani. Regu guru dari PESTANS bakal beraksi di akhir esok menentang pemenang antara GASTEP atau TKP yang diwakili oleh Man Put, Mamak dan Khairul.

Sementara itu, hasil undian di Bolarotan.com ke atas nama yang sesuai bagi servis Bro M akhirnya mencecah 131 undian. Dari 6 cadangan, nama yang menjadi pilihan ramai ialah SERVIS M! Dengan undian mencecah 33% peratus, SERVIS M mungkin dilihat lebih relevan kerana bersesuaian dengan nama Bro M dan juga menunjukkan M sebagai Malaysia.

Ketika di Singapura untuk Siri Jelajah Gelanggang yang lalu, Presiden ASTAF iaitu Dato Abdul Halim Kader berkongsi cerita mengenai nama servis ini. Pada pandangannya, servis ini sesuai dipanggil dengan nama SERVIS ROBOT - kerana menurutnya gerakan kaki Bro M persis lengan robotik. Manakala bagi Menteri Belia dan Sukan iaitu YB Dato Shabery Chik pula, servis unik ini di gelarkan dengan nama SERVIS LIBAS KILAT. Ini kerana gaya servis seperti melibas dengan kepantasan kilat!

Tahniah Bro M atas persembahan konsisten yang ditunjukkan!

No comments:

Post a Comment