08 December 2011

Utusan-Astro ‘raja libas’ Media UiTM


REGU Utusan-Astro (dari kiri, Muhamad Hairul Kusdi, Mohd. Shuib Ab. Latip dan Alisaifuddin Kamis) berhak ditabal selaku Raja Libas Media UiTM apabila menjuarai kategori Media dalam Karnival Sepak Takraw Kebangsaan UiTM-KPT Ketiga di Shah Alam, 13 November lalu


PERSAINGAN kategori Media dalam Karnival Sepak Takraw Kebangsaan Universiti Teknologi Mara (UiTM)-Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Ketiga pada 13 November lalu dengan ganjaran kemenangan termahal hampir RM3,000, ibarat 'Piala Dunia' buat Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris).

Lima regu Keris berentap sambil ‘melenyapkan seketika’ erti persahabatan sesama mereka di Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam demi semangat persaingan sihat dan kesukanan di tengah-tengah kehangatan aksi lima lagi kategori – Terbuka, Institusi Pengajian Tinggi, Bawah 15 dan 18 Tahun serta Wanita.

Setelah empat jam mengharungi pertarungan berformat liga sepusingan, siapa ‘terjaguh’ di kalangan Media akhirnya terjawab dan habuan juara RM1,000 menjadi milik regu Utusan-Astro (Mohd. Shuib Ab. Latip, Muhamad Hairul Kusdi dan Alisaifuddin Kamis).

Mantap di ketiga-tiga posisi tekong, pelibas dan pengumpan, mereka kekal tanpa kalah selepas mengharungi empat perlawanan sambil mengumpul lapan mata dengan mengatasi RTM-Filem Negara, MDAG-RTM, Percetakan-Bolarotan dan Media Prima-Moto 2-0.

Gandingan eksekutif akaun Utusan Airtime Sdn. Bhd., juruteknik Jabatan Pengeluaran Utusan dan penyelia Astro ini menewaskan RTM-Filem Negara, MDAG-RTM, Percetakan-Bolarotan dan Media Prima-Moto masing-masing dengan 2-0 (16-14, 15-12); (15-13, 15-7); (15-9, 15-13) dan (15-5, 15-10).

Naib juara dan RM750 dimenangi RTM-Filem Negara (Azmi Khamis, Manja Bah Lunggok dan Muhammad Haffizul Ibrahim) dan tempat ketiga serta RM500 diraih oleh MDAG-RTM (Daud Abdullah, Mohamad Naquib Idris dan Wan Mohd. Noraffandi W. Mohd. Ghazali).

Blogger bolarotan.com, Mohsen Amdan  yang membentuk regu Percetakan-Bolarotan di samping Akhrun Musa dan Nazizul Najhan Shaarani berada di tangga keempat, diikuti oleh Media Prima-Moto (Rahmad Abu Awang, Maznan Muhd. Mapot Muhamad Mahfud dan Mohd. Izzuddin Kamaruddin.

Hadiah karnival empat hari yang bernilai hampir RM15,000 selain turut ditaja Pallas Rejam ini disampaikan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Abdul Rahman Palil.  Turut hadir menyaksikan ialah Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.


No comments:

Post a Comment