22 August 2012

Libasan KPT-UiTM janjikan RM20k


KUALA LUMPUR – Ganjaran hampir RM20,000 bakal menggamit lebih banyak regu handalan tempatan serta jemputan luar negara untuk ‘berkampung dan bertarung’ di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dari 20 hingga 23 September ini.

Enam kategori pertandingan ditawarkan buat penggemar sepaktakraw sempena Karnival Sepaktakraw Kebangsaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)-UiTM Keenam iaitu Terbuka, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Bawah 15 dan 18 Tahun, Wanita dan Media.

Jurucakap penganjur karnival, Ahmad Bohari berkata, biarpun turut bersaing dengan dua lagi kejohanan di Alor Setar dan Putrajaya pada tarikh yang sama, pihaknya yakin angka penyertaan edisi keenam ini bakal mengatasi tahun lalu selain mencipta rekod baru.

“Hadiah wang tunai adalah untuk juara (antara RM750 ke RM1,500) sehingga empat regu pemenang yang kalah suku akhir (antara RM50 ke RM100) sekiranya penyertaan melebihi 10 regu dengan pecahan angka tertentu bagi kategori masing-masing.

“Tarikan lain buat peserta ialah kadar yuran penyertaan yang murah iaitu antara RM20 bagi kedua-dua Bawah 15 dan 18 Tahun) hingga RM50 sahaja bagi kategori selebihnya,” katanya dalam kenyataan media, baru-baru ini.

Justeru beliau mengalu-alukan segera penyertaan semua penggemar dan penggiat sepaktakraw dari seluruh negara ke karnival ini yang bakal dijalankan dua peringkat, liga berkumpulan dan kalah mati sebelum tarikh tutup 14 September ini.

Sebarang keterangan lanjut boleh diperoleh daripada Ahmad Tarmizy Mohammed (03-5543561), Sarimah Mohamed (03-55435617), Mohd. Nor Aidil Abdul Latif (03-55435620), Ahmad Bohari (019-3773783), Shamsul Nordin (017-6485612) dan Zaidi Ismail (012-6940240).

Layari juga laman web www.pusatsukan.uitm.edu.my bagi makluman mengenai peraturan dan undang-undang pertandingan karnival.

Jadual hadiah 2012
  • Terbuka: Juara (RM1,500), naib juara (RM1,000), ketiga bersama (RM500), kalah suku akhir (RM100)
  • IPT: Juara (RM1,300), naib juara (RM1,000), ketiga bersama (RM500), kalah suku akhir (RM100)
  • B18: Juara (RM900), naib juara (RM600), ketiga bersama (RM300), kalah suku akhir (RM50)
  • B15: Juara (RM750), naib juara (RM400), ketiga bersama (RM200), kalah suku akhir (RM50)
  • Wanita: Juara (RM900), naib juara (RM600), ketiga bersama (RM300), kalah suku akhir (RM50)
  • Media: Juara (RM1,000), naib juara (RM750), ketiga bersama (RM500), kalah suku akhir (RM100).

Juara lalu
2007
B21/23/Terbuka - UiTM; IPT - King Mongkut University (Thailand); B18 – MSSNS; B15 - PASTA A; Wanita - MSWP.
2008
IPT – UiTM A; B18 – MSSM Terengganu A; B15 – SSBP C; Wanita – MSKL A
2009
B21/23/Terbuka – UniMAP A; IPT – UiTM B; B18 – MSS Terengganu C; B15 – SSBP A; Wanita – UiTM C
2010
IPT – Majlis Sukan Politeknik B; B18 – SSBP A; B15 – SSBP A; Wanita – Kelantan A; Media – Sukan Malaysia
2011
Terbuka – PDRM A; IPT – UiTM B; B18 – SSTMI A; B15 – SSTMI C; Wanita – UiTM A; Media – Utusan-Astro

17 August 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Assalamualaikum wbt
Hari ini Jumaat yang terakhir untuk Ramadhan tahun ini. Pastinya ramai di kalangan pembaca Bolarotan sudah pun tiba di kampung halaman masing - masing untuk menyambut Syawal bersama ahli keluarga. Saya sendiri sudah pun tiba di Kulim untuk berhari raya di sini. Walaupun segalanya sederhana tahun ini tetapi apa yang penting, memahami kembali kepada fitrah manusia itu adalah semangat yang harus di bawa usai Ramadhan nanti.

Sepanjang Ramadhan ini nampaknya aktiviti sepaktakraw tidak berhenti begitu sahaja. Di kejiranan saya, setiap malam gelanggang masih beroperasi. Di Putrajaya khabarnya juga meriah pada hujung minggu. Malah di Sarawak ada kejohanan pula untuk bukan muslim. Latihan oleh pasukan - pasukan besar juga berterusan memandangkan begitu banyak kejohanan menjelang September ini.

Apa jua keadaanya, saya mewakili diri saya, krew Bolarotan dan jawatan kuasa MBR ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf andai ada kekurangan dari segi perilaku, tuturkata, penulisan atau apa jua yang kami lakukan mengguris hati mana - mana pihak. Sebagai insan biasa, kamimjuga tidak lepas dari melakukan kesilapan.

Semoga Aidilfitri kali ini akan menjadi pemangkin buat diri kita semua. Saya doakan juga Ramadhan kali ini telah menjadi Ramadhan terbaik yang pernah kita lalui.

Minal Aidil Wal Faizin.. Selamat Aidilfitri dari Bolarotan.

05 August 2012

Skuad elit kembali No. 2 dunia


SKUAD elit negara menepati jangkaan untuk kembali menjadi No. 2 dunia di belakang musuh ketat, Thailand berikutan pencapaian selaku naib juara Siri Super Akhir Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) di Bangkok, 1 Julai lalu.

Biarpun terkandas pada separuh akhir antara regu dan berpasukan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-27, kemudian, anak buah Jamaluddin Hassan sempat menambah 200 mata daripada siri akhir itu untuk menghimpun 1,075 mata dalam ranking dunia Istaf.

Hanya pencapaian sepanjang Piala Dunia, Julai lalu dan empat pusingan Siri Super 2011-12 sejak September lalu di Bangkok selain Palembang (Februari) dan Singapura (Mei), yang diambil kira bagi penentuan ranking berkenaan.

Ia turut menyaksikan juara dunia 2011, Thailand mengumpul mata maksimum setelah menjuarai kelima-lima pertandingan anjuran Istaf itu sekali gus muncul No. 1 dunia dengan memungut 1,500 mata - begitu juga dengan skuad wanita mereka.

Dari segi ranking keseluruhan Siri Super Istaf, Thailand turut kekal teratas dengan 1,000 mata diikuti Malaysia, 700 mata; Korea Selatan (695), Indonesia (665), Jepun (590), Singapura (540), Brunei (470), Amerika Syarikat (410), Filipina (390) dan India (340).

Kutipan mata Malaysia dipastikan menerusi pencapaian naib juara Piala Dunia di Kuala Lumpur (375 mata), suku akhir Siri Super 1 dan 3 (masing-masing 150 mata) dan 400 mata bagi kedua-dua naib juara Siri Super 2 dan Akhir. 

Ranking kedua dunia skuad elit juga banyak 'dibantu' kelewatan Indonesia hadir dalam Siri Super Akhir yang jika sebaliknya berlaku, mampu menurunkannya lebih bawah seperti mana mereka menyekat Malaysia dalam separuh akhir antara regu Piala Raja Thai.

Bagaimanapun pencapaian skuad wanita negara, cukup mengejutkan malah memberangsangkan apabila mereka kini di tangga ketiga dunia di belakang juara dunia, Thailand dan Vietnam selepas meraih tempat ketiga Siri Super Akhir di Bangkok lalu.

Anak buah Md. Fikri Md. Nor ini turut menyerlah dalam Piala Raja Thai dengan menjuarai acara beregu Divisyen Satu sekali gus layak ke Divisyen Perdana tahun depan selain mara ke separuh akhir antara regu kejohanan itu. 

Mereka kini sudah mampu menjinakkan lawan lebih berpengalaman seperti Jepun dan Korea Selatan malah nyaris mengejutkan naib juara dunia, Vietnam tetapi kemampuan sebenar hanya akan lebih teruji jika dapat berdepan Indonesia, Myanmar dan Laos pula.
   
RANKING DUNIA ISTAF 
LELAKI                                       
1. THAILAND (1,500)
2. MALAYSIA (1,075)
3. KOREA SELATAN (975)                          
4. INDONESIA (940)
5. SINGAPURA (850)
6. JEPUN (760)
7. FILIPINA & BRUNEI (670)
8. INDIA (605)
9. AMERIKA SYARIKAT (590)
10. MYANMAR (465)
11. LAOS (270)
12. VIETNAM (240)
13. TAIWAN (230)
14. JERMAN (195)
15. IRAN (135)
16. CHINA (100)
17. PERANCIS (90)
18. KEMBOJA (75)
19. SRI LANKA (70)
20. SWITZERLAND (60)
21. BANGLADESH (55)
22. AUSTRALIA (50)
23. PAKISTAN (45)

WANITA
1. THAILAND (1,500) 
2. VIETNAM (1,125)
3. MALAYSIA (935)     
4. KOREA SELATAN (835) 
5. JEPUN (800)
6. INDONESIA (755)
7. CHINA (625)
8. INDIA (530)
8. MYANMAR (415)
9. KEMBOJA (260)
10. FILIPINA (250)
11. PAKISTAN (170)