05 August 2012

Skuad elit kembali No. 2 dunia


SKUAD elit negara menepati jangkaan untuk kembali menjadi No. 2 dunia di belakang musuh ketat, Thailand berikutan pencapaian selaku naib juara Siri Super Akhir Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) di Bangkok, 1 Julai lalu.

Biarpun terkandas pada separuh akhir antara regu dan berpasukan Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-27, kemudian, anak buah Jamaluddin Hassan sempat menambah 200 mata daripada siri akhir itu untuk menghimpun 1,075 mata dalam ranking dunia Istaf.

Hanya pencapaian sepanjang Piala Dunia, Julai lalu dan empat pusingan Siri Super 2011-12 sejak September lalu di Bangkok selain Palembang (Februari) dan Singapura (Mei), yang diambil kira bagi penentuan ranking berkenaan.

Ia turut menyaksikan juara dunia 2011, Thailand mengumpul mata maksimum setelah menjuarai kelima-lima pertandingan anjuran Istaf itu sekali gus muncul No. 1 dunia dengan memungut 1,500 mata - begitu juga dengan skuad wanita mereka.

Dari segi ranking keseluruhan Siri Super Istaf, Thailand turut kekal teratas dengan 1,000 mata diikuti Malaysia, 700 mata; Korea Selatan (695), Indonesia (665), Jepun (590), Singapura (540), Brunei (470), Amerika Syarikat (410), Filipina (390) dan India (340).

Kutipan mata Malaysia dipastikan menerusi pencapaian naib juara Piala Dunia di Kuala Lumpur (375 mata), suku akhir Siri Super 1 dan 3 (masing-masing 150 mata) dan 400 mata bagi kedua-dua naib juara Siri Super 2 dan Akhir. 

Ranking kedua dunia skuad elit juga banyak 'dibantu' kelewatan Indonesia hadir dalam Siri Super Akhir yang jika sebaliknya berlaku, mampu menurunkannya lebih bawah seperti mana mereka menyekat Malaysia dalam separuh akhir antara regu Piala Raja Thai.

Bagaimanapun pencapaian skuad wanita negara, cukup mengejutkan malah memberangsangkan apabila mereka kini di tangga ketiga dunia di belakang juara dunia, Thailand dan Vietnam selepas meraih tempat ketiga Siri Super Akhir di Bangkok lalu.

Anak buah Md. Fikri Md. Nor ini turut menyerlah dalam Piala Raja Thai dengan menjuarai acara beregu Divisyen Satu sekali gus layak ke Divisyen Perdana tahun depan selain mara ke separuh akhir antara regu kejohanan itu. 

Mereka kini sudah mampu menjinakkan lawan lebih berpengalaman seperti Jepun dan Korea Selatan malah nyaris mengejutkan naib juara dunia, Vietnam tetapi kemampuan sebenar hanya akan lebih teruji jika dapat berdepan Indonesia, Myanmar dan Laos pula.
   
RANKING DUNIA ISTAF 
LELAKI                                       
1. THAILAND (1,500)
2. MALAYSIA (1,075)
3. KOREA SELATAN (975)                          
4. INDONESIA (940)
5. SINGAPURA (850)
6. JEPUN (760)
7. FILIPINA & BRUNEI (670)
8. INDIA (605)
9. AMERIKA SYARIKAT (590)
10. MYANMAR (465)
11. LAOS (270)
12. VIETNAM (240)
13. TAIWAN (230)
14. JERMAN (195)
15. IRAN (135)
16. CHINA (100)
17. PERANCIS (90)
18. KEMBOJA (75)
19. SRI LANKA (70)
20. SWITZERLAND (60)
21. BANGLADESH (55)
22. AUSTRALIA (50)
23. PAKISTAN (45)

WANITA
1. THAILAND (1,500) 
2. VIETNAM (1,125)
3. MALAYSIA (935)     
4. KOREA SELATAN (835) 
5. JEPUN (800)
6. INDONESIA (755)
7. CHINA (625)
8. INDIA (530)
8. MYANMAR (415)
9. KEMBOJA (260)
10. FILIPINA (250)
11. PAKISTAN (170)

No comments:

Post a Comment