18 September 2012

Fleet suntik semangat baru Keris

KUALA LUMPUR – Kejayaan Datuk Lee Chong Wei menyumbangkan pingat perak Sukan Olimpik buat negara, baru-baru ini, mencetuskan idea luar biasa Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) untuk memilih sebuah jenama peralatan badminton, Fleet sebagai penaja terbaharu mereka.

Sekalipun daripada jenis sukan yang berbeza, tiada salahnya buat Keris mencuba pendekatan berani tetapi kreatif ini demi mengikut jejak cemerlang jagoan badminton Malaysia itu selaku satu-satunya pemenang pingat Olimpik negara berturut-turut di Beijing 2008 dan London 2012.

Bermatlamatkan kejayaan lebih besar pada kejohanan terbuka khususnya sekitar Lembah Klang, Keris juga berasa cukup bertuah malah bakal lebih bersemangat dengan suntikan penajaan Fleet, jenama terkenal dari Jepun yang berupa kelengkapan pasukan itu.

Sumbangan barangan Fleet itu disampaikan Pengarah Urusan Fleet International Holdings Sdn. Bhd., Teo Tong Wah di sebuah pusat sukan di Kepong, baru-baru ini kepada Pengurus Keris, Abdul Hafiz Ahmad yang turut disertai beberapa pemain Media Malaysia.

“Badminton dan sepak takraw sebenarnya pernah berkongsi gelanggang, sistem kiraan mata, jaring dan tiang permainan malah kerusi pengadil yang sama, satu ketika dulu. Justeru ia bukan satu pendekatan asing untuk Fleet menjadi penaja kelengkapan Keris pula.

“Yang pasti, sokongan Fleet bakal terus menyuntik semangat dan keyakinan Keris dalam memburu kejayaan lebih besar sejajar slogan kami, ‘Demi Warisan Merintis Pembaharuan’,” kata Abdul Hafiz selepas penyerahan penajaan Fleet yang turut dihadiri Pengurus Besarnya, Lim Hui Hui.

Kata Tong Wah, “penajaan ini merupakan salah satu cara Fleet (yang berpangkalan di Muar, Johor) menghargai dan mengiktiraf peranan media dalam mempopularkan apa sahaja jenis sukan di Malaysia sama ada menerusi tugas harian mahupun apabila mereka menjadi pemainnya.

“Kami percaya penggiat sepak takraw mampu turut mencapai kejayaan besar yang setanding dengan badminton di peringkat antarabangsa, tidak lama lagi asalkan ia terus diberikan sokongan padu,” katanya yang juga Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Cina Muar (CCCM).

Pencapaian Fleet dalam Buku Rekod Malaysia (MBR)
  • Penaja utama kejohanan badminton terbesar 2003 dan 2005
  • Replika bulu tangkis terbesar 2005
  • Ekspedisi mendaki gunung terbesar 2005
  • Penaja utama klinik kecergasan terbesar 2006
  • Replika bulu tangkis terbesar 2006
  • Replika reket badminton terbesar 2006
  • Penaja utama badminton maraton terpanjang 2008
  • Penaja utama Jalur Gemilang terbesar diperbuat bulu tangkis 2008
Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris)
Pengurus: Abdul Hafiz Ahmad
Pemain: Hafizuddin Muhammad Zin, Ibrahim Seman, Azmi Khamis, Mohsen Amdan, Daud Abdullah, Mohd. Shuib Ab. Latip, Akhrun Musa, Ku Mohd. Khairul Affendy Ku Kasim (tekong), Nazizul Najhan Saarani, Taufik Al Hakim Ahmad Kosnan, Muhamad Hairul Kusdi, Azmi Mansor, Khairul Azra Ghazali, Zainal Abidin Md. Aris, Maznan Muhd. Mapot Muhamad Mahfud, Nor Azizan Ahmad, Manja Bah Lunggok (pelibas), Khairul Idlan Abd. Razak, Khairul Faizee Mahmod, Wan Mohd. Noraffandi W. Mohd. Ghazali, Mohd. Izzuddin Kamaruddin, Alisaifuddin Kamis, Muhammad Haffizul Ibrahim, Idian Bah Lunggok, Noormanshah A. Rahman (pengumpan).



TEO Tong Wah (tiga dari kiri) menyampaikan replika penajaan Fleet yang berupa kelengkapan pasukan kepada Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) di Kepong, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment