15 September 2012

Rangkuman hari pertama KFC-Utusan 2012 Zon Timur

Sehingga saat ini, hanya beberapa krew Bolarotan sahaja yang sudah boleh berehat. Termasuk saya, kami masih perlu memproses pelbagai perkara. Beribu gambar dan puluhan video harus diteliti dan dipilih untuk disiarkan. Badan sangat letih tetapi atas nama komitmen kami teruskan juga.

Berlangsung pada jam 9.30 pagi tadi, kategori Bawah 12 dan 16 tahun berjalan lancar. Jelas bahawa kita tidak ketandusan bakat. Cuma yang merisaukan saya dan teman - teman lain ialah apa yang harus dilakukan untuk memastikan kelompok ini terus cintakan sepaktakraw. Hakikatnya ramai pemain muda berbakat hanyut apabila usia mula menjelang 16 tahun. Punca utama motor dan rokok.

Berbalik kepada perjalanan kejohanan hari ini, semuanya berjalan lancar sehingga jam 11.50 pagi. Perlawanan berhenti rehat untuk makan tengahari dan solat Jumaat dan kebanyakan pemain berjalan kaki beramai - ramai ke Masjid yang hanya seberang jalan sahaja dari Stadium Negeri ini.

Jam 3 petang kategori terbuka mula membuka persaingan. GASTEP yang hadir dengan 8 regu bagi kategori ini telah berjaya menempatkan 3 regu mereka ke pusingan suku akhir. Regu Atan Rambo, regu Paisan dan regu Jenggo berjaya mengenepikan cabaran regu hebat lain seperti regu Izurin, regu Basri (Kelantan) dan regu Madi Kuta.

Kontroversi turut menghiasi hari pertama ini apabila regu Bukit Putra yang membariskan Hisham Ghani, Syam Halim (KE Kuda) dan Ieme (Kelantan) yang berjaya menang ke atas regu Persatuan Sepaktakraw Daerah Kampung Laut yang dikuatkan oleh tekong negara iaitu Izzurin di protes kerana jersi mereka yang tidak mengikut syarat. Masalah bermula apabila Bukit Putra dikhabarkan hadir tanpa jersi dan mengakibatkan mereka terpaksa membeli jersi secara tergesa - gesa walhal pihak pengajur menyediakan jersi sewa.

Regu INC, Ahmad Ezzat Zaki, Rosli (Mat Bo) dan Putra kecik berjaya mara ke suku akhir mengiringi PKNS A dan B yang diperkuat oleh Suhaimi Yusop, Aizat (Ijat Bomb) dan Norshahrudin (Sinchan) manakala PKNS B dikemudi Putra Abdul Ghani.

Sobey pula beraksi dengan Ayong dan Amar atas nama MAZATECH B menepati ramalan layak ke suku akhir. Regu ini pada pandangan saya boleh menjuarai dengan mudah kategori bawah 20 tahun kerana mereka semuanya masih muda tetapi nampaknya memilih untuk bersaing dalam kategori terbuka.

Untuk kategori bawah 20 tahun, hanya 7 regu sahaja yang berdaftar. Maka pusingan pertama mereka ialah suku akhir esok.

Berikut adalah sebahagian dari koleksi gambar yang dapat dirakamkan.

Aksi tekong berbakat SSTBN B

Tekong SSTBN ini juga mampu melakukan libasan dengan baik

Jurulatih pasukan bawah 12 tahun ini sungguh komited

Aksi bawah 12 tahun


Regu INC-SSNKL


Apit kanan berjersi oren ini ialah Azizi, pelajar tingkatan 4 SSTBN yang turut beraksi dalam acara double SUKMA baru - baru ini

Permainan yang menghiburkan dari kedua - dua regu muda ini


Mata akhir ke sisi 3 yang mengecewakan regu PASTA

No comments:

Post a Comment