14 January 2013

Mesyuarat pertama 2013 Masyarakat Bolarotan

Alhamdulillah..12 Januari yang lalu berjaya diadakan mesyuarat MBR yang pertama bagi 2013. Kehadiran 12 orang ahli MBR termasuk jawatankuasa telah membuatkan mesyuarat selama 2 jam itu berlangsung baik dan membuahkan banyak idea baru. 2013 ini MBR telah pun merancang beberapa perkara yang bakal membawa nafas baru dalam dunia sepaktakraw Malaysia khususnya.

Dari kiri atas : Fairul Rafiq, Fadzil Daud , Luqman , Bro M, Syarudin Nazir , Hanif Azman , Rodong
Dari kiri depan : Syahriman , Saiful Azam , Mohsen Amdan , Firdaus , Abang Joy


2013 ini, MBR akan bergerak atas satu tema yang cukup kuat dan besar. Tema yang dijadikan falsafah dan prinsip pada tahun ini ialah PATRIOTISME MENERUSI SEPAKTAKRAW. Ini adalah satu usaha Bolarotan dan MBR dalam memartabatkan sepaktakraw ke tahap lain. Kami tidak sahaja mahu melihat sepaktakraw ini sebagai satu sukan picisan tetapi sebagai satu platform rakyat menunjukkan rasa cintakan negara melalui pencapaian cemerlang dalam kejohanan sepaktakraw. Nama negara boleh diharumkan dengan memenangi kejohanan utama dan peluang pemain sepaktakraw untuk mengukir nama sebagai rakyat yang berbakti sebenarnya terbuka. Maka, selain dari mengangkat senjata ke medan perang, pemain sepaktakraw juga sebenarnya boleh menyumbang kepada negara dalam bentuk sukan iaitu beraksi sebaik mungkin. Dengan usaha yang mantap , diharapkan semakin ramai akan berlumba - lumba memajukan diri untuk merebut peluang mewakili Malaysia keperingkat tertinggi. Berilah 100%!

Selain itu, 2013 ini juga bakal menyaksikan program pembangunan dari peringkat bawah iaitu Trio Impian yang menumpukan kepada pelajar berusia 9 hingga 15 tahun. Program ini adalah satu kerjasama Bolarotan dan Kementerian Belia dan Sukan di mana 3 negeri akan terlibat pada fasa 1 ini iaitu KL/Selangor, Sabah dan Sarawak. Nantikan maklumat lanjut mengenai perkara ini nanti.



Siri Jelajah Gelanggang 2013 juga akan menemui anda dalam wajah segar di mana konsep baru akan diperkenalkan. Bayangkan Krew Bolarotan akan hadir bukan sahaja untuk menemuramah, mengupas sejarah gelanggang terpilih, malah satu regu ahli MBR akan turut serta dalam setiap SJG untuk bergasak dengan regu pilihan tuan rumah. Juga akan berlangsung dalam SJG ini ialah ujian kecekapan pemain di gelanggang yang di jelajah dan hadiah dari penaja akan menanti kepada mereka yang berjaya mengatasi ujian kecekapan ini. Ini bertujuan memberi galakan kepada pemain untuk mempertajamkan kemahiran beraksi dan memberikan input kepada pemain yang masih kurang berkemahiran.

DVD latihan bersiri juga akan dihasilkan dalam masa terdekat. DVD siri 1 akan menjadi milik peserta Trio Impian sebagai rujukan adik - adik dalam melakukan latihan. DVD ini juga akan menjadi panduan kepada ahli MBR yang ingin membantu komuniti mereka bermain takraw dengan cara yang lebih sistematik. DVD ini juga akan dijual bagi tujuan mengumpul dana MBR.

MBR Turun Gelanggang juga akan diperluaskan tahun ini. Program ini mensasarkan sekolah - sekolah yang memiliki kekurangan dari segi latihan sepaktakraw. Kekurangan yang saya maksudkan disini ialah guru - guru yang mengendalikan skuad sekolah tetapi guru itu sendiri tidak cekap bermain sepaktakraw. Maka MBR akan turun ke sekolah dan berkongsi ilmu pengendalian pasukan sekolah sekaligus mengenalpasti bakat baru dan juga membimbing pelajar - pelajar ini. Maka ini pastinya dapat memberi pengetahuan kepada guru berkenaan.

Mesyuarat Agong MBR juga akan diadakan dalam masa terdekat. Ini mungkin bakal menyaksikan perubahan barisan kepimpinan MBR yang mana barisan sedia ada adalah Jawatankuasa Penaja sahaja. Mungkinkah MBR bakal mendapat Presiden baru? Sama - sama nantikan.

Terimakasih atas sokongan pembaca semua yang membawa Bolarotan dan MBR ke 2013 ini. Moga bersama kita membangunkan sukan kesayangan kita ini. PATRIOTISME MENERUSI SEPAKTAKRAW!

06 January 2013

Siri Jelajah Gelanggang Mahallah Zubair Al-Awwam UIAM

Assalamualaikumwarahmatullah rakan-rakan semua, semalam krew bolarotan.com berkesempatan untuk singgah di UIAM Gombak kerana difahamkan terdapat sebuah gelanggang sepaktakraw yang masih aktif digunakan. Bertempat di Mahallah Zubair Al-Awwam, terdapat 2 gelanggang sepaktakraw yang ada untuk digunakan oleh para mahasiswa untuk beraksi selepas seharian perkuliahan.


 Apa yang lebih menarik, gelanggang ini dapat digunakan pada waktu malam kerana terdapat kemudahan lampu yang telah disediakan. Pada kebiasaannya, para mahasiswa akan mula beraksi dalam lingkungan pukul 5.30 petang atau 6.00 petang dan akan berakhir menjelang waktu maghrib. Secara mata kasarnya, terdapat ramai pemain-pemain yang jika diberi perhatian mampu untuk diketengahkan. Apa yang lebih penting, semangat serta keghairahan mereka itu membuatkan sukan sepaktakraw terus hidup di bumi UIAM...Insyaallah!!!



02 January 2013

Selangor A juara Piala PSS


SHAH ALAM – Belum pun puas bergembira dengan kejayaan di Petaling Jaya, empat hari sebelumnya, Noor Azman Abdul Hamid kembali mengemudi regunya, Selangor D pula untuk menjuarai Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) 2012.
Kelmarin (30 Disember), bekas tekong kebangsaan itu yang diapit D.H. Mohd. Amin dan Mohd. Saifulrudin Khalid juga hanya memerlukan kurang setengah jam untuk mengatasi regu ‘adik’, Selangor A 2-0 (15-10, 15-9) pada perlawanan akhir di Dewan Besar Tanjung Seksyen 19 di sini.
Pada 25 Disember lalu, Noor Azman atau digelar Man Kuda yang kali terakhir mewakili negara pada Siri Super Istaf 1, September 2011, memimpin MBPJ C menjuarai Kejohanan Sepaktakraw Terbuka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ke-20.
Selaku juara, Selangor D turut membawa pulang piala dan RM3,000 manakala lawan yang turut dibarisi dua bekas pemain negara, Ahmad Sufi Mohammed Hashim dan Fadlansyah Barahim selain Mohd. Husni, meraih RM2,000.
Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans) pula masing-masing mendapat RM1,000 sebagai pemenang ketiga bersama.
Terdahulu dalam separuh akhir, Selangor D terpaksa bergelut untuk menjinakkan UiTM 2-1 sebaliknya Selangor A menewaskan Pestans 2-0.
Kategori bawah 19 tahun merebut Piala Datuk Bandar Shah Alam dan ganjaran RM1,500 pula dimenangi Hulu Langat A yang menewaskan regu D mereka manakala Pestans dan MBPJ C berkongsi tempat ketiga.
Sebanyak 32 regu menyertai Piala Presiden PSS dengan semua hadiah buat pemenang disampaikan oleh Presidennya, Datuk Abdul Rahman Palil.

SEMUA pemenang Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden PSS dan Datuk Bandar Shah Alam, menayangkan hadiah kemenangan masing-masing di samping tetamu kenamaan dan pegawai pertandingan.

01 January 2013

REGU KOLEJ KOMUNITI JASIN MUNCUL JUARA

Oleh: Azuan Ali

KEJOHANAN SEPAKTAKRAW PASTAM 2012 SEMPENA 750 TAHUN NEGERI MELAKA
KATEGORI BAWAH 19 TAHUN


Pasukan Sepaktakraw Kolej Komuniti Jasin (KKJS) telah muncul Johan pada Kejohanan Sepaktakraw PASTAM 2012 sempena Sambutan 750 tahun Negeri Melaka untuk kategori umur bawah 19 tahun setelah berjaya menewaskan regu Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) di perlawanan akhir dengan mata 15-8 dan 16-14. Kejohanan yang berlangsung selama 3 hari ini bermula pada 21  hingga 23 Disember 2012 telah di jalankan di Dewan Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.A.B Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Hj Mohd Rustam.

Pasukan KKJS dibawah bimbingan Pengurusnya, Mohd Azuan Bin Ali yg juga merupakan Pensyarah Program Perakaunan di KKJS, mara ke perlawanan akhir dengan prestasi yang sangat membanggakan dengan rekod  tanpa kalah sejak dari saingan peringkat kumpulan. Di peringkat separuh akhir, regu KKJS telah menewaskan regu dari Pasukan Bachang dengan straight set 2-0, manakala menurut pengurus pasukan MASKOM, Mohamad Shaharuddin, mereka  layak ke perlawanan akhir setelah menewaskan pasukan Batu Berendam dengan perlawanan yang berlanjutan ke set penentuan.

Dengan kemenangan ini, regu KKJS membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 beserta piala iringan, manakala Pasukan MASKOM pulang dengan hadiah wang tunai RM1,500 dan hadiah iringan. Selain daripada itu, tekong KKJS, Mohd Hishamudin Mohd Nazrin dipilih sebagai tekong terbaik manakala Mohd Aiman dipilih sebagai apit kiri terbaik kejohanan. Hadiah telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Rembau, YB Khairy Jamaluddin.