01 January 2013

REGU KOLEJ KOMUNITI JASIN MUNCUL JUARA

Oleh: Azuan Ali

KEJOHANAN SEPAKTAKRAW PASTAM 2012 SEMPENA 750 TAHUN NEGERI MELAKA
KATEGORI BAWAH 19 TAHUN


Pasukan Sepaktakraw Kolej Komuniti Jasin (KKJS) telah muncul Johan pada Kejohanan Sepaktakraw PASTAM 2012 sempena Sambutan 750 tahun Negeri Melaka untuk kategori umur bawah 19 tahun setelah berjaya menewaskan regu Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) di perlawanan akhir dengan mata 15-8 dan 16-14. Kejohanan yang berlangsung selama 3 hari ini bermula pada 21  hingga 23 Disember 2012 telah di jalankan di Dewan Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y.A.B Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Hj Mohd Ali Bin Hj Mohd Rustam.

Pasukan KKJS dibawah bimbingan Pengurusnya, Mohd Azuan Bin Ali yg juga merupakan Pensyarah Program Perakaunan di KKJS, mara ke perlawanan akhir dengan prestasi yang sangat membanggakan dengan rekod  tanpa kalah sejak dari saingan peringkat kumpulan. Di peringkat separuh akhir, regu KKJS telah menewaskan regu dari Pasukan Bachang dengan straight set 2-0, manakala menurut pengurus pasukan MASKOM, Mohamad Shaharuddin, mereka  layak ke perlawanan akhir setelah menewaskan pasukan Batu Berendam dengan perlawanan yang berlanjutan ke set penentuan.

Dengan kemenangan ini, regu KKJS membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 beserta piala iringan, manakala Pasukan MASKOM pulang dengan hadiah wang tunai RM1,500 dan hadiah iringan. Selain daripada itu, tekong KKJS, Mohd Hishamudin Mohd Nazrin dipilih sebagai tekong terbaik manakala Mohd Aiman dipilih sebagai apit kiri terbaik kejohanan. Hadiah telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Rembau, YB Khairy Jamaluddin.

No comments:

Post a Comment