02 January 2013

Selangor A juara Piala PSS


SHAH ALAM – Belum pun puas bergembira dengan kejayaan di Petaling Jaya, empat hari sebelumnya, Noor Azman Abdul Hamid kembali mengemudi regunya, Selangor D pula untuk menjuarai Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) 2012.
Kelmarin (30 Disember), bekas tekong kebangsaan itu yang diapit D.H. Mohd. Amin dan Mohd. Saifulrudin Khalid juga hanya memerlukan kurang setengah jam untuk mengatasi regu ‘adik’, Selangor A 2-0 (15-10, 15-9) pada perlawanan akhir di Dewan Besar Tanjung Seksyen 19 di sini.
Pada 25 Disember lalu, Noor Azman atau digelar Man Kuda yang kali terakhir mewakili negara pada Siri Super Istaf 1, September 2011, memimpin MBPJ C menjuarai Kejohanan Sepaktakraw Terbuka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ke-20.
Selaku juara, Selangor D turut membawa pulang piala dan RM3,000 manakala lawan yang turut dibarisi dua bekas pemain negara, Ahmad Sufi Mohammed Hashim dan Fadlansyah Barahim selain Mohd. Husni, meraih RM2,000.
Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans) pula masing-masing mendapat RM1,000 sebagai pemenang ketiga bersama.
Terdahulu dalam separuh akhir, Selangor D terpaksa bergelut untuk menjinakkan UiTM 2-1 sebaliknya Selangor A menewaskan Pestans 2-0.
Kategori bawah 19 tahun merebut Piala Datuk Bandar Shah Alam dan ganjaran RM1,500 pula dimenangi Hulu Langat A yang menewaskan regu D mereka manakala Pestans dan MBPJ C berkongsi tempat ketiga.
Sebanyak 32 regu menyertai Piala Presiden PSS dengan semua hadiah buat pemenang disampaikan oleh Presidennya, Datuk Abdul Rahman Palil.

SEMUA pemenang Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden PSS dan Datuk Bandar Shah Alam, menayangkan hadiah kemenangan masing-masing di samping tetamu kenamaan dan pegawai pertandingan.

No comments:

Post a Comment