13 February 2013

Regu emas curah ilmu sepaktakraw

PULAU INDAH, PELABUHAN KLANG - Biarpun pencapaian skuad sepaktakraw negara masih hambar kebelakangan ini selain dihimpit masalah dalaman persatuan kebangsaan, tiga bekas jaguhnya tetap berazam untuk menyuburkan sukan warisan ini dalam Festival Belia Klang 2013 di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor semalam. 

Kepada kira-kira 300 pelajar berusia tujuh hingga 18 tahun dari sekolah sekitar pulau itu, dua anggota regu juara Sukan SEA 2005 - Normanizam Ahmad dan Mohd. Futra Abd. Ghani selain Ariff Ramli, menurunkan ilmu sepaktakraw dengan hasrat mencungkil lebih ramai bakat muda yang mampu mengikut jejak mereka, satu hari nanti.

Trio sepaktakraw yang kali terakhir mewakili negara pada Sukan Asia Guangzhou 2010 ini, memberikan tunjuk ajar teknik asas permainan dalam klinik sukan sempena festival sehari anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor ini.

Sukan lain yang menyertai klinik sempena festival yang menyahut kempen Kementerian Pelajaran untuk melahirkan ‘Satu Murid Satu Sukan’ ini ialah bola sepak dan olahraga yang turut mengundang bekas pelari 400 meter negara, Zaiful Zainal Abidin. 

Program ini akan menjadi satu sejarah buat belia dan kanak-kanak di bandar berkenaan kerana berpeluang mendekati  pemain sepaktakraw dan olahraga  yang pernah mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi pingat emas dan perak  di peringkat antarabangsa.Turut diadakan ialah perlawanan persahabatan antara trio bekas pemain negara dengan regu Pilihan Pulau Indah.

Kata Pengerusi Penggerak Belia Tempatan MPK, Mohd. Zuraidi Komari, klinik melibatkan tiga sukan ini merupakan langkah pertama pihaknya yang melibatkan kerjasama dengan bekas atlet negara yang bakal disusuli pula dengan program jelajah amal membantu golongan anak yatim dan kurang berkemampuan.


 

TRIO bekas pemain sepaktakraw negara bergambar dengan regu Pilihan Pulau Indah sebelum perlawanan persahabatan sempena Klinik Sukan Festival Belia Klang 2013 anjuran MPK di pulau itu.


 

MOHD. Futra Abd. Ghani (kiri) menerima cenderamata penghargaan daripada Mohd. Zuraidi Komari selepas Klinik Sukan Sepaktakraw Festival Belia Klang 2013 di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.


 

PELAJAR-PELAJAR sekolah sekitar Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor melaungkan sorakan semangat sebelum memulakan Klinik Sukan Sepaktakraw Festival Belia Klang 2013 di pulau itu. 

 

MOHD. Futra Abd. Ghani (kanan) melambungkan bola untuk ditimang seorang pelajar perempuan yang juga peserta Klinik Sukan Festival Belia Klang 2013 di Pulau Indah, Klang, Selangor

No comments:

Post a Comment