29 April 2013

Kejohanan Tertutup Jemputan bangi Perdana

Semalam saya sempat singgah ke Bangi Perdana, dan satu kejohanan sempena PRU13 telah berlangsung. Saksikan beritanya


sedikit foto perlawanan akhir :

Finalis kejohanan

apa yang ditenung???

cool

bersedia

ketenangan seorang tekong

libasan lan awe

urusetia kejohanan

23 April 2013

Siri Jelajah Gelanggang - Taman Sri Serdang

Minggu lalu saya berkesempatan ke Taman Sri Serdang berdekatan UPM untuk melakukan SJG. Lokasi ini ialah gelanggang rasmi pasukan INC yang dipimpin oleh saudara Firdaus Aziz. Terletak berdekatan dengan Balai Polis Serdang, gelanggang ini pernah melayani nama besar seperti Sobey, Fazli Roslan, Syahmi (adik Syazwan) dan ramai lagi. 




Walaupun pemain INC bukan semuanya dari gelanggang ini tetapi kebanyakan pemain junior mereka terhasil dari gelanggang ini. Dan natijahnya beberapa orang dari mereka kini diserap ke Sekolah Sukan Negeri WPKL. Malah Safar, tekong dari Sabah yang memiliki kelenturan yang sangat baik sepeeti yang saya pernah paparkan di Facebook MBR dahulu juga beraksi di sini.

Saksikan sedutan rakaman yang dapat saya sediakan ini.


22 April 2013

Siri Jelajah Gelanggang - Mahallah Az - Zubair UIAM

Semalam saya sempat kembali ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, tempat saya belajar dahulu. Kembalinya saya kesana adalah terarah selepas isu hangat pelajar UIAM mencipta rekod logo terbesar menggunakan donut! 

Oh bukan..bukan kerana donut....tetapi untuk SJG yang telah beberapa kali dirancang ke sana namun tidak berkesempatan. Ajakan Paparazzi KF, saya penuhi petang semalam walaupun mulanya bagai bakal kecewa kerana hujan turun menderu.

Gelanggang di tengah - tengah kolej atau Mahallah ini sememangnya impian kami sewaktu bergelar mahasiswa dulu. Kami pernah buat gelanggang sendiri di atas tanah merah di Mahallah Ali sebelum wujudnya gelanggang di kawasan Pusat Sukan.

Saksikan rakaman yang dapat di siapkan sebentar tadi.


17 April 2013

GANJARAN SEBAGAI PENDORONG ATLIT


Antara wajah baru dan lama yang menyinari persada sepaktakraw negara

Alhamdulillah...
Artikel saya di kolum ini pada Mac lalu mendapat respon baik dari pembaca. Banyak
juga email dan inbox message Facebook yang saya terima. Syukur, ramai yang faham
maksud tulisan saya itu. Kepada yang ingin memberi respon sila emailkan ke
bolarotan@gmail.com.

Kali ini saya akan membicarakan mengenai GANJARAN SEBAGAI PENDORONG
ATLIT. Tergerak hati ini untuk mengupas isu ini kerana baru - baru ini saya berpeluang
berbual dengan bekas Apit Kanan negara iaitu Hanafiah atau lebih dikenali dengan
nama Pyan Malaysia. Pemain yang bersusuk tegap ini masih aktif beraksi dan juga
bertanggungjawab kepada skuad sepaktakraw Universiti Sains Malaysia menceritakan
pengalaman mereka yang meraih elaun sangat rendah sekitar RM200 sebulan. Namun
jumlah itu tidak pula mematahkan semangat mereka sebagai atlit negara malah
meletakkan Malaysia sebagai keutamaan dan bukannya ganjaran wang ringgit sebagai
kiblat.

Kagum dengan kisah - kisah pemain lama, saya menanyakan pula regim latihan yang
mereka jalani. Satu demi satu kepayahan dan perit bentuk latihan yang diceritakan
kepada saya, dan antara yang terpahat di hati saya ini ialah "Kalau nak senang masa
game (perlawanan) latihan mestilah yang susah". Sefaham saya, maksud beliau ialah
latihan yang susah, keras, perit dan meletihkan pastinya membolehkan atlit beraksi
dengan 'senang' semasa perlawanan sebenar. Adakah anda faham seperti apa yang
saya faham?

Perkara yang membingungkan saya ketika mendengar pernyataan ini ialah,
bagaimanakah atlit dahulu mempunyai motivasi diri yang cukup tinggi, cukup positif dan
bersungguh - sungguh dalam menjalani latihan sama ada di dalam atau di luar kem
kebangsaan walaupun ganjaran dalam bentuk material (wang atau manfaat lain) adalah
sedikit? Apa yang mendorong mereka? Disiplin diri yang tinggi oleh kebanyakan atlit
lama masih ditunjukkan sehingga hari ini. Ku Halim Ku Musa sebagai contoh, bekas
pemain kebangsaan yang sudah mencecah separuh abad usianya, masih lagi serius
dengan 'Warm-up', berjogging dan latih tubi. Ini diterjemahkan dengan badannya yang
masih 'maintain', kawalan permainan yang masih baik dan masih dihormati dengan
disiplin tinggi.

Sukan seperti bolasepak, squash, golf dan badminton mudah menarik minat kerana
ganjaran yang disediakan sememangnya lumayan. Terbuka Axiata sebagai contoh,
menyediakan USD1 juta sebagai hadiah kemenangan dan membuatkan atlit
bersungguh - sungguh berlatih. Baru - baru ini pula ada pihak menawarkan jongkong
emas dan wang jutaan ringgit kepada sesiapa yang berjaya merangkul pingat emas
pertama negara melalui acara badminton!

Tetapi zaman dahulu, hadiah tidak selumayan itu..namun atlit tetap berlatih secara
serius dan bersungguh - sungguh. Apa yang mendorong mereka?
Tabik saya kepada Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu di bawah pimpinan
Tuan Haji Suffian dan kerjasama erat mereka dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu
yang menyediakan insentif yang lumayan kepada pemain sepaktakraw negeri itu.
Sebagaimana maklum, Terengganu kini memiliki puluhan pemain sepaktakraw pelbagai
lapisan umur yang cukup hebat hasil dari program pembangunan sukan sepaktakraw
yang sangat terancang dan teratur. Di bawah kendalian jurulatih Thailand, Vittaya yang
sebelum ini pernah mengendalikan pasukan seperti Amerika dan Brunei, berjaya
membentuk ramai pemain muda berbakat.

Kemenangan skuad SUKMA Terengganu pada SUKMA 2012 menyebabkan setiap
pemain sepaktakraw terlibat beroleh ganjaran wang tunai ribuan ringgit. Malah baru -
baru ini pemain - pemain terlibat di hadiahi dengan mengerjakan Umrah ke Tanah Suci!
Itu sememangnya satu ganjaran yang sangat menarik buat atlit dan pastinya
merangsang atlit pelapis berlatih dengan komited kerana mereka juga bakal menerima
ganjaran setimpal sekiranya berjaya mengulangi kejayaan itu.

Baru - baru ini juga, dunia sepaktakraw dikejutkan dengan kenyataan akhbar yang
mana Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salahlaku berkaitan wang peruntukan yang
diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan berjumlah lebih RM3 juta. Antara
pertuduhannya ialah PSM telah membawa atlit melancong ke Australia. Saya cuba
mendapatkan maklumat dengan persepsi atlit yang dibawa ini mungkin sebagai
ganjaran kemenangan satu kejohanan besar, namun ia adalah sebaliknya. Sekiranya
pergi atas tiket berlatih diluar negara sekalipun, saya dimaklumkan oleh mereka yang
turut serta dalam 'rombongan' itu bahawa sepanjang di Australia tiada sekalipun mereka
menyentuh bola sepaktakraw. Maka apakah tujuan 'makan angin' itu?

Dalam perkembangan terkini juga, pemain sepaktakraw negara dalam skuad Malaysia
B telah tertunggak 3 bulan elaun latihan mereka. Khabarnya baru - baru ini bayaran
telah dibuat tetapi hanya sebulan sahaja. Moral pemain semakin merosot. Cakap -
cakap belakang yang sda dikalangan pelatkh berhasrat meninggalkan kem latihan
setelah menerima bayaran penuh nanti kuat bertiup. Berlatih setiap hari tanpa gaji tetap
dan ada pula yang terpaksa mendapatkan pelepasan dari majikan tetapi tidak pula
menerima elaun seperti yang dijanjikan. Apa perasaan anda sekiranya berada ditempat
mereka?

Benar, zaman dahulu nilai elaun juga rendah. Tetapi keadaan ekonomi sangat jauh
berbeza. Nasi Lemak 50 sen sudah dikira lumayan dan tidak perlu pula fikir mengenai
top-up prepaid telefon bimbit dan sebagainya seperti tuntutan kehidupan semasa.
Maka, adakah elaun RM500 sebulan mampu menarik minat rakyat sebagai pemain
sepaktakraw negara?

02 April 2013

Siri Jelajah Gelanggang - Kampung Belah Dua Permatang Pauh

SJG kali ini membawa saya ke salah satu gelanggang berpengaruh di Pulau Pinang iaitu Kampung Belah Dua. Menariknya gelanggang ini ialah ia berada di dalam halaman rumah orang dan bukan calang - calang orang tuan rumahnya. Belaiu ialah bekas pemain negara iaitu Fauzi Ghazali.

Kehadiran saya ke sana adalah kebetulan dengan tugasan saya berceramah di UITM yang tidak berapa jauh dari lokasi kali ini. Hajat menziarahi Fauzi terbantut kerana beliau masih dalam rawatan kemoterapi di Hospital Besar Pulau Pinang.

Gelanggang yang beroperasi setiap hari ini kini menjadi gelanggang utama salah satu pasukan berpengaruh di utara iaitu Warisan AZ. Alhamduliilah mereka menghadiahi saya dengan t-shirt rasmi mereka! Terimakasih!



Gelanggang ini baru sahaja menganjurkan kejohanan pada 3 Mac lalu. Terletak di tepi jalan utama, pastinya ia mudah dijumpai penggemar sepaktakraw. Saksikan rakaman yang telah saya siapkan ini.

01 April 2013

Patriotisme Menerusi Sukan

Berikut ialah artikel saya yang muncul pada kolum saya di majalah Dunia Sukan edisi Mac 2013.


Patriotisme Menerusi Sukan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana membuka ruang untuk saya berkongsi idea dan pandangan menerusi penulisan di Dunia Sukan yang kini merupakan salah sebuah majalah penting dalam penyiaran maklumat perkembangan sukan dalam negara. Langkah berani Dunia Sukan untuk meletakkan berita dan perkembangan sukan dalam negara sebagai kandungan penulisan mereka adalah langkah hebat dan sangat bersifat patriotik.

Tajuk penulisan sulung saya kali ini juga akan menyentuh isu patriotik - Patriotisme Menerusi Sukan. Patriotisme atau terjemahan langsungnya memberi erti Keperwiraan ini seringkali merujuk kepada sifat berjuang dan berkorban demi negara. Peperangan fizikal dikaitkan di mana pasca Perang Dunia Kedua , negara kita berdepan pula dengan ancaman komunisme dan mereka yang terlibat dengannya digelar sebagai patriot. Namun, buat masa ini tiada perang fizikal yang berlaku di negara kita, maka generasi muda sudah tidak berpeluang mengusung senjata lagi kecuali terlibat sebagai kakitangan Angkatan Tentera Malaysia. Adakah ini bermaksud mereka sudah tidak berpeluang menunjukkan sifat patriotisme atau sayangkan negara?

Sukan adalah juga salah satu medan besar 'peperangan' dalam usaha menaikkan nama negara. Peperangan ini menyebabkan kebanyakan negara berbelanja besar dalam menyiapkan tentera mereka yang lebih dikenali sebagai atlit. Ya..ATLIT. Atlit kini tidak ubah seperti tentera yang berlatih siang malam memantapkan kemampuan mereka bagi menumpaskan pihak lawan. Walaupun bukan tanah jajahan menjadi taruhan sebaliknya pingat, gelaran dan hadiah kejuaraan yang jadi rebutan. Malah tatkala bendera negara dikibarkan dan lagu kebangsaan dimainkan bagi meraikan kemenangan, ia sering diiringi rasa bangga dan titisan air mata bagi sang juara. Rakyat pula menyambut kepulangan mereka bagai wira sejati. Masihkah pembaca ingat sambutan yang diterima Hafiz Hashim pulang sebagai Juara All England di KLIA dahulu? Suasana gamat di sambut pula dengan tengkolok disarungkan di kepala Hafiz yang muncul sebagai pemenang kejohanan berprestij itu.

Dato' Lee Chong Wei antara atlit yang sangat berjaya di negara kita

Bayangkan ini, anda sebagai atlit berlatih dengan tekun dan bersungguh - sungguh. Apa yang berada difikiran anda bukannya semata - mata elaun dan gaji sebagai atlit tetapi memastikan bendera Malaysia berkibar dan lagu Negaraku dimainkan ketika meraikan kemenangan anda! Bukankah itu sangat hebat perasaannya? Tatkala anda pulang dari kejohanan beratus atau beribu orang menanti anda di lapangan terbang untuk mengucap syabas dan tahniah. Wajah terpampang di dada akhbar dan majalah dengan gelaran wira mahupun hero negara. Ya...mungkin bukan anda yang sangat teruja mengenainya tetapi rakyat yang sangat terkesan dengan pencapaian anda iti. Malah ia bakal mendorong lebih ramai orang lagi untuk menurut jejak langkah anda. Adakah anda rasa sumbangan sebegini hanya perlu diukur dengan gaji dan elaun?

Nampaknya, dunia hari ini membuka ruang yang cukup luas untuk atlit menabur bakti kepada negara masing - masing. Malaysia khususnya, meletakkan sukan cukup penting dalam agenda negara. Maka, generasi muda perlu mengambil kesempatan ini untuk mengharumkan nama negara si pentas dunia. Selain untuk menempatkan diri sebaris dengan atlit antarabangsa, ia juga adalah satu bentuk patriotisme yang boleh ditonjolkan. Gunakanlah segala peluang yang ada untuk meletakkan nama kalian sebagai pejuang negara. Ingatlah perkara ini : Patriotisme juga boleh ditunjukkan dalam Sukan!