17 April 2013

GANJARAN SEBAGAI PENDORONG ATLIT


Antara wajah baru dan lama yang menyinari persada sepaktakraw negara

Alhamdulillah...
Artikel saya di kolum ini pada Mac lalu mendapat respon baik dari pembaca. Banyak
juga email dan inbox message Facebook yang saya terima. Syukur, ramai yang faham
maksud tulisan saya itu. Kepada yang ingin memberi respon sila emailkan ke
bolarotan@gmail.com.

Kali ini saya akan membicarakan mengenai GANJARAN SEBAGAI PENDORONG
ATLIT. Tergerak hati ini untuk mengupas isu ini kerana baru - baru ini saya berpeluang
berbual dengan bekas Apit Kanan negara iaitu Hanafiah atau lebih dikenali dengan
nama Pyan Malaysia. Pemain yang bersusuk tegap ini masih aktif beraksi dan juga
bertanggungjawab kepada skuad sepaktakraw Universiti Sains Malaysia menceritakan
pengalaman mereka yang meraih elaun sangat rendah sekitar RM200 sebulan. Namun
jumlah itu tidak pula mematahkan semangat mereka sebagai atlit negara malah
meletakkan Malaysia sebagai keutamaan dan bukannya ganjaran wang ringgit sebagai
kiblat.

Kagum dengan kisah - kisah pemain lama, saya menanyakan pula regim latihan yang
mereka jalani. Satu demi satu kepayahan dan perit bentuk latihan yang diceritakan
kepada saya, dan antara yang terpahat di hati saya ini ialah "Kalau nak senang masa
game (perlawanan) latihan mestilah yang susah". Sefaham saya, maksud beliau ialah
latihan yang susah, keras, perit dan meletihkan pastinya membolehkan atlit beraksi
dengan 'senang' semasa perlawanan sebenar. Adakah anda faham seperti apa yang
saya faham?

Perkara yang membingungkan saya ketika mendengar pernyataan ini ialah,
bagaimanakah atlit dahulu mempunyai motivasi diri yang cukup tinggi, cukup positif dan
bersungguh - sungguh dalam menjalani latihan sama ada di dalam atau di luar kem
kebangsaan walaupun ganjaran dalam bentuk material (wang atau manfaat lain) adalah
sedikit? Apa yang mendorong mereka? Disiplin diri yang tinggi oleh kebanyakan atlit
lama masih ditunjukkan sehingga hari ini. Ku Halim Ku Musa sebagai contoh, bekas
pemain kebangsaan yang sudah mencecah separuh abad usianya, masih lagi serius
dengan 'Warm-up', berjogging dan latih tubi. Ini diterjemahkan dengan badannya yang
masih 'maintain', kawalan permainan yang masih baik dan masih dihormati dengan
disiplin tinggi.

Sukan seperti bolasepak, squash, golf dan badminton mudah menarik minat kerana
ganjaran yang disediakan sememangnya lumayan. Terbuka Axiata sebagai contoh,
menyediakan USD1 juta sebagai hadiah kemenangan dan membuatkan atlit
bersungguh - sungguh berlatih. Baru - baru ini pula ada pihak menawarkan jongkong
emas dan wang jutaan ringgit kepada sesiapa yang berjaya merangkul pingat emas
pertama negara melalui acara badminton!

Tetapi zaman dahulu, hadiah tidak selumayan itu..namun atlit tetap berlatih secara
serius dan bersungguh - sungguh. Apa yang mendorong mereka?
Tabik saya kepada Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu di bawah pimpinan
Tuan Haji Suffian dan kerjasama erat mereka dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu
yang menyediakan insentif yang lumayan kepada pemain sepaktakraw negeri itu.
Sebagaimana maklum, Terengganu kini memiliki puluhan pemain sepaktakraw pelbagai
lapisan umur yang cukup hebat hasil dari program pembangunan sukan sepaktakraw
yang sangat terancang dan teratur. Di bawah kendalian jurulatih Thailand, Vittaya yang
sebelum ini pernah mengendalikan pasukan seperti Amerika dan Brunei, berjaya
membentuk ramai pemain muda berbakat.

Kemenangan skuad SUKMA Terengganu pada SUKMA 2012 menyebabkan setiap
pemain sepaktakraw terlibat beroleh ganjaran wang tunai ribuan ringgit. Malah baru -
baru ini pemain - pemain terlibat di hadiahi dengan mengerjakan Umrah ke Tanah Suci!
Itu sememangnya satu ganjaran yang sangat menarik buat atlit dan pastinya
merangsang atlit pelapis berlatih dengan komited kerana mereka juga bakal menerima
ganjaran setimpal sekiranya berjaya mengulangi kejayaan itu.

Baru - baru ini juga, dunia sepaktakraw dikejutkan dengan kenyataan akhbar yang
mana Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung salahlaku berkaitan wang peruntukan yang
diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan berjumlah lebih RM3 juta. Antara
pertuduhannya ialah PSM telah membawa atlit melancong ke Australia. Saya cuba
mendapatkan maklumat dengan persepsi atlit yang dibawa ini mungkin sebagai
ganjaran kemenangan satu kejohanan besar, namun ia adalah sebaliknya. Sekiranya
pergi atas tiket berlatih diluar negara sekalipun, saya dimaklumkan oleh mereka yang
turut serta dalam 'rombongan' itu bahawa sepanjang di Australia tiada sekalipun mereka
menyentuh bola sepaktakraw. Maka apakah tujuan 'makan angin' itu?

Dalam perkembangan terkini juga, pemain sepaktakraw negara dalam skuad Malaysia
B telah tertunggak 3 bulan elaun latihan mereka. Khabarnya baru - baru ini bayaran
telah dibuat tetapi hanya sebulan sahaja. Moral pemain semakin merosot. Cakap -
cakap belakang yang sda dikalangan pelatkh berhasrat meninggalkan kem latihan
setelah menerima bayaran penuh nanti kuat bertiup. Berlatih setiap hari tanpa gaji tetap
dan ada pula yang terpaksa mendapatkan pelepasan dari majikan tetapi tidak pula
menerima elaun seperti yang dijanjikan. Apa perasaan anda sekiranya berada ditempat
mereka?

Benar, zaman dahulu nilai elaun juga rendah. Tetapi keadaan ekonomi sangat jauh
berbeza. Nasi Lemak 50 sen sudah dikira lumayan dan tidak perlu pula fikir mengenai
top-up prepaid telefon bimbit dan sebagainya seperti tuntutan kehidupan semasa.
Maka, adakah elaun RM500 sebulan mampu menarik minat rakyat sebagai pemain
sepaktakraw negara?

No comments:

Post a Comment