01 April 2013

Patriotisme Menerusi Sukan

Berikut ialah artikel saya yang muncul pada kolum saya di majalah Dunia Sukan edisi Mac 2013.


Patriotisme Menerusi Sukan


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana membuka ruang untuk saya berkongsi idea dan pandangan menerusi penulisan di Dunia Sukan yang kini merupakan salah sebuah majalah penting dalam penyiaran maklumat perkembangan sukan dalam negara. Langkah berani Dunia Sukan untuk meletakkan berita dan perkembangan sukan dalam negara sebagai kandungan penulisan mereka adalah langkah hebat dan sangat bersifat patriotik.

Tajuk penulisan sulung saya kali ini juga akan menyentuh isu patriotik - Patriotisme Menerusi Sukan. Patriotisme atau terjemahan langsungnya memberi erti Keperwiraan ini seringkali merujuk kepada sifat berjuang dan berkorban demi negara. Peperangan fizikal dikaitkan di mana pasca Perang Dunia Kedua , negara kita berdepan pula dengan ancaman komunisme dan mereka yang terlibat dengannya digelar sebagai patriot. Namun, buat masa ini tiada perang fizikal yang berlaku di negara kita, maka generasi muda sudah tidak berpeluang mengusung senjata lagi kecuali terlibat sebagai kakitangan Angkatan Tentera Malaysia. Adakah ini bermaksud mereka sudah tidak berpeluang menunjukkan sifat patriotisme atau sayangkan negara?

Sukan adalah juga salah satu medan besar 'peperangan' dalam usaha menaikkan nama negara. Peperangan ini menyebabkan kebanyakan negara berbelanja besar dalam menyiapkan tentera mereka yang lebih dikenali sebagai atlit. Ya..ATLIT. Atlit kini tidak ubah seperti tentera yang berlatih siang malam memantapkan kemampuan mereka bagi menumpaskan pihak lawan. Walaupun bukan tanah jajahan menjadi taruhan sebaliknya pingat, gelaran dan hadiah kejuaraan yang jadi rebutan. Malah tatkala bendera negara dikibarkan dan lagu kebangsaan dimainkan bagi meraikan kemenangan, ia sering diiringi rasa bangga dan titisan air mata bagi sang juara. Rakyat pula menyambut kepulangan mereka bagai wira sejati. Masihkah pembaca ingat sambutan yang diterima Hafiz Hashim pulang sebagai Juara All England di KLIA dahulu? Suasana gamat di sambut pula dengan tengkolok disarungkan di kepala Hafiz yang muncul sebagai pemenang kejohanan berprestij itu.

Dato' Lee Chong Wei antara atlit yang sangat berjaya di negara kita

Bayangkan ini, anda sebagai atlit berlatih dengan tekun dan bersungguh - sungguh. Apa yang berada difikiran anda bukannya semata - mata elaun dan gaji sebagai atlit tetapi memastikan bendera Malaysia berkibar dan lagu Negaraku dimainkan ketika meraikan kemenangan anda! Bukankah itu sangat hebat perasaannya? Tatkala anda pulang dari kejohanan beratus atau beribu orang menanti anda di lapangan terbang untuk mengucap syabas dan tahniah. Wajah terpampang di dada akhbar dan majalah dengan gelaran wira mahupun hero negara. Ya...mungkin bukan anda yang sangat teruja mengenainya tetapi rakyat yang sangat terkesan dengan pencapaian anda iti. Malah ia bakal mendorong lebih ramai orang lagi untuk menurut jejak langkah anda. Adakah anda rasa sumbangan sebegini hanya perlu diukur dengan gaji dan elaun?

Nampaknya, dunia hari ini membuka ruang yang cukup luas untuk atlit menabur bakti kepada negara masing - masing. Malaysia khususnya, meletakkan sukan cukup penting dalam agenda negara. Maka, generasi muda perlu mengambil kesempatan ini untuk mengharumkan nama negara si pentas dunia. Selain untuk menempatkan diri sebaris dengan atlit antarabangsa, ia juga adalah satu bentuk patriotisme yang boleh ditonjolkan. Gunakanlah segala peluang yang ada untuk meletakkan nama kalian sebagai pejuang negara. Ingatlah perkara ini : Patriotisme juga boleh ditunjukkan dalam Sukan!

No comments:

Post a Comment