19 June 2013

IPT KILANG ATLET?



Assalamualaikum wbt. Bertemu lagi dalam kolum ini pasca PRU 13 yang baru sahaja diharungi oleh negara kita dan sebagaimana keputusannya, BN masih lagi berjaya mengekalkan pemerintahan kerajaan dan senarai Menteri kabinet yang baru telah pun diumumkan meskipun masih terdapat beberapa jawatan dan portfolio yang masih belum diisi. Walaubagaimanapun, berita baik buat peminat sukan negara kerana Menteri Belia dan Sukan berada ditangan orang yang pada hemat saya selayaknya iaitu YB Khairy Jamaluddin. Muda, bersemangat, banyak idea dan berpengaruh adalah satu ciri penting buat kepimpinan satu kementerian yang besar peranannya pada negara ini. Tahniah dan selamat maju jaya saya ucapkan.
Selain KBS, Kementerian yang pada hemat saya penting dalam pembangunan atlet ini ialah Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi yang kini telah pun bergabung dengan 2 Menteri mengendalikannya. Lebih baik lagi apabila Timbalan Perdana Menteri sendiri dan bekas Menteri Besar Trengganu iaitu Dato Seri Idris Jusoh mengapalai portfolio penting ini. Harus diingat bahawa ketika Dato Seri Idris Jusoh mentadbir Terengganu, negeri pantai timur itu mula menunjukkan hasil dalam bidan pelajaran dan sukan malah hasilnya dapat dilihat sehingga kini.
Apa kena mengena 2 perenggan di atas dengan tajuk tulisan saya kali ini? IPT atau Institusi Pengajian Tinggi sama ada Awam atau Swasta sesungguhnya pada hemat saya mampu menjadi kilang pengeluar atlet utama negara. Mengapa pula?
Kebanyakan atlet negara kita ini berusia dari 15 – 27 tahun. Maka pada usia 18 – 24 tahun, seseorang rakyat negara ini majoritinya berada di pusat pengajian tinggi sama Politeknik, Universiti, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran dan pelbagai lagi jenis IPTA / IPTS yang bertebaran di negara kita. Kebanyakkan mereka memiliki jadual pembelajaran yang hampir sama dan ini bermaksud, program pembangunan atlet secara terancang boleh dilakukan dengan baik.
UITM sebagai contoh, merupakan sebuah pusat tumpuan sukan beberapa acara sukan teras dan tidak ketinggalan sukan penting buat Bolarotan.com iaitu Sepaktakraw. Bakat dari seluruh negara berpeluang melanjutkan pelajaran di sini kerana proses kemasukan mereka diberi sedikit kelonggaran dan tahap kemampuan permainan mereka lebih menjadi ukuran berbanding keputusan peperiksaan mereka. Ini tidak bermaksud IPT sebegini berkompromi dengan kelulusan tetapi ia adalah satu kelebihan kepada atlet berprestasi tinggi.
Berikut ialah beberapa sebab IPT mampu menjadi kilang atlet
1.      Infrastruktur dan prasarana yang mencukupi. Kebanyakan IPTA / IPTS memiliki padang, balapan, kompleks sukan, mini stadium, kolam renang, gelanggang – gelanggang serta peralatan latihan yang boleh membantu kepada program latihan untuk penghasilan atlet bertaraf tinggi.
2.      Peruntukan kewangan dari Kementerian yang bertanggungjawab dan juga dari sumber kewangan lain seperti asset university, perniagaan anak syarikat IPT dan juga dana sumbangan dari pihak korporat membolehkan sesuatu jenis sukan itu dibangunkan secara lestari.
3.      Pegawai Pembangunan Belia dan Sukan biasanya adalah satu jawatan sedia ada di mana – mana IPTA / IPTS. Ini adalah kerana IPTA / IPTS memiliki kejohanan mereka sendiri seperti MASUM. Ini bermaksud, setiap IPT memiliki orang yang bertugas dan bertanggungjawab untuk membangunkan sukan mereka. Berbanding dengan NGO, tidak banyak yang mampu menggajikan pegawai khusus untuk memantau pembangunan mereka.
4.      Jurulatih bertauliah juga adalah kelebihan di IPT. Biasanya mereka ini digajikan secara kontrak dan ini turut memberi ruang kepada bekas atlet berkhidmat dan menyertai proses pembangunan sukan ini secara rapat.
5.      Bilangan pelajar yang ramai di setiap IPT turut menjadi satu kelebihan. Jumlah besar ini menjadikan saiz pemilihan bakat menjadi lebih banyak. Malah kejohanan pelbagai peringkat seperti peringkat Fakulti, Kolej, Jabatan dan sebagainya membolehkan setiap IPT mengenalpasti bakat sebelum terpilih mewakili IPT mereka.
Saya percaya ada banyak lagi penyebab untuk menyokong idea IPT Sebagai Kilang Atlet ini. Ia memerlukan keazaman, kesungguhan dan ketelusan dalam proses merancakkan pembangunan atlet dari dalam IPT sendiri. Semoga dengan kepimpinan baru kementerian – kementerian bertanggungjawab dalam merancakkan aktiviti sukan tanahair kita. Wassalam.

2 comments:

  1. Salam..macam mana nak beli t-shirt bola rotan tu??

    ReplyDelete
  2. salam..macam mana nk dapatkan t-shirt terkini bolarotan..pe size yg paling besar
    tkasih

    ReplyDelete