19 June 2013

KEJOHANAN SEPAKTAKRAW BERPASUKAN LIGA USM 2013




Selain Piala Emas Khir Johari, boleh dikatakan Malaysia sepi dengan kejohanan sepaktakraw dalam format berpasukan. Di zaman gemilangnya sepaktakraw di negara kita, format ini sememangnya dinantikan oleh peminat kerana selain aksi hebat pemain di gelanggang, kebijaksanaan jurulatih menyusun pemain dan regu juga sering menjadi tumpuan. Istilah regu lelong, regu keras, pemain lauk dan regu jual  adalah antara sebilangan istilah yang digunapakai oleh peminat dalam perbualan mereka apabila acara berpasukan ini berlangsung. Sebagaimana biasa, regu pilihan diletakkan sebagai regu penyelamat apabila kekuatan pasukan tidak seimbang. Sebelum saya pergi lebih jauh, buat anda yang kurang arif dengan format ini, acara berpasukan akan membariskan 12 pemain dengan 3 regu beraksi. Biasanya pada pusingan diperingkat liga, ketiga – tiga regu akan beraksi dan mata diberikan bagi setiap kemenangan. Maka anda akan mendengar keputusan seperti 3-0, 2-1 atau juga 2-0 sekiranya pusingan perlawanan memasuki peringkat kalah mati.
Universiti Sains Malaysia (USM)membuka langkah berani dan saya lihat sangat patut dipuji kerana buat julung kalinya menganjurkan kejohanan sepaktakraw berpasukan dalam format liga ala – bolasepak! Ini bermaksud ada istilah Home dan Away! Beberapa pasukan sekitar Pulau Pinang telah pun memulakan pusingan awal pada 20 April 2013 lalu dengan melibatkan pemain dari seluruh Pulau Pinang – tanah pualu sahaja, tidak termasuk tanah besar Semenanjung. Pemain yang terlibat pula bukan calang – calang orangnya!
Pemain semuda 16 tahun sehinggalah ke kategori veteran memeriahkan kejohanan kali pertama ini. Pemain yang semakin meningkat naik namanya seperti tekong muda sensasi Pulau Pinang – Mohd Shahir atau lebih dikenali sebagai Panjang dan juga Said, tekong yang seusia Shahir dari sekolah yang sama iaitu Mutiara Impian. Mereka berdua ini beraksi untuk pasukan Jaguh Kampung yang kerap muncul di kejohanan serata utara semenanjung.
Kelibat bekas pemain negara turut sama beraksi kali ini. Siapa yang tidak kenal dengan bekas apit kanan handalan Pulau Pinang dan juga pernah beraksi mewakili negara untuk Piala Raja Thai bersama Ku Halim Ku Musa dahulu iaitu Saladin. Apit kanan veteran ini masih hebat digelanggang. Begitu juga bekas apit kanan negara iaitu Suffian yang lebih dikenali Pyan Malaysia, pemain Perak yang digeruni dengan libasan padunya satu ketika dahulu.
Kejohanan ini Berjaya menarik 2 penaja utama sepaktakraw negara ini iaitu Pallas sebagai penaja hadiah dan Gajah Mas selaku penaja peralatan kejohanan. Syabas diucapkan atas usaha berterusan ini.
Buat masa ini, pasukan dengan nama PERSADA, iaitu singkatan kepada Persatuan Sepaktakraw Daerah Barat Daya yang mana merupakan gabungan beberapa kelab mengungguli carta. PERSADA diperkuat pasukan dari Semboyan dan juga veteran Saladin serta regunya. Turut memberikan cabaran ialah KESUKAS atau Kelab Sukan Kampung Selamat, gelanggang mereka pernah muncul di Bolarotan.com untuk Siri Jelajah Gelanggang satu ketika dulu.
Diharapkan liga ini berjalan lancar dan Insyallah Bolarotan.com akan terus memberikan sokongan dan liputan. Tahniah Mahadzer Mokhtar dan teman – teman di USM atas usaha hebat ini. Moga terus maju!

1 comment: