15 July 2013

Siri Jelajah Gelanggang - Kampung Geliga Kemaman Terengganu



Kemaman merupakan destinasi wajib singgah sekiranya anda dalam perjalanan ke negeri Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu. Daerah yang kian pesat membangun ini menerima limpahan kerancankan industri berasaskan Gas dan Minyak serta pelancongan yang menawarkan pantai yang bersih dan cantik. Tarikan utama semestinya makanan tempatan Terengganu yang sangat popular iaitu Sata, Otak - otak dan Keropok Lekor. Bagi penggemar makanan laut, khususnya Otak - otak dan Sata, ikan segar dan rempah serta inti kelapa yang digunakan pastinya membuka selera dan wajib di makan ketika masih panas - panas lagi..pasti terangkat!

Geng Kampung Geliga

Oh ya…kita bukan dalam segmen Jalan - Jalan Cari Makan tetapi Siri Jelajah Gelanggang Bolarotan.com! Saya dan paparazzi Khairul Faiezin serta perantis praktikal dari UNISEL iaitu Amirul Hakimi berjaya ke Kampung Geliga Kemaman. Tahun lalu saya pernah ke gelanggang dan kali ini saya ingin melihat sendiri perkembangan mereka.
Kampung Geliga Kemaman merupakan lokasi tumpuan Sata dan Otak - otak yang tidak asing lagi. Selain itu, di Kemaman juga tersimpan satu lagi perkara penting iaitu Tekong nombor satu negara kini - Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Sobey juga berasal dari Kemaman. Kakitangan Majlis Perbandaran Kemaman ini merupakan anak jati Kemaman dan turut beraksi di gelanggang Kampung Geliga ini jika beliau pulang ke Kemaman.


Gelanggang Kampung Geliga ini terletak berhampiran dengan salah satu kedai Sata yang popular iaitu Restoran Aziz Satar. Malah restoran ini juga kerap menaja gelanggang ini untuk kejohanan mereka. Dikelilingi rumah setingkat, kawasan lapang berhampiran dengan laut ini di tutupi jaring yang dipasang sebelum permainan dan ditanggalkan semula usai aktiviti sepaktakraw setiap hari bagi mengelak bola melantun jauh. Maklum saja, bakat yang ada di sini bukan calang - calang.

Sadie dengan servis berbahayanya

Berbanding dengan kali pertama saya ke Kampung Geliga, bilangan pemain hanya cukup untuk 3 regu kali ini. Ramai yang punya urusan lain kebetulannya di waktu itu. Melayan tekong - tekong veteran, saya di gasak pada set pertama yang sememangnya tidak saya duga. 2 pinggan sata, 2 pinggan otak - otak dan 2 pinggan keropok lekor untuk 3 orang..pastinya saya amat kekenyangan dan tidak mampu beraksi agresif. Maka pilihan bermain di posisi apit kiri pada set pertama menyebabkan saya dijadikan sasaran servis tanpa belas kasihan.

Killer demam melibas

Sadie, selaku orang kuat gelanggang Kampung Geliga pula turun beraksi. Servis kaki kirinya cukup mengelirukan dan beraksi di posisi apit kanan bersama beliau membuatkan saya lega seketika kerana servisnya sering mengundang mata. 2 apit kanan muda Kampung Geliga ini nampaknya sangat berbakat dengan lonjakan tinggi dan pukulan ‘back stroke’ padu meskipun salah seorang dari mereka demam.


Kawalan gelanggang yang baik dari tekong - tekong veteran serta kemampuan apit kiri di gelanggang ini saya lihat antara tarikan utama gelanggang ini. Rali panjang serta keberanian menghadap libasan padu boleh membantu meningkatkan mutu permainan dengan cepat.
Kepada yang ingin berhubung dengan mereka untuk sebarang tujuan perlawanan atau kejohanan, anda boleh menjejaki mereka di Facebook Masyarakat Bolarotan. Semoga gelanggang ini terus maju di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment