24 August 2013

Mohd Fauzi Ghadzali - Allah lebih mengerti....

Kali pertama saya mengenali beliau tatkala aksinya mewakili negara sekitar awal tahun 2000 - 2003. Servisnya yang mengelirukan, drop nipis dan sasaran paras pinggang sering memerangkap lawan. Wajah tenang dan senyuman mesra sepanjang beraksi di dalam mahu pun di luar gelanggang membuatkan ramai yang mudah selesa dengan beliau.


Kali pertama saya berdepan dengannya di dalam gelanggang ketika Sukan Kakitangan Universiti Malaysia di mana UIAM menjadi tuan rumah. Saya yang masih pelajar ketika itu terpaksa beraksi atas nama kakitangan kerana amat sukar mencari kakitangan UIAM yang boleh bermain sepaktakraw. UIAM terpaksa menghantar pasukan juga kerana selaku tuan rumah, air muka perlu di jaga. Natijahnya, saya berdepan dengan Fauzi dan dibantu Norhisham Ghani, regu saya diratah bak biskut. 

Kali pertama merakam aksi beliau, ketika KFC - Utusan 2011 di Alor Setar di mana kelibat Fauzi berseluar track panjang menarik perhatian saya. Jambang dan rambut ala Chuck Norris masa itu membuatkan saya terlupa yang dia adalah bekas pemain negara. Bergasak menentang regu JPS Kedah dan menundukkan pula MPT sehingga awal pagi, saya terlelap ketika merakam aksi final regu GPMS menentang JLJ.

Kali pertama saya menjejak kaki ke rumah Fauzi adalah ketika saya melakukan SJG ke Kampung Batu Dua. Gelanggang di perkarangan rumahnya itu tidak saya sangka kerana pada mulanya ia tidak kelihatan seperti gelanggang. Siapalah kita untuk mengatakan Fauzi tidak minat sepaktakraw kalau sampai ada gelanggang di halaman rumah sendiri. Malah ketika beliau sakit dan tidak mampu bermain, dia tetap duduk didepan rumah menyaksikan rakan - rakan bergasak saban hari.

Kali pertama saya melihat beliau terlantar ketika beberapa hari sebelum Hari Raya lalu, Saya dan Hasnul Ady (Warisan AZ) ke Hospital Besar Pulau Pinang dan hati saya sebak kerana melihat insan peramah dan penyantun ini terbaring dan tercungap dengan bantuan oksigen dan hanya mampu berkomunikasi dengan kami hanya dengan kerdipan mata.

Kali pertama saya menulis mengenai Fauzi ialah di sini .

Kali pertama saya menjadi marah berkenaan tindakan PSM kepada pemain ialah ketika isu Fauzi dan keengganan dia memakai seluar pendek. Ketika itu saya sangat benci dengan beberapa individu PSM dan saya sangat mengharap keadilan akan berpihak pada Fauzi.

Hari ini, saya dihubungi 2 kali oleh sahabat saya dari Pulau Pinang. Dan apabila kedua - dua nombor ini muncul di skrin telefon saya, saya berdebar dan sangat bimbang. Malah kebimbangan saya itu menjadi nyata apabila perkhabaran kurang enak sampai ke telinga. 

Ketika saya menulis entri ini, hati saya pilu dan sedih kerana nasib Fauzi akan diketahui beberapa jam sahaja dari sekarang. Allah lebih mengerti..

Dengan 5 anak kecil dan isterinya juga tidak bekerja, ia bukan mudah buat mereka sekeluarga. Ketabahan seluruh ahli keluarganya amat saya kagumi kerana bukan semua orang mampu sabar dengan ujian berat sebegini. 

Sahabat pembaca sekalian, marilah kita bersama menadah tangan ke hadrat Allah SWT mendoakan yang terbaik buat sahabat kita, bekas pemain negara Mohd Fauzi Ghazali. Semoga Allah memberikan keputusan terbaik atas dugaan yang menimpanya. Doakan agar Allah memberi kekuatan untuknya pulih kembali seperti sediakala. Saya percaya bukan saya sahaja mahukan itu, malah semua yang mengenalinya.

Saya juga menyeru kepada pembaca yang mampu menyumbang wang ringgit tidak kira berapa sekalipun jumlahnya, salurkan bantuan anda ke akaun milik Fauzi iaitu


MOHD FAUZI GHADZALI
MAYBANK BERHAD
157091034688

Sumbangan anda sangat bermakna khususnya membantu Fauzi, isteri dan anak - anaknya.
Saya telah cuba menyampaikan hal ini kepada YB Menteri Khairy Jamaluddin menerusi sahabat saya. Semoga YB Menteri dapat memberi perhatian sewajarnya.

Saya akan cuba memberikan maklumat terkini mengenai Fauzi sekiranya ada perkembangan terbaru.
Ya Allah, bantulah sahabat kami Mohd Fauzi Ghadzali.

23 August 2013

Laporan MASUM 2013 - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Berakhir tadi, MASUM 2013 yang bertempat di UIAM dan seperti dijangka, UITM mengekalkan status mereka sebagai pasukan terunggul IPT di negara ini. Dengan barisan pemain hebat yang rata - ratanya berstatus negeri, UITM sukar digugat meskipun sorakan penyokong agak mempengaruhi prestasi pemain tadi.

UITM bertemu UPSI pada persaingan akhir yang agak anti klimaks kerana pada perkiraan tahap permainan, pertembungan UITM dan UPM dilihat lebih sensasi. Namun, kedudukan dalam kumpulan mengakibatkan UPM bergasak awal dengan UITM dan UITM menumpaskan UPM 2-1 disaingan suku akhir.

Pertembungan UITM dan UPSI pula adalah ulangan perlawanan peringkat kumpulan dan kemampuan regu - regu UITM tidak dapat disangkal lagi. Kederasan servis Halim dan Syam sahaja sudah sangat berbeza namun UPSI yang dibantu dengan sorakan hampir 100 penyokong dan paluan gendang berjaya mengimbangi perlawanan meskipun mereka tumpas 0-2.

Sementara itu ditempat ketiga dan keempat pula menyaksikan kejutn di mana UTHM, yang mana sebelum ini agak kurang menonjol berjaya menundukkan UM dengan 2-0. Regu kedua beraksi sengit dan kemenangan mereka disambut dengan sujud dan doa oleh pemain - pemain yang dikendalikan oleh Tekong Johor, Halim yang juga kakitangan UTHM. Saksikan rangkuman foto dan sedikit sedutan awal perlawanan akhir.


Lagi foto dan video akan dimuat naik oleh Khairul Faiezin 

Bersedia sebelum bergasak

Paparazzi juga busy!


Model UPSI


Tekong UM


Saya cikgu! ehh..

Najib agak kurang menyerlah pada final kali ini


Syam a.k.a Bob semakin mengganas walaupun cedera

Amirul sebagai apit kanan utama UITM

Aksi tenang Amirul a.k.a Tompel sangat membantu pasukannya





Jurulatih UPSI

Jurulatih UITM

Undian dikendalikan oleh Saiful Azam

Aksi tekong regu pertama UTHM

Barisan pengadil final regu pertama


Penyokong UPSI yang sangat bersemangat

Tekong regu pertama UPSI memiliki servis yang nampak senang tapi sebenarnya mengelirukan






Apit kanan UM (kuning) dari Terengganu





Halim - juga dari Terengganu









Pemain UTHM sujud tanda syukur



Halim dijulang kerana berjaya membawa UTHM ke tahap ini











Tuan Fauzilan juga bertugas