24 August 2013

Mohd Fauzi Ghadzali - Allah lebih mengerti....

Kali pertama saya mengenali beliau tatkala aksinya mewakili negara sekitar awal tahun 2000 - 2003. Servisnya yang mengelirukan, drop nipis dan sasaran paras pinggang sering memerangkap lawan. Wajah tenang dan senyuman mesra sepanjang beraksi di dalam mahu pun di luar gelanggang membuatkan ramai yang mudah selesa dengan beliau.


Kali pertama saya berdepan dengannya di dalam gelanggang ketika Sukan Kakitangan Universiti Malaysia di mana UIAM menjadi tuan rumah. Saya yang masih pelajar ketika itu terpaksa beraksi atas nama kakitangan kerana amat sukar mencari kakitangan UIAM yang boleh bermain sepaktakraw. UIAM terpaksa menghantar pasukan juga kerana selaku tuan rumah, air muka perlu di jaga. Natijahnya, saya berdepan dengan Fauzi dan dibantu Norhisham Ghani, regu saya diratah bak biskut. 

Kali pertama merakam aksi beliau, ketika KFC - Utusan 2011 di Alor Setar di mana kelibat Fauzi berseluar track panjang menarik perhatian saya. Jambang dan rambut ala Chuck Norris masa itu membuatkan saya terlupa yang dia adalah bekas pemain negara. Bergasak menentang regu JPS Kedah dan menundukkan pula MPT sehingga awal pagi, saya terlelap ketika merakam aksi final regu GPMS menentang JLJ.

Kali pertama saya menjejak kaki ke rumah Fauzi adalah ketika saya melakukan SJG ke Kampung Batu Dua. Gelanggang di perkarangan rumahnya itu tidak saya sangka kerana pada mulanya ia tidak kelihatan seperti gelanggang. Siapalah kita untuk mengatakan Fauzi tidak minat sepaktakraw kalau sampai ada gelanggang di halaman rumah sendiri. Malah ketika beliau sakit dan tidak mampu bermain, dia tetap duduk didepan rumah menyaksikan rakan - rakan bergasak saban hari.

Kali pertama saya melihat beliau terlantar ketika beberapa hari sebelum Hari Raya lalu, Saya dan Hasnul Ady (Warisan AZ) ke Hospital Besar Pulau Pinang dan hati saya sebak kerana melihat insan peramah dan penyantun ini terbaring dan tercungap dengan bantuan oksigen dan hanya mampu berkomunikasi dengan kami hanya dengan kerdipan mata.

Kali pertama saya menulis mengenai Fauzi ialah di sini .

Kali pertama saya menjadi marah berkenaan tindakan PSM kepada pemain ialah ketika isu Fauzi dan keengganan dia memakai seluar pendek. Ketika itu saya sangat benci dengan beberapa individu PSM dan saya sangat mengharap keadilan akan berpihak pada Fauzi.

Hari ini, saya dihubungi 2 kali oleh sahabat saya dari Pulau Pinang. Dan apabila kedua - dua nombor ini muncul di skrin telefon saya, saya berdebar dan sangat bimbang. Malah kebimbangan saya itu menjadi nyata apabila perkhabaran kurang enak sampai ke telinga. 

Ketika saya menulis entri ini, hati saya pilu dan sedih kerana nasib Fauzi akan diketahui beberapa jam sahaja dari sekarang. Allah lebih mengerti..

Dengan 5 anak kecil dan isterinya juga tidak bekerja, ia bukan mudah buat mereka sekeluarga. Ketabahan seluruh ahli keluarganya amat saya kagumi kerana bukan semua orang mampu sabar dengan ujian berat sebegini. 

Sahabat pembaca sekalian, marilah kita bersama menadah tangan ke hadrat Allah SWT mendoakan yang terbaik buat sahabat kita, bekas pemain negara Mohd Fauzi Ghazali. Semoga Allah memberikan keputusan terbaik atas dugaan yang menimpanya. Doakan agar Allah memberi kekuatan untuknya pulih kembali seperti sediakala. Saya percaya bukan saya sahaja mahukan itu, malah semua yang mengenalinya.

Saya juga menyeru kepada pembaca yang mampu menyumbang wang ringgit tidak kira berapa sekalipun jumlahnya, salurkan bantuan anda ke akaun milik Fauzi iaitu


MOHD FAUZI GHADZALI
MAYBANK BERHAD
157091034688

Sumbangan anda sangat bermakna khususnya membantu Fauzi, isteri dan anak - anaknya.
Saya telah cuba menyampaikan hal ini kepada YB Menteri Khairy Jamaluddin menerusi sahabat saya. Semoga YB Menteri dapat memberi perhatian sewajarnya.

Saya akan cuba memberikan maklumat terkini mengenai Fauzi sekiranya ada perkembangan terbaru.
Ya Allah, bantulah sahabat kami Mohd Fauzi Ghadzali.

3 comments:

  1. Semoga Allah SWT memelihara Sdra. Fauzi dan memberikan kelapangan dr kesusahan, kesenangan dr kesakitan yang dialami. Kita tak nak dia menderita berpanjangan. Pada masa yg sama, kita kena terus membantu, especially keluarga (isteri dan 5 anak) agar kehidupan seharian mereka terus terbela.

    MBR USA akan memberikan sedikit sumbangan terus ke akaun Sdr. Fauzi.

    ReplyDelete
  2. Kagum dgn prinsip beliau untuk bermain dgn menutup aurat....Semoga beliau terus berada di dalam rahmat dan keampunan Allah...“Ya Allah, ampunilah baginya dan kasihilah dia dan afiatkan dia dan maafkanlah kesalahannya dan muliakan kedudukannya dan lapangkan kuburnya dan bersihkan dia dengan air salju dan air dingin. Bersihkanlah dia dari kesalahannya sebagaimana dibersihkan kain putih dari kekotoran, dan gantikanlah kampunganya dengan kampung yang lebih baik dan ahli keluarganya yang baik, Masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia dari seksa kubur dan fitnahnya dan dari seksa neraka.”

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete