02 September 2013

Tewas kepada Korea Selatan, apa seterusnya?

Hari ini, dinding Facebook Masyarakat Bolarotan tidak henti - henti mencatat status atau komen dari ahli MBR yang hampir semuanya kecewa dengan kekalahan kepada Korea Selatan, pasukan yang dahulunya dibelasah, dilanyak dan berguru dengan pasukan negara kita. Teringat saya ketika menghadap Tekong tinggi lampai mereka ketika itu sewaktu liga tempatan anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya di mana apit kanannya ketika itu ialah Suffian (Selangor / MPAJ). Ketika itu ramai yang berseloroh bimbang Korea Selatan akan mula menjadi kuasa dunia dan kini, ia jadi nyata. Malaysia? Kita masih dengan senario biasa...mengumpul koleksi kalah dan alasan dari PSM.


Kebimbangan saya mula menjelma apabila pemain - pemain muda yang membarisi Elit A dan B mula secara terbuka menyuarakan rasa tidak puas hati tentang pelbagai perkara berkaitan keadaan mereka di dalam kem atau di Thai League. Jangan terkejut dengan kenyataan bahawa pemain langsung tidak menandatangani apa - apa dokumen sepanjang mereka di dalam skuad! Sebagai perbandingan, atlit memanah negara diberikan set setiap seorang yang harga beribu dan pemain sepaktakraw negara perlu membeli sendiri kasut Nan Yang atau Warrior mereka yang lebih murah dari RM50. Anda teruja untuk mewakili negara? Saya sewaktu terpilih mewakil bawah 14 Selangor untuk bolasepak dulu pun diberikan sepasang kasut bola.

Tak mengapalah...letakkan patriotisme di atas. Pemain sedia ada yang baru sahaja tumpas semalam pastinya kecewa dengan apa yang berlaku. Ya, kami juga kecewa. Namun saya tidak meletakkan salah 100% di bahu kalian. Yang ada cuma seribu satu persoalan yang kadang kala rasa muak untuk diperkatakan. 

Saya puji Ahmad Aizat Adam yang memiliki 1st ball yang agak baik. Jarang terpancut dan dapat memudahkan Farhan Adam melakukan hantaran. Norshahrudin pula menampilkan usaha terbaiknya berbanding corak kurang agresif ketika menentang Singapura. Cuma ia tidak memadai buat peminat....

Kamal yang dibawa ke sana atas nama memberi pendedahan di simpan sahaja..apa guna pendedahan kalau disimpan. Secara realistiknya, Hanafiah lebih layak di bawa ke India kerana banyak peningkatan saya perhatikan. Malah, tidak salah saya katakan bahawa dia lebih agresif berbanding Norshahrudin.

Oklah..keputusan pun sudah diketahui, bukan saja Malaysia malah Indonesia dan Thailand juga diaibkan oleh Korea Selatan. Maka apa seterusnya?

Pandangan saya begini.

Kita wajib terima hakikat skuad yang ada kini belum mampu meraih pingat Sukan Sea. Saya tekankan sekali lagi, meraih pingat bermaksud gangsa juga belum tentu dalam genggaman. Kenapa saya kata begitu? Kerana kita tumpas kepada Myanmar, Indonesia dan Thailand sejak kebelakangan ini. Jadi perlukah hantar skuad ke Sukan Sea sekiranya tiada langkah diambil?

Antara soalan popular kepada saya ialah "Mohsen, kenapa teruk sangat Malaysia ni?"

Jawapan saya ialah - saya tidak lagi mahu menulis mengenai apa yang teruk..tapi saya nak tawarkan penyelesaian. Itu pun kiranya PSM yang kebal dan hebat mahu menerimanya dengan berlapang dada.

1. Dengan berbaki 3 bulan, saya optimis ada sesuatu boleh dilakukan. Hampir mustahil namun tiada yang mustahil disisi Allah. Maka percayalah dengan usaha dan tawakkal kejayaan boleh digapai.
2. Rombakan pemain adalah perlu dengan syarat - PIHAK PENGURUSAN PSM JANGAN MASUK CAMPUR KEPUTUSAN PENGURUS PASUKAN DAN BARISAN KEJURULATIHAN. Serahkan sahaja kepada mereka yang lebih mengerti. 
3. Ketua Jurulatih perlu lebih berkesan. Dengan berpakaian kemas sambil memegang fail dan pen semalam hanya membuatkan Nordin Sabarudin kelihatan lebih berperanan. Apa guna ada tekong prolifik seperti Nordin tetapi satu bola drop pun tak kelihatan sepanjang perlawanan? Time - out yang digunakan sepatutnya boleh mengubah bentuk taktikal. Saya ragu wujudnya elemen taktikal dalam skuad negara. Apa taktiknya? 
4. Adakan perlawanan saringan diantara pemain sedia ada dengan senarai pemain yang dilihat berpotensi untuk membuktikan adakah mereka layak atau tidak mewakili negara. Kepada pemain sedia ada, mereka perlu berhempas pulas mempertahankan kedudukan mereka dan kepada pemain saringan, mereka perlu buktikan mereka layak dibawa ke skuad. Lakukan secara terbuka. Ini juga akan mengelakkan pemain sedia ada rasa terbuang secara tidak adil kerana mereka yang turun berlatih selama ini, kenapa pula pemain lain dibawa masuk bukan?
5. Untuk memberi kesegaran, Presiden perlu berani merombak kepimpinan kerana mereka juga penyumbang kepada alasan KENAPA PEMAIN TIDAK MAHU MEWAKILI NEGARA. Ramai yang sudah muak dengan khutbah dan bebelan generasi Baby Boomers ini dan ia sememangnya langsung tidak membantu.
6. Pemain yang diluar skuad, anda juga bertanggung jawab kepada negara. Maka terima dan sahutlah seruan menaikkan nama negara. 
7. PSM MESTI BERANI DUDUK SEMEJA DENGAN BOLAROTAN BAGI MEMBINCANGKAN HAL INI DENGAN LEBIH MENDALAM. SAYA SUDAH KEMUKAKAN KERELAAN BOLAROTAN MEMBANTU NEGARA KEPADA PENGURUS PASUKAN. INI ADALAH MENGENAI NEGARA, BUKAN TENTANG KAMI DAN PSM.





No comments:

Post a Comment