22 January 2014

Kejohanan Sepaktakraw Antara Regu Terbuka Kebangsaan 2014

  



Jom Bangkit !!

Alhamdulillah, baru-baru ini krew bolarotan.com dijemput untuk menghadiri sidang media bersempena program " Jom Bangkit " di Taman Tasik Titiwangsa. Program yang dianjurkan oleh Kelab Sukan, Rekreasi & Kebajikan Bekas Pemain Sepaktakraw Malaysia dan Kelab Sukan Artis Malaysia.



Trio Impian KBS - MBR 2013 Siri 3 Puchong, Selangor


Program TRIO Impian Siri ke-3, Puchong


Pada 20 – 22 hb Disember yang lalu, bertempat di Kompleks Rakan Muda, Puchong telah berlangsung siri ketiga Program TRIO Impian, yang juga merupakan sirkit terakhir bagi tahun 2013. Penyertaan kali ini sebanyak 12 peserta dalam lingkungan umur semuda 10 tahun sehingga 21 tahun, dan rata-rata dari mereka ini telah pun memiliki asas kemahiran permainan sepaktakraw. 
*klik pada gampar untuk paparan yang lebih besar

Berbeza dengan dua sirkit sebelum ini di Sabah & Sarawak, penganjuran di sirkit ketiga ini lebih tertumpu ke arah pengukuhan asas sedia ada para peserta. Barisan jurulatih yang mngendalikan latihan di ketuai oleh Cikgu Syarudin, sebagai Ketua Jurulatih, Cikgu Suhairi (Tekong), Azmi Klang (Apit Kanan) dan Din Feeder (Apit Kiri). Program selama 3 hari ini dilihat telah memberikan impak dalam teknik permainan para peserta bilamana mereka dibawa bermain didalam Liga ADTP pada malam kedua, mutu permainan mereka dipuji oleh para pemain senior yang turun bermain pada malam itu.
Program ini berakhir dengan jayanya dan Program TRIO Impian ini tidak akan berakhir disini kerana..khabarnya pihak KBS telah bersetuju untuk memanjangkan sirkit Program TRIO Impian kepada enam sirkit pada 2014. Alhamdulillah, perjuangan kecil Bolarotan dalam menyemarakkan program pembangunan akar umbi bagi sukan sepaktakraw telah pun berjaya. Semoga perjuangan ini akan semakin berterusan dan di sokong oleh semua.
Akhir kata, pihak Bolarotan sendiri ingin merakamkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan, Para Penaja dan juga pihak-pihak yang telah sama-sama berusaha dalam membantu merealisasikan Program TRIO Impian ini dari awal sehingga kini. Semoga kita berjumpa lagi dengan program yang lebih gemilang di tahun 2014.  



21 January 2014

Ulasan produk - Kasut Warrior Hi - Cut


Akhirnya, selepas lebih 20 tahun saya bermain sepaktakraw , merasa juga saya mengenakan kasut Hi - Cut..dan pastinya ia adalah antara yang paling 'Cult' sekali statusnya iaitu Warrior buatan China. Rezeki saya ketemu dengan kasut yang susah untuk di cari ini ialah ketika kami mengendalikan program Trio Impian di Bintangor Sarawak tahun lalu. Ketika kami di Sarikei, beberapa kedai kasut menjual Warrior Hi - Cut ini dalam keadaan kebanyakannya sudah tidak berkotak lagi dalam kata lain stok lama yang masih mereka simpan.

Saksikan video ulasan kasut ini yang saya gunakan kurang dari 20 kali dalam keadaan yang tidak terlalu ekstrem - tidak berhujan dan berpanas. Namun ia sangat selesa dan membuatkan saya menimang bola dengan lebih yakin dan teknik menyudu bagaikan terlalu mudah untuk dibuat!


Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) 1/2014 Masyarakat Bolarotan

Berikut ialah jemputan rasmi AGM Kelab Masyarakat Bolarotan bilangan 1/2014 yang akan berlangsung pada 1 Februari 2014.





15 January 2014

Tekanan terus memuncak!

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus menerima tekanan apabila Group Ex Pemain Kebangsaan yang diterajui oleh Rommi Suhendra meneruskan usaha mendesak PSM agar merombak kepimpinan mereka. Terbaru pertemuan terus dengan YB Menteri KBS Khairy Jamaludin dan menyerahkan memorandum mendesak perubahan PSM. 

Pertemuan dengan YB Menteri

Terdahulu, gerakan Jom Bangkit yang berlangsung beberapa hari lalu terus disambung dengan gerakan Jom Boikot iaitu memboikot kejohanan yang sifat 'Syok Sendiri' oleh kebanyakan peminat sepaktakraw. Piala Presiden PSM itu di lihat lebih diutamakan oleh badan itu berbanding Piala Emas Khir Johari yang telah gagal dianjurkan tahun lalu dan ISTAF Super Series yang sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur hanya sunyi sepi tanpa alasan munasabah dari PSM.

Pada 20 Januari 2014 ini juga dijadualkan satu pertemuan yang bakal dianjurkan oleh PSM dengan beberapa individu dari pertubuhan yang berminat bersua muka dan juga orang persendirian yang ingin memberi maklumbalas kepada PSM. Ia dijangka berlangsung di MSN Keramat. Namun, ia juga mendapat respon pelbagai sama ada ia relevan untuk dihadiri atau tidak. 

Keadaan ini dilihat agak mencurigakan. Kenapa saya katakan begini? Kerana saya melihat dari sudut politik dan kelangsungannya.

Umum jelas tahu bahawa hasrat majoriti pencinta sukan ini ialah PRESIDEN PSM WAJIB LETAK JAWATAN. Namun, dengan memanggil ke meja perbincangan ini saya lihat hanya akan memanjangkan usia jawatan beliau beserta 2 orang kuatnya. Bersetuju ke meja bermaksud anda mengakui kuasanya, anda mengiktiraf kepimpinan dan juga ingin terus melihat beliau menerajui PSM.

Pertemuan Group Ex Pemain Kebangsaan dengan YB Menteri juga saya rasakan hanya mampu menghangatkan suasana namun, YB Menteri secara dasarnya tidak mempunyai kuasa menukar Presiden PSM dari takhtanya. Ini kerana jawatan Presiden perlu ditandingi dengan menggunakan perlembagaan PSM. Malah, ini juga adalah medan ujian kepada YB Menteri kerana Presiden PSM dilihat sangat berani menentang YB Menteri dan ini dikukuhkan dengan hubungan baik Presiden dengan Penaung PSM yang juga Perdana Menteri! 

Ini bermaksud, hanya ahli gabungan dan Majlis Tertinggi sahaja yang mampu menukar kepimpinan. Adakah ia mudah untuk berlaku? Atas kertas nyata ia susah kerana kebanyakan pemimpin negeri dilihat layu, lemah dan tidak bermaya. Pemimpin sedia ada dilihat lebih kepada penyokong kuat Presiden sedia ada. Namun begitu ada juga negeri yang secara berani mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. 

Ada yang sudah berani ingin keluar dari gabungan, ada pula sudah bersedia menyerang dengan kenyataan akhbar.

Adakah perubahan bakal berlaku? Sama - sama kita nantikan drama ini.

13 January 2014

Sidang Akhbar Gajah Emas Industries Sdn Bhd

Tarikh : 11 Januari 2014
Masa : 4.00 Petang
Lokasi : Hotel Vistana Kuala Lumpur

Satu sidang media telah dibuat oleh wakil pengeluar bola sepaktakraw keluaran negara iaitu Gajah Emas Industries Sdn. Bhd. berkenaan ketidakpuashatian produk mereka dipinggirkan dari acara SUKMA 2014 yang bakal berlangsung di Perlis. Rasa tidak puas hati ini berlaku kerana pada awalnya Gajah Emas telah dipersetujui untuk produk mereka digunakan bagi temasya berkenaan namun, ada tangan ghaib dari Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah mengakibatkan bola keluaran Thailand digunakan bagi temasya tersebut.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Gajah Emas Industries Sdn. Bhd.

Syed Azmir Syed Ahmad - individu yang dikhabarkan memainkan peranan dalam konflik ini

Wakil Pengurusan Gajah Emas dan dokumen yang berkaitan 

Dalam sidang media tersebut juga, wakil GEISB juga melahirkan rasa kecewa betapa sumbangan mereka selama ini dalam memartabatkan sepaktakraw negara tidak diendahkan walhal Gajah Emas sudah berada dalam pasaran lebih dari 25 tahun. 

Menurut wakil GEISB;

"Ini bukan kerana perniagaan semata - mata, ini lebih bersifat sabotaj. Sekiranya kami mahu berikan produk kami secara percuam sekalipun untuk SUKMA ia akan ditolak oleh Sekretariat SUKMA kerana terdapat klausa "Semua produk perlu mendapat 'endorsement' dari ISTAF. Kami tidak di iktiraf ISTAF kerana sebagaimana semua tahu, satu produk dari Thailand sudah menguasai ISTAF secara politik"

"SUKMA adalah kejohanan tempatan, kenapa perlu mendapat 'endorsement' dari ISTAF? Sekiranya kejohanan dalam negara sendiri tidak menyokong produk tempatan, siapa lagi yang nak sokong?"

Sebagaimana maklum, GEISB banyak sekali menaja pelbagai kejohanan sejak sekian lama. Malah, ada wakil dari PSM yang sebelum ini mahukan tajaan dalam bentuk wang tunai walaupun ia bukanlah amalan biasa. Perkara sebegini cuba di atasi oleh GEISB dengan meminta surat dari mereka namun mereka tidak berani mengemukakan surat itu.

Surat persetujuan penggunaan produk GEISB yang sebelum ini telah dipersetujui oleh PSM dan Sekretariat juga 'ghaib' dan digantikan dengan satu syarikat lain yang menggunakan produk Thailand.

11 January 2014

Persatuan Sepaktakraw Malaysia makin tertekan?

Begitu banyak tekanan yang diberikan kepada PSM sejak kebelakangan ini nampaknya. Dengan sindiran pedas dek kekalahan di Sukan SEA yang lalu malah kegagalan menganjurkan Piala Emas Khir Johari 2013 cukup membuatkan mereka yang duduk dikerusi empuk PSM panas punggung.
Klik sini untuk berita berkaitan di Harian Metro


Mesyuarat MSN - PSM yang baru sahaja berlangsung baru - baru ini menampakkan MSN akan mula mengambil peranan lebih besar selepas ini. Program pembangunan pemain pelapis kelolaan MSN di 
UITM Shah Alam bulan lalu hasil dari pencarian bakat melalui Kejohanan Antara Pusat Latihan 
Negeri (PLN) sudah menunjukkan jalan awalnya.

Di mana - mana saja orang bercerita mengenai keburukan PSM..ini adalah perkara pahit yang wajib diterima mereka atas kegagalan menguruskan PSM dengan bijak. Tuduhan demi tuduhan mereka terima dan yang terkini, usaha Bekas Pemain Kebangsaan pula cuba meneruskan tekanan itu. Terbaru, satu acara yang di namakan Jom Bangkit akan dilangsungkan di Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur di mana ia bakal dimulakan dengan perlawanan pertunjukan antara bekas pemain negara seperti Putra Abdul Ghani, Rommi Suhendra dan beberapa lagi menentang Artis Malaysia yang bakal terdiri dari Mawi, AC Mizal, Rahim R2 dan ramai lagi.

Gambar di ambil dari FB Presiden Kelab Penyokong Sepaktakraw Malaysia

Kemudiannya, ia bakal disusuli dengan satu sidang media mendesak perubahan kepada PSM. Apa akan berlaku selepas itu terpulanglah kepada PSM.

Namun bukan sekadar itu, hari ini juga bakal berlangsung satu sidang media dari salah satu pemain industri berkaitan sukan kesayangan kita ini yang juga mempunyai tujuan sama - menekan PSM.

Bolarotan.com akan kesana setelah dijemput bagi membuat liputan sidang media yang bakal berlangsung disebuah hotel di Kuala Lumpur. Pastinya semua media utama dijemput untuk itu. Nantikan maklumat lanjut dari kami atau nantikan sahaja di berita - berita utama malam ini.

02 January 2014

Respon Pengurus Pasukan Sepaktakraw Malaysia - Isu Serang Wartawan

Inilah antara foto yang disiarkan di kebanyakan media berkaitan isu serangan keatas wartawan oleh Pengurus Pasukan Sepaktakraw Malaysia

Seperti yang dijanjikan, berikut ialah temubual saya bersama Pengurus Pasukan Sepaktakraw Negara iaitu Saudara Zamri. Temubual ini dilakukan secara online ketika beliau masih berada di Sukan Sea yang lalu. Tiada sebarang penambahan atau pengurangan teks dari temubual ini.

S. Berikutan laporan suratkhabar baru - baru ini, nama saudara agak tercemar di seluruh negara. Apa komen anda? 
J. Persepsi , Tidak sepatutnya berlaku dan dan tak perlu dihebohkan. 

S. Adakah benar apa yang didakwa saudara menyerang Hussin? Boleh kongsikan apa yang berlaku sebenarnya? 
J. Tiada serangan waima cubaan serangan pun yg berlaku. Memang ada pertengkaran kecil berlaku di dalam bilik persalinan, dimana selepas game final inter regu menentang Thailand wartawan Husin masuk ke bilik persalinan pemain untuk menemuramah ketua jurulatih. Saya bersama Haji Jamaluddin sedang makan dan tanpa memberi salam wartawan terus ingin menemuduga HJ, saya bertanya kpd wartawan tentang tulisan wartawan tentang isu elaun rm200 serta pemain sabotaj dgn bermain sambil lewa dan saya menyatakan jangan membuat andaian serta fitnah kepada pemain negara. Bila berlaku pertengkaran wartawan di tarik keluar oleh beberapa pemain. Selepas beberapa minit dan keadaan semakin reda saya ingin keluar dari bilik persalinan dan ingin bercakap kepada wartawan tersebut tentang penulisan nya yang tidak berintegriti tetapi saudara Nordin Sabarudin menghalang saya daripada pergi berjumpa dengan wartawan tersebut. Kejadian menghalang saya oleh saudara Nordin telah dirakam oleh pihak TV3 menampakkan seolah - olah seperti ingin menyerang wartawan tersebut. Tiada perlakuan menyerang dari pihak saya seperti mengejar atau menghambat serta menerkam pun.  

S. Dari mana agaknya wartawan berkenaan mendapat maklumat mengenai jumlah elaun itu? 
J. Mengikut wartawan - sumber dari Setiausaha Agung PSM. 

S. Apa pula pandangan saudara bila dikatakan Setiausaha Agung PSM tidak menafikan laporan itu? 
J. Beliau menyatakan ada tambahan elaun dari pengurus. Isunya bukan rm200 tapi isu sabotaj, mereka bukan pembelot negara. 

S. Seolah bagai ada usaha sama diantara bekas pemain sepaktakraw negara dan wartawan ini untuk memburukkan imej PSM. Apa komen anda? 
J. Saya tidak pasti 

S. Adakah benar dakwaan akhbar itu yang mana moral pemain jatuh kerana bayaran yang sedikit? 
J. Tidak benar sama sekali. Mereka bermain untuk negara dan bukan kerana wang ringgit. mereka sudah berlatih selama hampir 2 tahun sebagai persiapan dan mereka bersyukur dan berpuashati dgn duit poket yang telah diberi oleh pihak PSM dan pengurus. 

S. Apakah tindakan seterusnya dari pihak saudara ke atas mereka ini sekiranya benar saudara tidak bersalah? 
J. Saya akan berbincang dahulu dengan peguam saya setibanya saya di Malaysia kerana ini melibatkan maruah saya dan keluarga, kita tengok apa keputusannya nanti..