15 January 2014

Tekanan terus memuncak!

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus menerima tekanan apabila Group Ex Pemain Kebangsaan yang diterajui oleh Rommi Suhendra meneruskan usaha mendesak PSM agar merombak kepimpinan mereka. Terbaru pertemuan terus dengan YB Menteri KBS Khairy Jamaludin dan menyerahkan memorandum mendesak perubahan PSM. 

Pertemuan dengan YB Menteri

Terdahulu, gerakan Jom Bangkit yang berlangsung beberapa hari lalu terus disambung dengan gerakan Jom Boikot iaitu memboikot kejohanan yang sifat 'Syok Sendiri' oleh kebanyakan peminat sepaktakraw. Piala Presiden PSM itu di lihat lebih diutamakan oleh badan itu berbanding Piala Emas Khir Johari yang telah gagal dianjurkan tahun lalu dan ISTAF Super Series yang sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur hanya sunyi sepi tanpa alasan munasabah dari PSM.

Pada 20 Januari 2014 ini juga dijadualkan satu pertemuan yang bakal dianjurkan oleh PSM dengan beberapa individu dari pertubuhan yang berminat bersua muka dan juga orang persendirian yang ingin memberi maklumbalas kepada PSM. Ia dijangka berlangsung di MSN Keramat. Namun, ia juga mendapat respon pelbagai sama ada ia relevan untuk dihadiri atau tidak. 

Keadaan ini dilihat agak mencurigakan. Kenapa saya katakan begini? Kerana saya melihat dari sudut politik dan kelangsungannya.

Umum jelas tahu bahawa hasrat majoriti pencinta sukan ini ialah PRESIDEN PSM WAJIB LETAK JAWATAN. Namun, dengan memanggil ke meja perbincangan ini saya lihat hanya akan memanjangkan usia jawatan beliau beserta 2 orang kuatnya. Bersetuju ke meja bermaksud anda mengakui kuasanya, anda mengiktiraf kepimpinan dan juga ingin terus melihat beliau menerajui PSM.

Pertemuan Group Ex Pemain Kebangsaan dengan YB Menteri juga saya rasakan hanya mampu menghangatkan suasana namun, YB Menteri secara dasarnya tidak mempunyai kuasa menukar Presiden PSM dari takhtanya. Ini kerana jawatan Presiden perlu ditandingi dengan menggunakan perlembagaan PSM. Malah, ini juga adalah medan ujian kepada YB Menteri kerana Presiden PSM dilihat sangat berani menentang YB Menteri dan ini dikukuhkan dengan hubungan baik Presiden dengan Penaung PSM yang juga Perdana Menteri! 

Ini bermaksud, hanya ahli gabungan dan Majlis Tertinggi sahaja yang mampu menukar kepimpinan. Adakah ia mudah untuk berlaku? Atas kertas nyata ia susah kerana kebanyakan pemimpin negeri dilihat layu, lemah dan tidak bermaya. Pemimpin sedia ada dilihat lebih kepada penyokong kuat Presiden sedia ada. Namun begitu ada juga negeri yang secara berani mula menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. 

Ada yang sudah berani ingin keluar dari gabungan, ada pula sudah bersedia menyerang dengan kenyataan akhbar.

Adakah perubahan bakal berlaku? Sama - sama kita nantikan drama ini.

2 comments: