25 March 2014

Siri Jelajah Gelanggang - Alor Setar

Berjaya juga saya menjejakkan kaki ke gelanggang Kuarters TNB Alor Setar ini. Setelah agak lama saya teringin ke sini akhirnya Allah berikan juga ruang ini. Malah kehadiran saya ke gelanggang ini turut bermakna buat saya kerana kali pertama bertemu dengan salah seorang lagenda sepaktakraw negara iaitu Azman Ismail.

Berdiri kiri baju merah itulah Azman Ismail

Terletak di Kuarters TNB Alor Setar, tidak jauh dari Pusat Industri Mergong, gelanggang berlantai kasar ini pastinya mengundang derita buat killer baring atau gulung yang tidak sempurna pendaratannya. Gelanggang ini memiliki ramai apit kanan yang baik tetapi sangat sedikit tekong. Antara yang turut beraksi sebagai tekong di sini ialah anak kepada apit kiri hebat negara iaitu Malek Shamsudin yang baru berusia 18 tahun dan kini giat berlatih untuk SUKMA Kedah.

Anak lagenda Adnan Saidin iaitu Faisal @ Abang juga beraksi di sini saban hari. Saya juga berkesempatan beraksi seregu dengan beliau dan sebenarnya, saya sangat gemarkan beliau beraksi di posisi apit kiri kerana beliau memiliki teknik memeha yang baik, tackling yang berani, hantaran yang pelbagai serta mampu melibas dengan bagus!

Azman Ismail - Tekong negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia pula sebelum ini hanya saya kenali menerusi cerita orang - orang lama dan kali pertama bertemu beliau, saya teringatkan jurulatih lama saya iaitu En. Rahim kerana wajah mereka mirip saya rasakan.

Pada usia 50an, pastinya servis beliau tidak selaju dahulu tetapi servis ke sasarannya sangat baik, kawalan gelanggang yang mantap serta badik yang tidak kurang hebatnya.

Saksikan rangkuman video yang saya titipkan ini untuk makluman pembaca semua.



22 March 2014

Liga ADTP UPSI Tanjong Malim 2014

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan krew Masyarakat Bolarotan untuk mengadakan Liga Air Dicincang Tidak Putus (ADTP ) di UPSI Tanjong Malim. Hampir sebulan merancang, akhirnya kami berkesempatan juga menziarahi rakan-rakan di UPSI. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat khususnya kepada pihak pengurusan Pusat Sukan UPSI kerana mengizinkan kami menggunakan dewan dan juga kepada sahabat-sahabat yang menjayakan program ini.

Secara keseluruhannya, ini merupakan Liga ADTP yang paling ' keras ' pernah dijalankan melihatkan kepada kualiti permainan yang ditunjukkan oleh semua perserta. Rata-rata yang hadir merupakan pelajar UPSI sendiri. Kesimpulan awal yang dapat kami buat adalah Pasukan UPSI akan memberi tentangan yang hebat dalam kejohanan-kejohanan akan datang dan kami yakin sekiranya mereka ini diberi pendedahan yang secukupnya, tahun ini akan menjadi tahun cemerlang sepaktakraw UPSI. Insyaallah !!!!


 

Foto sebelum kejohanan bermula

sesi taklimat kejohanan

bersiap sedia

sesi memanas badan

blocking tinggi

menunggu giliran

mengatur strategi

yee haaa !!

pembaris

tekong yang berpotensi untuk diketengahkan

blocking penuh

pengadil yang adil

rehat jap...amek gas...

servis konsisten

bersedia

pukulan bola dari belakang...

tempat ke-2

semifinalis

regu perlawanan akhir

regu juara

foto selesai kejohanan

18 March 2014

Pertandingan Sepakraga Bulatan - Program Jalinan Kasih Bank Rakyat Siri 2 Kajang 2014

Bank Pilihan Anda

Assalamualaikum warahmatullah,

Pada 15 Mac 2014 yang lalu telah berlangsung Pertandingan Sepakraga Bulatan bersempena Program Jalinan Kasih Bank Rakyat Siri 2 Kajang 2014 di Surau As-Syakirin Kajang. Pertandingan Sepakraga Bulatan ini adalah hasil usaha sama di antara Kelab Masyarakat Bolarotan dan Bank Rakyat.

Pertandingan ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim di antara pihak Bank Rakyat dan penggiat sepaktakraw di negara ini. Selain itu, pertandingan ini juga bertujuan untuk mempromosikan konsep " Sukan adalah ibadah " dengan mewajibkan para peserta untuk menutup aurat.

Program yang bermula seawal 8.30 pagi ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Sri Hasan Bin Malek Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM 2000 ini telah berjaya menarik penyertaan dari regu sekitar Kajang, malah terdapat juga regu yang datang dari kawasan Ampang, Cheras, dan Klang.

Regu Taming Sari berjaya menjadi johan dan membawa pulang RM 500 dengan 575 kali timangan sementara Regu Campuran adalah naib johan dan membawa pulang RM 300 dengan 335 kali timangan. Tempat Ke-3 diraih Regu Anai-anai dengan 150 kali timangan dan tempat Ke-4 diraih Regu Bank Rakyat dengan 80 kali timangan dan membawa pulang RM 150 setiap regu.

" Kerjasama diantara Kelab Masyarakat Bolarotan dan Bank Rakyat ini merupakan satu usaha yang sangat positif. Saya dapat rasakan sekiranya Bank Rakyat konsisten membantu dalam menyediakan platform untuk mempromosikan sukan sepaktakraw, sudah pasti selepas ini sepaktakraw akan sinonim dengan Bank Rakyat " kata seorang peserta selepas sesi penyampaian hadiah.


Berikut merupakan foto - foto semasa pertandingan berlangsung :

Urusetia pertandingan menyiapkan gelanggang
YB Dato' Sri Hasan Bin Malek menimang bola sebagai simbolik perasmian pertandingan


Bergambar bersama YB Dato' Sri Hasan Bin Malek
Regu Bank Rakyat
Regu Campuran
Regu Taming Sari
Regu Anai-anai
Para peserta mendapat cenderahati dari Bank Rakyat
Foto-foto lain boleh dilihat di akaun Saadkuidam Khan ( Jurugambar MBR ) :


Pertandingan Sepaktakraw MPAJ 2014

Assalamualaikum warahmatullah, berikut merupakan butir-butir kejohanan ini :



Sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi Encik Rahim di talian 012 388 5031

14 March 2014

Pertandingan Sepakraga Bulatan - Program Jalinan Kasih Bank Rakyat Siri 2 Kajang 2014

Bolarotan dengan ini menjemput semua peminat sepaktakraw untuk beramai - ramai menyertai pertandingan sepakraga bulatan yang sudah agak lama juga tidak dianjurkan oleh kami. Ini bersesuaian dengan tema 2014 bagi Bolarotan iaitu SEPAKTAKRAW SUKAN RAKYAT yang mana asas kepada permainan sepaktakraw ialah menimang dan mengawal bola. Program kali ini pula semakin hebat kerana ia ditaja sepenuhnya oleh rakan strategik Bolarotan terbaru iaitu Bank Rakyat.



Berikut ialah maklumat pertandingan esok

Tarikh : 15 Mac 2014
Masa : 0830 - 1200 tengahari
Lokasi : Surau As - Syakirin Sungai Kantan Kajang
Syarat : Wajib Menutup Aurat
Acara Utama : Sepakraga Bulatan (5 orang sepasukan)
Kategori A : Berusia 21 tahun dan kebawah
Kategori B : Berusia 22 tahun dan keatas
Acara Sampingan : Menimang bola solo / Menanduk bola / Menimang duo

Hadiah Acara Sepakraga Bulatan
Johan RM500
Naib Johan RM300
Ketiga & Keempat RM150 setiap satu

Hadiah Acara sampingan
Johan RM150 setiap satu
Naib Johan RM100 setiap satu
Ketiga & Keempat RM50 setiap satu

Yuran Penyertaan : RM10 seorang (sekali sahaja dan layak menyertai acara sampingan)
Sebarang pertanyaan sila hubungi : 017212 4389 (Khairudin Isa)
Selain acara ini , turut diadakan pertandingan mewarna untuk kanak - kanak. Mari beramai - ramai kita memeriahkan acara ini.

11 March 2014

Siri Super ISTAF Akhir 2013/14 - Perlawanan Akhir Malaysia vs Thailand ( Lelaki dan Wanita )

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya kami berupaya untuk memuat naik rakaman perlawanan akhir di Youtube.

Berikut merupakan rakaman perlawanan akhir yang disediakan oleh saudara Khairul Faiezin dan foto dari saudara Saadkuidam Khan :

Foto : Khairul Faiezin
Foto : Saadkuidam Khan

09 March 2014

Istaf Super Series Stadium Titiwangsa - PSM sudah tiada talian hayat?

Berakhir sudah ISS petang tadi. Malaysia dan Thailand saling  bertemu dipentas akhir bagi kategori lelaki dan wanita. Dan keputusannya seperti kita semua maklum bahawa kita kalah kedua - duanya dengan 0-3. Adakah ia ok atau memalukan? Pastinya persepsi kita berbeza dalam hal ini.

Foto oleh Saadku Idamkan Khan

Mari kita mulakan dengan soalan ini - LAYAKKAH PASUKAN NEGARA KE PENTAS AKHIR?
Ini adalah antara sekian banyak kritikan yang dilontarkan kepada pasukan negara. Saya bukannya pengurus pasukan negara mahupun ahli gabungan PSM apatah lagi saya juga pastinya bukan pemain negara; namun bila soalan ini dilontarkan kepada saya..telinga ini berdesing dan perit bagai ada nanah di dalamnya.

Bayangkan kalau kita bertemu Korea diperingkat suku akhir mahupun separuh akhir..anda yakin kita akan menang? Sukar rasanya bukan? Tahap permainan Korea Selatan ketika bertemu separuh akhri dengan Thailand mampu dijadikan ukuran. Saya yakin Malaysia boleh menang menentang Korea tapi dengan syarat corak permainan perlulah seperti kita berdepan Brunei setidak - tidaknya. Saksikan semula rakaman Malaysia bertemu Brunei dan anda akan faham maksud saya. Tenang, hantaran short yang bervariasi, servis padu dan kawalan gelanggang yang baik. Persoalannya kenapa corak permainan sebegini tidak berjaya dikekalkan oleh pemain ketika menghadapi Thailand? Sebab, mutu permainan Thailand berada terlalu jauh dihadapan. Perlu diakui tahap permainan kita sedikit bawah dari Korea Selatan. Malah dari segi keserasian regu pun, kita dibelakang mereka. Oh ya..ini bukan kritikan saya kepada pemain..tetapi kepada PSM. Kenapa bukan kepada pemain? Sebab mereka baru sahaja digandingkan. Kenapa baru sahaja digandingkan? Kerana PSM tiada perancangan yang bagus sebelum ini. Sifirnya mudah...

Soalan seterusnya - ADAKAH PEMAIN YANG ADA INI TIDAK BAGUS?
Jawapan saya - Ya..mereka sangat bagus. Di Malaysia inilah wajah terbaik yang kita ada. Apa buktinya? Mereka menang dikebanyakan kejohanan peringkat tinggi dinegara ini. Syahir Rosdi dan regu Mutiara Impiannya menang di hampir semua kejohanan yang mereka sertai. Hanafiah dan Muqlis berada di pentas final banyak kejohanan besar. Zaman juga diakui sebagai antara apit kanan terbaik buat masa ini berdasarkan reputasi bersama PKNS, PESTANS dan memenangi KFC-UTUSAN malah mampu bersaing hebat bersama Pornchai. Izurin juga tidak kurang hebatnya. Banyak kejohanan yang beliau hadapi dengan baik. Namun....kenapakah mereka masih tidak mampu mengatasi Thailand? Jawapannya ialah mereka hanya terbaik dikalangan kita. Kita sendiri tidak baik mana. Tanyalah diri sendiri sejauh mana kita serius mempertingkatkan diri dalam permainan. Tanpa kejohanan yang kompetetif atas kegagalan PSM menganjurkannya maka bakat dinegara kita ini hanya berada di tahap ini. Kita diluar ini kurang terangsang untuk mempertingkatkan mainan dan natijahnya, tahap permainan sepaktakraw dinegara kita ini rendah. 
Kalau ada kejohanan pun, ramai lagi yang suka untuk 'koyak' dari bergasak atas nama sukan sepaktakraw. Bila kali terakhir anda saksikan perlawanan akhir yang hebat? Semuanya membosankan bukan?

Soalan lagi - Tukar jurulatih! Mudahkah mencapai keputusan baru dengan menukar jurulatih sahaja sedangkan bakat yang ada adalah dari kolam yang sama? Kalau perlu ditukar sekalipun, siapa penggantinya? Ini soalan berat yang perlu dikupas dengan baik dan mendalam. Insyallah Bolarotan akan cuba mengadakan satu bentuk dialog khusus mengenai hal ini.

Walaubagaimanapun, sekalung tahniah kepada pemain negara yang beraksi sehingga ke final. Kalian menunjukkan permainan yang bagus. Pujian buat Mohd Muqlis Borhan yang menunjukkan peningkatan mendadak berbanding Sukan Sea lalu. Selamat datang ke dunia sepaktakraw sebenar kepada Syahir Rosdi dan semoga semangat anda tidak luntur. Kepada semua pelatih negara yang akan mempersiapkan diri ke Sukan Asia, ini adalah satu tugasan berat yang anda perlu galas dan hanya latihan yang bagus dan konsisten mampu mengangkat mutu permainan anda semua.

Maka, dengan kegagalan ini, adakah PSM berada diambang pilu sedih dan hiba? Adakah ini penyebab kuat Presiden akan dijatuhkan dan kepimpinan baru akan mula mengambil tempat?

Malam tadi di Putrajaya gerakan Jom Bangkit edisi ke 8 berlangsung. Apa pula tulisan di akhbar utama esok?

Siri Super ISTAF Akhir 2013/14 - Singapura vs Brunei, Malaysia vs Jepun, Iran vs Jerman

Alhamdulillah, berikut merupakan beberapa perlawanan yang sempat dirakam oleh saudara Khairul Faiezin :

Foto : Saadkuidam Khan

Siri Super ISTAF Akhir 2013/14 - Perlawanan Separuh Akhir ( Malaysia vs Brunei & Thailand vs Korea )

Berikut merupakan rakaman perlawanan separuh akhir yang dikongsikan oleh saudara Khairul Faiezin :

Foto : Saadkuidam Khan

Foto : Saadkuidam Khan


07 March 2014

Siri Super ISTAF Akhir 2013/14 - Korea vs Indonesia

Berikut merupakan rakaman perlawanan di antara regu Korea menentang regu Indonesia, perlawanan ini dimenangi regu Korea dengan mata 2 - 0 :

Siri Super ISTAF Akhir 2013/14 - Malaysia vs Perancis

Alhamdulillah, seperti yang dijanjikan kepada peminat-peminat semua rakaman perlawanan Malaysia menentang Perancis :

Sumber foto : http://www.sepaktakraw.org

Siri Super ISTAF Akhir 2013/14 - Timang pasti dapat hadiah

Berikut merupakan acara selingan yang ada di sekitar kejohanan :

Siri Super ISTAF Akhir 2013/14 - Regu wanita menyerlah di peringkat kumpulan

Skuad wanita negara memenangi kedua-dua perlawanan di peringkat kumpulan menentang India dan Jepun. Melihat kepada kesungguhan yang ditunjukkan dalam dua perlawanan ini, dapat kita lihat mereka juga menyimpan impian untuk menjadi juara di kejohanan pada edisi kali ini. Seperti bola sepak, selagi belum tamat 90 minit tempoh beraksi segala kemungkinan boleh berlaku. Kami optimis regu wanita mampu melakar kenangan manis pada kejohanan kali ini. Walau apa pun yang berlaku, kami mendoakan kejayaan anda semua. Berikut merupakan foto-foto yang dikongsi oleh saudara Saadkuidam Khan :

Siri Super ISTAF Akhir 2013/14 - Malaysia vs Singapura

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana memudahkan urusan krew bolarotan untuk menonton dan merakam perlawanan yang menemukan regu Malaysia menentang regu Singapura. Tahniah diucapkan kepada pemain-pemain yang terpilih untuk mewakili negara dalam kejohanan ini. Berikut merupakan rakaman yang telah dibuat oleh saudara Khairul Faiezin :

Siri Super ISTAF Akhir 2013/14 - Foto-foto semasa raptai perasmian berlangsung

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana memberi peluang serta memudahkan urusan krew bolarotan iaitu saudara Saadkuidam Khan untuk membuat liputan di Siri Super ISTAF Akhir 2013/14. Berikut merupakan foto-foto yang dikongsikan :


05 March 2014

ISTAF SUPER SERIES 2014 - GRAND FINALE STADIUM TITIWANGSA - Talian Hayat Kepimpinan PSM?

Melihat dari persediaan ISS 2014 ini, apa yang saya boleh katakan ialah ia mengalami peningkatan hebat dari segi produksinya. Melihat dari feeds yang diberikan melalui media sosial, foto dan video dari aktiviti promosi yang lebih kuat serta penyediaan gelanggang dan suasana stadium yang lebih menarik jelas menunjukkan usaha yang diteraju oleh Dato Abdul Halim Kader dan UFA mula menunjukkan hasil. Berikut ialah beberapa foto yang saya maksudkan.


Produksi sebegini yang sangat diidamkan oleh peminat sepaktakraw

Setup ala - ala WWF yang pastinya menaikkan lagi semangat pemain.

Majlis makan malam yang berlangsung di Hilton pula menaikkan lagi prestij kejohanan. Pasukan Malaysia dilihat hadir dengan pakaian rasmi yang sangat segak hasil usaha pengurus negara saudara Zamri membuatkan pasukan negara dilihat berkarisma kali ini. Syabas tuan pengurus!

Ironinya, ia berlaku di Kuala Lumpur, Tatkala tuan rumah menerusi Presiden PSM di asak dengan gerakan Jom Bangkit dan media yang bertanyakan soalan bertalu - talu mengenai cabaran Timbalan Presiden PSM untuk tampuk kepimpinan PSM dan beliau hanya mampu menjawab dengan mengelak. Dan sekiranya ISS ini berjaya dari segi penganjurannya, saya kira reputasi Tok Mat juga akan melonjak sekaligus mengenepikan dakwaan yang dia tidak lagi relevan dalam kepimpinan. Ini diperkukuhkan lagi dengan faktor berikut;
1 - Barisan pemain Malaysia yang dilihat lebih mantap hasil gabungan pemain lama dan baru.
2 - Penjenamaan pasukan dengan usaha penampilan lebihb baik dari segi pakain rasmi dan jersi. Penajaan dari Haj Transport yang diketahui sebagai rapat dengan Ahmad Hassan - orang yang dibawa masuk ke PSM untuk membantu program pembangunan PSM.
3 - Kenyataan media Dato Abdul Halim Kader yang seolah menjawab bagi pihak Tok Mat dan mengukuhkan lagi hubungan mereka berdua atas tiket ASTAF.
4 - Produksi hebat ISS di KL ini akan dibaca sebagai hasil 'air tangan' PSM oleh mereka yang tidak tahu mengenai UFA sekaligus menunjukkan PSM mampu memberikan produksi hebat walaupun ditekan.
5 - Thailand yang tidak membariskan regu terkuat membolehkan Malaysia memberikan saingan yang lebih baik di ISS penutup ini. Dan pastinya jika Malaysia menang, PSM akan dengan mudah mendabik dada!

Kenyataan media Dato' Abdul Halim Kader

Pemain Malaysia dan pakaian rasmi di majlis makan malam di Hilton KL

Sekiranya apa yang saya nyatakan di atas berlaku, adakah gerakan Jom Bangkit akan kekal dilihat relevan? Apakah drama seterusnya dalam sepaktakraw Malaysia ini?

Apa pun, di harapkan ISS kali ini mampu meniup semangat pencinta sukan ini untuk terus memeriahkan gelanggang setiap hari dan di doakan pemain Malaysia dapat melakukan yang terbaik.

Terimakasih juga kepada Dato Abdul Halim Kader yang sudi memberikan ole - ole dari Sukan Sea lalu kepada saya dan menariknya. ia disampaikan melalui salah seorang yang amat bencikan saya dan Bolarotan.... huhuhuuhuu

KEJOHANAN SEPAKTAKRAW TERBUKA TERENGGANU PIALA LAGENDA 2014