25 March 2014

Siri Jelajah Gelanggang - Alor Setar

Berjaya juga saya menjejakkan kaki ke gelanggang Kuarters TNB Alor Setar ini. Setelah agak lama saya teringin ke sini akhirnya Allah berikan juga ruang ini. Malah kehadiran saya ke gelanggang ini turut bermakna buat saya kerana kali pertama bertemu dengan salah seorang lagenda sepaktakraw negara iaitu Azman Ismail.

Berdiri kiri baju merah itulah Azman Ismail

Terletak di Kuarters TNB Alor Setar, tidak jauh dari Pusat Industri Mergong, gelanggang berlantai kasar ini pastinya mengundang derita buat killer baring atau gulung yang tidak sempurna pendaratannya. Gelanggang ini memiliki ramai apit kanan yang baik tetapi sangat sedikit tekong. Antara yang turut beraksi sebagai tekong di sini ialah anak kepada apit kiri hebat negara iaitu Malek Shamsudin yang baru berusia 18 tahun dan kini giat berlatih untuk SUKMA Kedah.

Anak lagenda Adnan Saidin iaitu Faisal @ Abang juga beraksi di sini saban hari. Saya juga berkesempatan beraksi seregu dengan beliau dan sebenarnya, saya sangat gemarkan beliau beraksi di posisi apit kiri kerana beliau memiliki teknik memeha yang baik, tackling yang berani, hantaran yang pelbagai serta mampu melibas dengan bagus!

Azman Ismail - Tekong negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia pula sebelum ini hanya saya kenali menerusi cerita orang - orang lama dan kali pertama bertemu beliau, saya teringatkan jurulatih lama saya iaitu En. Rahim kerana wajah mereka mirip saya rasakan.

Pada usia 50an, pastinya servis beliau tidak selaju dahulu tetapi servis ke sasarannya sangat baik, kawalan gelanggang yang mantap serta badik yang tidak kurang hebatnya.

Saksikan rangkuman video yang saya titipkan ini untuk makluman pembaca semua.



No comments:

Post a Comment