25 April 2014

Trio Impian Zon Utara Hari Kedua

Hari kedua Trio Impian Zon Utara bermula dengan teknik regangan bersama Saintis Sukan Khairuddin Isa dengan berkongsi kepakarannya dalam melakukan regangan bagi meningkatkan otot serta mengurangkan risiko kecederaan. Selepas sarapan mereka dipecahkan kepada 3 kumpulan.

a. Sekolah Rendah
b. Sekolah Menengah
c. Tiada pengalaman langsung dalam sepaktakraw




Untuk kumpulan sekolah rendah, Suhaimi Yusof mengambil peranan dengan melatih mereka dengan pelbagai pendekatan menarik serta bersifat interaktif. Manakala kumpulan sekolah menengah dikendali pula oleh Faizal Adnan dengan pendekatan simulasi mudah dan berkesan. Saiful Azam pula mengendalikan sesi asas sepaktakraw bersama peserta yang langsung tidak tahu bermain sukan ini.

Saksikan teaser yang kami sediakan ini.



24 April 2014

Trio Impian Zon Utara 2014



Trio Impian Siri 2 2014 bermula hari ini di Kompleks Belia & Sukan Alor Setar.
Sedang berlangsung ialah proses pendaftaran peserta dan Talent Identification akan berlangsung sebentar nanti.
Penyertaan yang diterima termasuk dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Setakat blog ini di update, sudah 30 peserta mendaftar.
Trainer yang terlibat ialah Suhaimi Yusop, Faizal Adnan , Saiful Azam, Khairuddin Isa dan bahagian teknikal dikendalikan oleh Khairul Faiezin dan Saad Hassan.


23 April 2014

SIRI KEJOHANAN BAKAT BARU MASYARAKAT BOLAROTAN

Mulai 1 Mei ini, Bolarotan menerusi Masyarakat Bolarotan (MBR) memulakan pendekatan baru dalam menggalakkan lagi sukan sepaktakraw ini menerusi Siri Kejohanan Bakat Baru MBR. Usaha strategik ini melibatkan ahli MBR di pelbagai lokasi di mana mereka akan menganjurkan sendiri siri kejohanan dengan suntikan modal dari Bolarotan.com. Dengan tema Sepaktakraw Sukan Rakyat, usaha ini mendapat restu Kementerian Belia dan Sukan 

Kejohanan ini meletakkan objektif seperti berikut
1. Menggalakkan penganjuran kejohanan bersiri dengan memberi tumpuan kepada bakat baru setempat
2. Menarik minat pemain muda untuk beraksi dalam kejohanan tempatan dengan yuran yang berpatutan serta peluang perlawanan pada peringkat yang bersesuaian dengan bakat mereka
3. Mempercepatkan kematangan pemain muda dengan meletakkan syarat di mana setiap regu perlu memiliki 2 pemain berusia 25 tahun ke bawah dan seorang sahaja pemain yang berusia lebih dari 25 tahun.
4. Mengumpul dan mencungkil bakat - bakat baru yang selama ini hanya berlegar pada waktu permainan petang atau malam sahaja.

Kampung Geliga Kemaman menjadi lokasi pertama usaha terbaru ini. Beberapa kawasan lain juga telah mula menghantar permohonan untuk menganjurkan siri yang sama. Komitmen Bolarotan.com untuk kejohanan ini ialah :

1. Menyediakan modal hadiah pada siri pertama sebanyak RM350.00
2. Membekalkan banner kejohanan kepada setiap lokasi.
3. Memberikan liputan kejohanan di laman Bolarotan.com dan Facebook MBR berdasarkan foto, video dan ulasan penganjur

Banner standard yang akan digunakan bagi projek ini.

Komitmen ahli MBR sebagai penganjur pula ialah
1. Mewar-warkan kejohanan pada tarikh yang ditetapkan
2. Menguruskan pendaftaran, jadual , teknikal dan liputan
3. Menguruskan dana hasil kutipan yuran penyertaan sebagai modal bagi siri yang seterusnya
4. Merakam foto , video atau memberikan laporan semasa melalui Facebook MBR.

Bagaimana Bolarotan mengumpulkan dana bagi projek ini?
1. Penjualan produk Bolarotan seperti T-shirt, pelekat cukai jalan dan sebagainya
2. Kutipan tajaan dari mana - mana pihak yang sudi menyumbang
3. Komisyen dari tugasan yang melibatkan Bolarotan sama ada sebagai penganjur, pengendali teknikal atau sebagai petugas media.

Ini adalah usaha kecil yang saya percaya mampu memberikan impak sekiranya kita semua berganding bahu menggembleng tenaga dalam menaikkan lagi mutu sepaktakraw negara. Ayuh! 

21 April 2014

Lagi pasukan menggunakan Bolarotan sebagai pemangkin semangat!

SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman dari Pekan Nanas adalah satu lagi pasukan yang turut menggunakan logo rasmi Bolarotan di T-shirt rasmi sekolah mereka sebagai tanda sokongan dan semangat memperjuangkan sukan sepaktakraw di negara ini.

Kali ini, SMK DMYS mengenakan warna Hijau Epal yang menampakan ciri kesegaran dan semangat dikalangan pemain mereka. Mereka akan menyertai kejohanan pada esok hari (22 April 2014) di peringkat daerah dan kami di Bolarotan.com mengucapkan selamat maju jaya kepada jurulatih, pembimbing serta semua pemain yang terlibat!


15 April 2014

Trio Impian Kembali!

Alhamdulillah, program pencarian bakat Trio Impian kini memasuki tahu yang kedua. Program yang bermula dengan hanya 3 siri tahun lalu iaitu di Keningau, Bintangor dan Puchong kini bertambah kepada 6 lokasi.
Terimakasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan kerana terus memberikan kepercayaan kepada Bolarotan untuk meneruskan usaha mendidik dan mencari bakat sepaktakraw di seluruh negara pada 2014 ini. 


Tahun ini, Trio Impian akan membuka tirai di Zon Timur iaitu pada 17 hingga 19 April ini di Kompleks Belia dan Sukan Besut. Kali ini Trio Impian turut akan menerima sentuhan pemenang pingat emas iaitu Mohd Futra Abdul Ghani yang juga kini telah kembali berkhidmat di Terengganu. 

Penyertaan dibuka kepada mereka yang berusia 18 tahun dan ke bawah dengan had penyertaan kepada 40 orang terawal sahaja. Dijangka kali ini penyertaan zon timur akan melibatkan Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Krew Trio Impian kali ini akan diketuai oleh Timbalan Presiden MBR iaitu saudara Saiful Azam dan hanya Khairul Faiezin dan Khairuddin Isa akan kekal dari senarai krew tahun lalu bakal mengendalikan program kali ini. Malah kali ini peserta turut akan diuji dalam ujian bertulis bagi Pra dan Pasca program untuk menilai kefahaman mereka terhadap sukan sepaktakraw ini.

Insyallah, esok mereka akan berangkat ke Besut dan marilah kita doakan program ini berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.

Berikut ialah sedutan rakaman Trio Impian Edisi Sarawak tahun lalu untuk rujukan anda yang masih tidak mengenali program ini.