04 May 2014

Siri Kejohanan Bakat Baru MBR - Kampung Geliga Kemaman berjaya laksanakan edisi sulung!

Alhamdulillah, 1 Mei 2014 yang lalu menyaksikan ahli MBR di Kemaman di Kampung Geliga telah menyahut cabaran dalam usaha membangunkan bakat sepaktakraw menerusi program terbaru MBR iaitu Siri Kejohanan Bakat Baru MBR. Usaha keras Ahmad Hazarin, Sadie Ali dan rakan - rakan yang lain telah berjaya membesarkan skala kejohanan ini dengan berusaha mendapatkan tajaan lain seperti hamper dan bola. Ini adalah satu usaha terpuji!

Siri kejohanan ini memberi tumpuan kepada pemain berusia 25 tahun kebawah dan tidak berstatus negeri. Matlamat kejohanan ini adalha untuk merancakkan kejohanan peringkat amatur dan memberi peluang kepada pemain muda mencuba dan menguji kemampuan masing - masing.


Sebanyak 10 regu telah mengambil bahagian dengan format liga dan dibahagi kepada 2 kumpulan. Penyertaan adalah dari kawasan sekitar Kemaman termasuk juga dari Kuantan dan Endau. Sedikit kelonggaran diberikan pada edisi sulung ini yang mana seorang pemain berusia atas 25 tahun layak beraksi dalam setiap regu kerana mengambil kira faktor demografi. Di kawasan berkenaan tidak terlalu ramai pemain berusia di bawah 25. Ini juga bagus dari satu sudut kerana memberi peluang kepada pemain yang lebih berusia menonjolkan ciri kepimpinan dan membimbing adik - adik yang masih kurang pengalaman.



Siri kejohanan sebegini akan diperluaskan ke kawasan lain serata Malaysia. Insyallah Kg Geliga akan menganjurkan siri kedua dalam masa terdekat. Di Ipoh juga dijangka bakal berlangsung pada Jun ini. Setakat ini, sudah beberapa kawasan memberikan maklum balas berminat menganjurkan siri kejohanan ini. Semoga usaha kecil ini akan menjadi besar dengan penyertaan dan penglibatan serta kerjasama dari semua pihak. Insyallah!




No comments:

Post a Comment