09 July 2014

Perlawanan Percubaan Malaysia di MSN Keramat

Saya sempat menonton perlawanan percubaan pasukan sepaktakraw Malaysia dalam siri persediaan mereka ke King Cup 2014 yang dijangka berlangsung pada 3 Ogos ini dan juga persiapan ke Incheon hujung tahun ini. Sebanyak 3 gelanggang dibuka dengan perlawanan melibatkan regu - regu Malaysia menentang regu jemputan yang rata - rata terdiri dari pemain pasukan Bukit Putra dan juga Navy Thailand yang turut membariskan Man Kuda.

Saya mendapat makluman awal dari peminat yang menonton sejak hari pertama mengenai prestasi tidak konsisten pasukan negara dan apabila beberapa footage video yang dikongsikan sebelum ini turut menunjukkan perkara yang sama. Maka saya cuba ke MSN Keramat untuk menonton sendiri apa yang sebenarnya berlaku.

Saya turut dimaklumkan bahawa jemputan kepada pemain - pemain berbakat besar bagi menguji skuad negara ini telah dipanjangkan kepada ramai calon, namun tidak semuanya hadir termasuk 2 tekong hebat negara iaitu Sobey dan Kemong.

Sesampai di sana, saya sempat berbual dengan beberapa penonton dan respon mereka juga agak mengecewakan. Namun saya cuba positifkan minda dan mengambil tempat seorang diri bagi mengelakkan analisis saya dipengaruhi sesiapa.

Berikut adalah sedikit analisis saya berdasarkan pemerhatian tadi,
1. Malaysia -  Norsharudin (Sinchan) , Am MPSJ dan Ariff ATM vs Normanizam , Azmi (Macha) dan Lan Perak
Pada set pertama, regu Malaysia tumpas 9 - 21. Pastinya amat mengejutkan apabila
melihat skor berkenaan. Servis Normanizam banyak menyumbang mata terutama apabila menghala ke Sinchan dan Arif. Hadangan (blocking) dari Lan Perak juga kerap mengundang masalah kepada Sinchan yang masih belum pulih sepenuhnya dan permainan psikologi Macha banyak membantu mereka. Sejujurnya saya merasakan regu ini sukar untuk pergi jauh tambahan dengan Sinchan yang pada hemat saya amat perlu direhatkan dan patut melupakan dulu saingan King Cup kali ini. Servis Am oada set kedua dan ketiga nampaknya lebih baik dan permainan seimbang malah boleh saya katakan gelanggang mereka lebih meriah dengan jeritan, laungan serta sorakan! Perlawanan mereka seronok ditonton.

2. Malaysia - Shahidan Ali , Amy ATM dan Zulhelmi (Cucu Adam) vs Putra Israfil, Dal dan Azri
Servis Dal sering memerangkap lawan dengan slop serta servis padu bersilih ganti, regu KL ini sememangnya sudah serasi kerana mereka sudah berlatih bersama sejak sekian lama.

Shahidan yang semakin tenggelam sejak kebelakangan ini beberapa kali mempamerkan servis padu tetapi secara keseluruhan , saya agak kurang berpuashati kerapna saya pernah saksikan permainan beliau yang jauh lebih baik. Amy dan Cucu Adam agak serasi dan sebagai mana biasa Amy bijak mematikan bola.

3. Malaysia - Shahir Rusdy, Ulo dan Jepun vs Ezzat, Masran dan Nan.
Regu Malaysia ini memerlukan apit kiri yang lebih berpengalaman. Bukan menafikan kemampuan Jepun sebagai apit kiri terbaik MSSM tetapi regu ini tiada pemimpin nampaknya. Kemampuan Ulo memukul bola dari pelbagai kedudukan amat membantu regu ini. Namun kelibat regu senior Ezzat Masran dan Nan dilihat terlalu kuat untuk mereka saingi. Servis Shahir dilihat banyak membantu menyusahkan pihak lawan tetapi banyak juga servisnya terbazir kerana tersangkut atau keluar. Malah Masran dengan selamba membadik sahaja servis Shahir jika bolanya pergi ke side 1. Tabik spring saya pada Nan kerana bagi saya, ketenangan beliau sebagai apit kiri perlu dicontohi oleh pemain muda.
Saya rasa Nan masih relevan untuk berada dalam skuad negara.

Saksikan rakaman yang sempat saya buat dan buatlah analisis sendiri.
Regu Navy Thailand ini yang entah ranking ke berapa di Thailand dilihat sangat liat untuk diratah Malaysia. Bagaimana jika 1st team mereka?

Saya memerhati bentuk komunikasi interpersonal pemain Malaysia, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena. Moral mereka dilihat agak merudum jatuh, daya juang agak kurang. Seolah - olah bagaikan mereka beraksi dalam keadaan tertekan selepas dimarahi seseorang atau ditegur dalam keadaan negatif. Saya mungkin silap, tapi saya dapat rasakan itu.










2 comments:

  1. Seperti komen saya dalam FB, saya rasa perlawanan ujian/simulasi ini tidak menepati objektif utama untuk memberikan sparring sengit kepada skuad negara. Corak permainan regu2 Malaysia masih tak konsisten, kurang motivasi, kurang karekter (kurang serius), nampak sedikit tertekan dan tak mempamer prestasi sebenar (mungkin keletihan di bulan Ramadhan). Harap mereka dapat memperbaiki segala kelemahan yang ada.

    ReplyDelete
    Replies
    1. dan mereka ada 2 lagi siri perlawanan...dalam ramadhan ini...

      Delete