20 March 2015

MSSM 2015 - Selangor dan Negeri Sembilan juara antara regu

Akhirnya MSSM 2015 melabuhkan tirainya. Selain Perak yang menunjukkan prestasi hebat dalam acara berpasukan, Selangor dan Johor turut mencuri tumpuan dalam acara regu. Namun malang buat Johor yang tumpas kepada Selangor dalam saingan separuh akhir dan kesudahannya, Selangor muncul juara berganda dalam acara antara regu bagi kategori U15 dan U18. 

Sabah dan Negeri Sembilan pula bergasak dalam kategori U12 dan permainan konsisten yang ditunjukkan oleh Negeri Sembilan membuahkan hasil dengan muncul juara setelah menang 2-0. Sebelum perlawanan berlangsung, Presiden PESTANS iaitu En. Zamri telah hadir memberikan kata - kata perangsang dan ia berjaya diterjemahkan dengan keputusan hebat, Sabah yang pada hemat saya memiliki kualiti pemain yang baik malangnya tenggelam dengan kegugupan kerana kerap kali melakukan kesilapan mudah.

U18 berlangsung sengit dengan memakan masa 1 jam 30 minit dengan pertembungan Kelantan dan Selangor. Pertahanan Kelantan yang kental serta kemampuan kedua - dua tekong yang setara menyebabkan perlawanan menjadi getir buat kedua - dua regu. 

U15 juga terheret ke set penentuan dengan Tekong dari Kuala Lumpur yang khabarnya pelajar dari Melaka menunjukkan mutu permainan yang baik dan sangat mempengaruhi tempo permainan. Tekong Selangor pula hilang rentak pada set kedua namun berjaya di imbangi oleh kedua - dua apit mereka. Selangor menang dengan 2-1

Saksikan rakaman yang dapat kami titipkan untuk anda semua.




15 March 2015

Sepaktakraw MSSM 2015 - Selangor sebagai tuan rumah

Platform tertinggi pelajar sekolah seluruh Malaysia menunjukkan bakat dalam sepaktakraw muncul lagi. MSSM merupakan kemuncak prestasi pelajar sekolah rendah dan menengah menunjukkan bakat mereka. Biasanya, pelajar - pelajar yang terpilih ke peringkat MSSM ialah nama besar di sekolah masing - masing tanpa mengira jenis sukan. Pihak sekolah biasanya akan memberikan perhatian istimewa kepada pelajar yang berjaya membawa nama sekolah ke peringkat kebangsaan. 

Tahun ini, bermula 15 Mac hingga 19 Mac 2015 bertempat di Dewan SUK Shah Alam pelajar - pelajar dari seluruh negara akan bersaing di dalam dua acara iaitu Berpasukan dan Antara Regu. Dari MSSM ini jugalah kebanyakan pemain negara yang beraksi kini mendapat perhatian tinggi seperti Syahir Rosdi yang kini merupakan bintang yang kian bersinar di persada sepaktakraw dunia.

Berikut ialah jadual perlawanan buat rujukan peminat semua. Insya Allah Bolarotan akan cuba mendapatkan berita dan video perlawanan penting dan maklumat terkini turut di muat naik oleh ahli MBR yang berada di lokasi sepanjang kejohanan berlangsung.








13 March 2015

Bengkel Kepengadilan Sepaktakraw Tahap 1 JBSKL - MBR 2015

Assalamualaikumm wbt
Dengan izin Allah Yang Maha Berkuasa, akhirnya kita semua diberikan kekuatan unutk mengusahakan penambahbaikan terhadap sukan sepaktakraw yang kita sayangi ini. Syukur ke hadrat Allah kerana telah memudahkan laluan kerjasama MBR dan Jabatan Belia Dan Sukan WPKL dengan kerjasama penganjuran Bengkel Kepengadilan Sepaktakraw Tahap 1 ini yang bakal menemui anda pada 21 Mac 2015.

Program yang akan berlangsung di Bukit Kiara ini hanya terhad kepada 30 orang sahaja yang mana setiap yang hadir ini akan berpeluang menjadi pengadil MBR bagi kejohanan kendalian MBR di serata Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila tonton video promo ini atau boleh berhubung lanjut dengan Pengarah Projek iaitu En. Mohd Zaidi di talian 017 - 355 0185.


06 March 2015

Siri Jelajah Gelanggang - Balai Polis Durian Tunggal Melaka



Setelah ke Alai, saya sempat singgah ke satu gelanggang yang penting di Melaka, di mana ia adalah gelanggang latihan kelab terkuat di Melaka iaitu Bentara. Bentara bukan calang - calang kelab sepaktakraw Malaysia ini. Mereka ke serata negara malah pernah ke UK untuk menyertai pertandingan di sana. 

Ketibaan saya di sambut oleh hujan, namun hati ini kuat mengatakan yang hujan akan berhenti dan Alhamdulillah telahan saya benar. Dengan cepat saya menukar pakaian di dalam kereta dan menuju ke arah gelanggang ... dan satu wajah yang sangat saya cam berada di gelanggang sambil menyapu air bertakung. Beliau ialah Bonen atau lebih kenali sebagai Atok dikalangan pemain muda di Melaka.

Terimakasih kepada sahabat MBR MatFeed Mat yang sudi menjemput saya ke gelanggang ini. 

Meskipun gelanggang agak licin, kami belasah juga. Lebih kurang 10 orang yang hadir petang itu dan kami dapat bergasak hampir 7 set. Ini adalah kerana mereka menggunakan sistem kiraan 15 mata. Merasa juga saya berentap dengan tekong utama Bentara iaitu Rafizi Panjang. Saksikan sedikit rakaman video ini.


Siri Jelajah Gelanggang - Alai Melaka

Abu Naim (dua dari kiri berdiri)


Antara ahli MBR yang awal saya kenal ialah seorang kakitangan LPPKN iaitu saudara Amzar Emma. Tekong kuda ini kerap beraksi di Alai Melaka. Beberapa tahun lalu, beliau ada membawa saya ke gelanggang Balik Hutan dan pernah memaklumkan kepada saya mengenai gelanggang di Alai ini. Meskipun Allahyarham ayahanda saya berasal dari Melaka, tetapi saya sememangnya kurang cekap dengan jalan - jalan di Melaka. 

Kelmarin ketika saya di Melaka, seorang lagi sahabat MBR yang telah membawa MBR ke Madinah iaitu Abu Naim telah mempelawa saya ke gelanggang Baruh Alai Melaka. Mujur program saya habis awal, maka beliau datang menjemput dengan menaiki motorsikal (bimbang jalanraya sesak diwaktu puncak) dan kami ke Baruh Alai.

Kali pertama saya ke Alai, rupanya gelanggang ini terletak sangat berhampiran dengan kediaman Presiden PASTAM iaitu En. Akramuddin. Kami lalu dihadapan rumahnya dan saya ternampak kelibat beliau duduk di meja batu. Kali pertama melihat beliau di hadapan mata di mana sebelum ini hanya di suratkhabar saja.

Tiba di gelanggang, kira - kira 10 orang sudah ada dengan masing - masing giat menimang bola - satu perkara yang sangat bagus! Kebanyakan mereka berusia di bawah 25 tahun. Sempat juga saya bergasak 2 set dan En. Akram juga sempat singgah ke gelanggang dan bertegur sapa dengan saya.

Saksikan rakaman video ini. Terimakasih kepada warga Baruh Alai kerana sudi menerima kehadiran saya bagi SJG Melaka.