24 April 2015

ISTAF Super Series Korea - Malaysia vs Myanmar

Perlawanan kedua ISS Korea Selatan untuk pasukan Malaysia selepas menundukkan China dengan 2-0 ialah menentang Myanmar. Myanmar yang sebelum ini agak kurang konsisten penyertaannya dalam ISS kali ini datang dengan reputasi berbeza kerana menyenaraikan pemain muda dengan pemain termuda dalam sejarah ISS iaitu apit kirinya yang hanya berusia 16 tahun. 


Malaysia sebelum ini pernah tewas kepada Myanmar dalam perlawanan ujian di MSN Keramat 2 tahun lalu kini berjaya menumpaskan regu muda Myanmar dengan 2-0. Berikut antara analisis saya mengenai perlawanan menentang Myanmar.

1. Hazizi membuktikan bahawa dia layak menggalas tugas sebagai tekong utama. Dengan reputasi cemerlang di STL, Hazizi menunjukkan kemampuan servis konsisten pelbagai sisi dan pada set pertama sahaja, 4 mata dipungut dari servis drop kepada apit kiri Myanmar. Selain itu, ketenangan Hazizi mengambil 1st ball wajar menerima pujian kerana bacaan beliau ke atas servis tekong Myanmar Aung Kyow yang banyak ke sisi 3 sangat membantu Zul menyusun bola untuk Zamree melakukan libasan. Pada set kedua beberapa kali masalah batal mula mengganggu rentak beliau namun sempat juga dia melakukan satu libasan yang baik.

2. Zamree @ Ulo memainkan peranan sebagai pemain berpengalaman dengan 1st ball yang baik serta libasan yang sering membuahkan mata. Meski hantaran Zul dan Hazizi kadangkala ke tengah gelanggang tetapi Ulo cekap mematikan bola dengan libasan bervariasi. Sebelum kejohanan bermula ramai juga yang menyuarakan kebimbangan kemampuan Ulo malah membandingkan dia dengan Hanapiah. Nyatanya pemain kelahiran Johor ini tidak mengecewakan. Lambungan bola beliau kepada Hazizi juga baik. Set kedua agak berbeza dengan beberapa kali libasan Zamree tersangkut dan terkeluar malah dia juga kelihatan seperti agak sedikit kepenatan. Ini mungkin juga berkaitan dengan hantaran yang agak kurang konsisten diterima olehnya untuk melakukan libasan.

3. Zul @ Cucu Adam nyata gementar pada awal perlawanan. Dia harus bersyukur kerana serangan servis Aung Kyow kurang ke arahnya. 1st ball Hazizi banyak membantu beliau melakukan hantaran kepada Ulo. Libasan lemah pada set pertama yang dilakukan sendiri pada set pertama menonjolkan kegugupan beliau. Mungkin ini ialah kejohanan besar pertama yang tiada pula pemain apit kiri gantian dan pastinya ia memberikan tekanan. Saya khuatir keadaan ini berlanjutan dan Malaysia layak ke akhir bertemu Thai, Kamchan pastinya akan bertubi - tubi meledakkan servis ke arah Zul.
Zul perlu lebih yakin mempelbagaikan hantaran  bagi mengelakkan pihak lawan mudah mengagak sasaran libasan Ulo.

Saya berharap perlawanan seterusnya Malaysia akan semakin mantap dan yakin. Semoga ISS Korea kali ini turut menjadi milik Malaysia!


No comments:

Post a Comment