21 June 2016

Liga Air Di Cincang Takkan Putus (ADTP) Edisi Ramadhan 2016 - Balai Polis Kelana Jaya (KJTT)

Alhamdulillah, Ramadhan 2016 sekali lagi menemukan kita dengan ruang ibadah yang memiliki pulangan berlipat ganda. Sebagaimana biasa, MBR akan menjalankan siri Liga ADTP edisi Ramadhan dan sekaligus membuat kutipan bagi golongan yang memerlukan. 



Kali ini, kutipan sumbangan dari peserta ADTP di halakan ke School of Tahfiz & Arabic Malaysia yang terletak di Bandar Baru Bangi. Alhamdulillah jumlah kutipan yang berjaya dibuat ialah sebanyak RM300.

KJTT bukanlah satu kelab yang asing lagi kepada penggiat sepaktakraw Lembah Klang. Mereka kerap menyertai pelbagai peringkat kejohanan dan pemain mereka juga agak ramai. KJTT juga pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pemain pilihan STL tahun lalu. Terdiri dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang kerjaya, KJTT turut menghimpunkan pelbagai latar kemampuan pemain antaranya ialah bekas tekong negara dari Terengganu iaitu Nasir Manjur turut menjadi tulang belakang KJTT.

Untuk ADTP kali ini, sebanyak 10 regu berjaya dibentuk dan format permain kalah mati dipilih kerana hanya terdapat satu gelanggang sahaja. Kaedah permainan pula dibuat dengan format Redbull Libas 2016 dan nyatanya, kesemua pemain memberikan reaksi positif dengan format baru ini.

Sebagaimana biasa, hadiah ADTP ialah berupa barangan dapur namun kali ini, KJTT bermurah hati untuk menaja hadiah wang tunai kepada pemain. 

Berikut ialah foto yang sempat saya rakamkan

Regu finalis

Pengadil pilihan - Bachok

Pengadil pilihan - Cikgu

Semifinalis

Semifinalis

Naib Juara

Regu Juara

Pemain terbaik

Pemain terbaik

Pemain terbaik

Poknik Awe menerima wang sumbangan bagi pihak MBR yang disampaikan oleh Tuan Manager KJTT 

Saksikan rakaman video kejohanan ini.  Terimakasih atas sokongan anda semua

 

13 June 2016

Siri Jelajah Gelanggang - Jengka 14 Pahang

Salam Ramadhan Al Mubarak buat semua ahli MBR.
Entri kali ini ialah mengenai Siri Jelajah Gelanggang di negeri Pahang dan kali ini ke Jengka 14.
Mendapat pelawaan dari Chef Khai yang turut menemani saya semasa SJG di Tekam, saya tidak melepaskan peluang ke gelanggang yang dah beberapa kali muncul di FB MBR.


Setiba di lokasi, kelihatan beberapa adik - adik sekolah rendah dan menengah sudah mula bermain. Sedikit demi sedikit gelanggang mula dipenuhi orang dan aksi kian rancak. Adik - adik di bawah usia 18 tahun di sini nampaknya dibimbing dengan baik oleh warga Jengka 14. Saya turut terpandang logo AYP di tshirt yang mereka pakai dan tertanya - tanya apakah AYP itu? Rupa - rupanya AYP ialah ATAN YANG PUNYA - Sebuah syarikat kontraktor milik orang kuat gelanggang ini. Memang cool nama syarikatnya!

Rezeki turut menemukan semula saya dengan sahabat lama Cikgu Razman yang tinggal di Jengka 10 tetapi menjadikan Jengka 14 sebagai gelanggang utama, Beliau dulu beraksi di gelanggang Pandan Perdana.

Lebih menarik kali ini, Chef Khai turut menyediakan juadah istimewa untuk saya iaitu Pais Patin, Patin Tempoyak dan Sambal Hitam! Malah siap diberikan pula cenderamata untuk MBR. Terharu saya dibuatnya!



Saksikan rakaman penuh SJG kali ini!


02 June 2016

Siri Jelajah Gelanggang - Felda Residence Tekam

Alhamdulillah..
Setelah sekian lama Siri Jelajah Gelanggang dijemput ke Pahang, akhirnya saya berjaya juga menjejakkan kaki ke sana. Sambil bertugas mengendalikan siri induksi untuk kakitangan FELCRA, sempat saya melaksanakan 2 SJG dan yang untuk pertamanya, di lokasi saya berprogram iaitu di FELDA TEKAM Residence.

Ketika saya memandu masuk, tersergam 3 gelanggang redup lengkap berjaring dengan dikelilingi pagar dan bukit. Pastinya ini satu keadaan yang amat ideal untuk sebuah gelanggang! Namun melihat dari keadaan gelanggang, saya merasakan yang gelanggang ini sudah kurang aktif.


Setelah memuatnaik foto di atas di Facebook MBR, beberapa orang sahabat MBR memberikan respon dan di antaranya ialah Chef Khai. Beliau yang menetap di Jengka 14 turut turun menemani saya ketika SJG berlangsung.


Petang itu, ngam - ngam 2 regu saja yang turun beraksi. Maka puaslah kami bergasak pada petang itu. Mula - mula mereka malu - malu namun setelah badan panas, kedua - dua apit kanan mula menunjukkan taring mereka!

Saya merasakan gelanggang ini sangat menarik sebagai lokasi kejohanan. Saya berazam untuk mendekat FELDA bagi menganjurkan aktiviti di gelanggang ini kelak sama ada dalam bentuk kejohanan atau klinik sepaktakraw. Doakan ia jadi kenyataan!

Saksikan rangkuman rakaman dalam SJG kali ini