03 October 2016

MBSA C menepati ramalan Bolarotan.com!



Sejak awal melihat senarai pemain dan keputusan semasa di Paroi, Bolarotan sudah melihat bahawa MBSA C mempunyai peluang yang sangat cerah. Ramalan ini dibuat apabila melihat satu demi satu pasukan dengan pemain hebat mula gugur di setiap pusingan. Malah, berkali - kali saya sebutkan kepada Farid Abdul Aziz atau Dal bahawa saya sangat merasakan mereka bakal juara kali ini. Kenapa saya membuat keputusan begitu?
1. Prestasi semasa Dal, Amirul dan Anip sememangnya ditahap terbaik. Segar dengan kemenangan GP, Piala Emas dan MPSJ Open meletakkan Dal sebagai tekong paling hebat buat masa ini.
2. Anip telah menunjukkan peningkatan prestasi mendadak. Berdasarkan pengamatan saya sebelum ini, Anip semakin baik dalam kawalan gelanggang dan bacaan pukulan dan servis dari pihak lawan.
3. Amirul pula sudah sangat serasi dengan regu ini. Libasan Amirul yang tidak perlu dipertikaikan lagi amat berpadanan dengan format 3 kali servis.






Namun, regu MPSJ juga bukan calang - calang. Dek Mi yang mulanya dilihat paling kurang pengalaman membuktikan sebaliknya. Tetapi mudah untuk kita melihat riak wajahnya yang agak tertekan. Lau yang sangat konsisten persembahannya pula kali ini agak kurang menyengat dengan servis - servis padu berbanding dipusingan awal. 

Apapun, kedua - dua regu telah menunjukkan persembahan hebat. Saya secara peribadi meletakkan perlawanan tadi setaraf dengan perlawanan akhir regu PESTANS v MBMB beberapa tahun lalu di The Curve.

 

Untuk kategori U16 pula, dominasi Warisan Mutiara Impian nampaknya berterusan. Pengalaman bermain diperingkat tinggi membolehkan mereka lebih tenang mengawal rentak permainan. Namun usaha Parlimen Kuala Pilah harus dipuji dan mereka beruntuk kerana YB Hassan Malek sanggup hadir dari awal pagi dan menunggu bersama - sama sehingga akhir kejohanan.

Sempat juga selfie dengan YB, sporting orangnya



























Melaka pula mengekalkan status hebat mereka apabila menjuarai U14. Untuk 4 tahun berturut - turut mereka di pentas akhir dan Naqib menunjukkan bahawa dia adalah permata negara yang perlu diberi perhatian. Tahniah juga kepada PLN Perlis yang buat pertama kali layak ke akhir. Gerakan pembangunan di Perlis perlu diperkuat dan anasir  - anasir buruk di komuniti sepaktakraw Perlis perlu diuruskan segera bagi memastikan pembangunan tidak terencat.

















U12 menyaksikan Pahang kini kembali dibibir peminat. Selepas era Iskandar Arshad dan Suhaimi Abdul Rahman, Pahang bagai tenggelam dan sehinggalah muncul Anas Muhaimin, Pahang mula bangkit. Barisan pemain cilik Pahang ini adalah petanda bahawa guru - guru dan pembimbing sepaktakraw tempatan di Pahang tidak pernah lena dan melupakan sepaktakraw. Ayuh Pahang bangkitlah!



















Terimakasih kepada semua penaja yang terlibat, kepada pengurusan Utusan Melayu, saya rasakan sudah tiba masanya Utusan mempertimbangkan semula kerjasama KFC-Utusan dengan PSM. Sejak dari majlis pelancaran hinggalah perlawanan akhir, tiada seorang pun kepimpinan tertinggi PSM hadir untuk menunjukkan sokongan meskipun terpampang logo PSM yang kononnya menyokong acara ini. Tiada alasan logik yang boleh diterima untuk mereka gagal menghantar sebarang wakil ke acara ini. Kalau Bos Gajah Emas dari utara pun sanggup hadir jauh dari utara petang tadi, takkanlah seorang pun pegawai PSM tak mampu tunjuk muka. Hmm..entahlah..

Terimakasih juga kepada pihak RTM yang sudi menerima cadangan Puan Hazura untuk menggandingkan saya dengan pengulas sukan yang semakin meningkat naik iaitu Azlan Mubin. Pengalaman kali pertama ini akan saya semat di dalam hati.

Bersama Azlan Mubin dalam bilik 'rahsia' kami tadi

Semoga kita bertemu lagi dalam siaran akan datang. Salah silap dari Bolarotan kami mohon sejuta kemaafan.

 

No comments:

Post a Comment