06 August 2017

LIGA PERANGSANG SELANGOR JADI KENYATAAN!

Alhamdulillah, syukur kami ke hadrat Allah kerana diberikan keizinan untuk meneruskan usaha memartabatkan sukan sepaktakraw di dunia ini. Satu demi satu aktiviti sepaktakraw semakin rancak dan ini membayangkan sepaktakraw akan terus subur dengan izin Yang Maha Kuasa.



Kumpulan Perangsang Selangor Berhad masih meletakkan kepercayaan kepada Bolarotan untuk terus meneraju usaha pembangunan sepaktakraw di Selangor ini. Terkini, Trio Impian Liga Perangsang Selangor telah membuka tirainya dengan Daerah Petaling sekali lagi menjadi daerah pertama yang melangsungkan program ini. Jika tahun lalu di Dewan Kiambang Shah Alam, kali ini masih lagi di Shah Alam dan Sekolah Sukan Negeri Seksyen 11 menjadi lokasi.

Penyelaras bagi edisi kali ini untuk daerah Petaling ialah Awalludin Syah dari Kinrara Takraw Frenz. Beliau juga adalah penyelaras daerah Petaling bagi Trio Impian edisi sulung dahulu. Program ini turut mendapat tajaan peralatan dari pengeluar peralatan sepaktakraw ulung aitu Gajah Emas.

Untuk edisi kali ini, tumpuan Trio Impian ialah memastikan gelanggang - gelanggang di setiap daerah aktif dan berusaha membangunkan pasukan mereka bagi menghadapi pelbagai kejohanan yang terhidang disepanjang kalendar 2017 ini. Bagi program 2 hari kali ini, setiap daerah akan menjalankan pertandingan dengan format liga yang mana ia terbahagi kepada kategori remaja dan terbuka. 

Taklimat kejohanan dari Pengerusi Pengadil - En. Syarudin Nazir

Aksi tekong juara - Libau



Liga Perangsang Selangor ini bertujuan memberikan ruang kepada pemain sepaktakraw yang aktif menunjukkan bakat mereka setelah melalui Trio Impian fasa 1 dahulu, Selain itu, plaform ini turut memberikan ruang kepada mereka yang terlepas program terdahulu untuk berada di dalam radar Bolarotan terutamanya untuk mereka yang berpotensi dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Bagi kategori U18 yang berlangsung tadi, regu dari SMK Seksyen 11 menepati ramalan untuk muncul juara apabila berjaya mengalahkan regu dari Petaling Perdana A. Persaingan hebat terutamanya dari 2 tekong - Libau dan Arvin menghangatkan suasana. 

Regu juara SMK Seksyen 11 F menerima hadiah yang disampaikan oleh En. Saiful Azam selaku Timbalan Presiden MBR


Sebanyak 23 regu telah mengambil bahagin tadi dari peserta semuda 13 tahun sehingga 18 tahun. Ini merupakan petanda positif bahawa program ini mendapat sambutan yang baik dan diharapkan ia akan berterusan ke program yang seterusnya.

Lebih banyak foto dan video pertandingan yang berlangsung tadi boleh di dapati di link ini

1 comment:

  1. Oh wow. Such young participants and soo professional. Hats off to them. I say their moves they are incredible. May they get more success in future

    ReplyDelete