28 September 2017

Kejohanan Sepaktakraw Utusan 2017 bermula hari ini!

Alhamdulillah, dalam pelbagai cabaran yang dihadapi bagi memastikan kejohanan sepaktakraw terbesar di dunia ini menjadi realiti, kami krew yang terlibat mampu terseyum lebar pagi ini. Kami ketepikan dulu semua sentimen yang ada kerana ia akan hanya diulas dan dicanai selepas kejohanan ini berlangsung.









Hari pertama bermula seperti yang direncanakan. Perlawanan dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada majlis perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kumpulan Utusan. Di acara pelancaran itu juga, salah seorang ahli tegar MBR iaitu En. Suhairi Aziz yang juga merupakan jurulatih Sekolah Sukan Negeri Perak Gunung Rapat telah diberikan anugerah Ikon Kejohanan Sepaktakraw Utusan 2017. Anugerah ini diberikan atas sumbangan beliau terhadap kejohanan ini dengan penyertaan konsisten serta hasil pembangunan bakat yang diusahakan oleh pasukan jurulatih beliau.

Hujan lebat turut menziarahi kami dan kesannya, perlawanan tumpuan untuk siaran langsung iaitu pertembungan SSN Perak dan SSN Pulau Pinang bagi kategori U16 terpaksa ditangguhkan.

Saksikan beberapa rakaman aksi yang kami sediakan untuk anda semua. Lebih video boleh disaksikan di Facebook Bolarotan atau di Bolarotan TV.


19 September 2017

Trio Impian Liga Perangsang Selangor 2017 - Daerah Klang

Alhamdulillah, selesai edisi kedua Trio Impian Liga Perangsang Selangor 2017 Daerah Klang yang berlangsung hebat di Kompleks Rakan Muda Klang pada 16 - 17 September 2017 yang lalu,
Sejujurnya, kami di pihak pengurusan Bolarotan amat berpuashati dengan kelancaran program, komitmen tenaga kerja, persembahan pemain dan sokongan pengurus dan keluarga mereka yang terlibat.

Peserta hari pertama


Peserta hari kedua

Dengan hampir 200 orang terlibat secara rasmi, program yang bermula 15 September 2017 iaitu Bengkel Kepengadilan MBR nampaknya membuahkan hasil yang baik. Dengan jumlah tontonan siaran langsung yang mencecah lebih 5000 bagi setiap perlawanan memberikan isyarat bahawa sepaktakraw tetap mempunyai peminat meskipun acara ini tidaklah membariskan nama besar pemain dunia.

Pujian wajar diberikan kepada Naib Presiden MBR iaitu En. Syarudin Nazir yang berusaha keras sejak awal Julai bagi merealisasikan program ini sekaligus menjadikan Trio Impian Klang sebagai penanda aras untuk dicontohi oleh 8 daerah yang lain.


Keberanian En. Mohd Fauzi Mohd Nasir menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Projek juga perlu dipuji kerana ini bukanlah tugas mudah. Bantuan dari ahli MBR Klang juga amat dihargai kerana program ini berjalan lancar seperti dijadualkan sehingga ke akhirnya.



Tahniah kepada semua yang terlibat dan terimakasih yang tidak terhingga kepada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang menyokong usaha kami ini dan menjadikan impian kami ini satu realiti!

Edisi ketiga bakal berlangsung di Dewan Orang Ramai Serin Cyberjaya untuk Daerah Sepang pada 23 - 24 September ini. Ikuti perkembanganya di Facebook Bolarotan.