17 January 2018

SUHAIRI SULAIMAN - DUTA BOLAROTAN

Alhamdulillah, satu lagi langkah positif telah diambil oleh Bolarotan bagi memartabatkan lagi sukan sepaktakraw ini iaitu dengan perlantikan Suhairi Sulaiman, selaku pemain negara sebagai Duta Bolarotan. 


Lantikan sebagai Duta Bolarotan dilihat amat bertepatan kerana profil hebat yang dimiliki oleh anak muda yang berasal dari Kuala Pilah ini. Seawal usia 11 tahun, dia sudah pun mewakili Negeri Sembilan di mana SK Senaling adalah tapak pertamanya untuk ke MSSM dan sejak itu, beliau tidak menoleh kebelakang lagi.

Lebih dikenali sebagai Ceri, beliau pernah bersekolah di SMK Tunu Ampuan Durah sebelum diserap ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSTMI) dan kariernya sebagai pemain sepaktakraw semakin menyerlah. 

Hebat di semua posisi, pemain yang tenang dan murah dengan senyuman meletakkan beliau berada di statusnya yang tersendiri. Aksi hebatnya dikesan ramai orang apabila bergandingan dengan tekong emas negara - Normanizam dan killer sensasi Khairol Zaman ketika di Kejohanan Sepaktakraw KFC-Utusan yang berlangsung di Pasir Gudang di mana regu mereka muncul juara.

Mewakili negara ke Sukan SEA dan King Cup, Suhairi adalah antara yang bersinar di mana beliau mewakili negara dalam semua acara - berpasukan, regu dan Quadrant. Malah dia juga pernah berada dalam skuad Chin Lone Malaysia sebelum ini.

Tanggungjawab Suhairi sebagai duta Bolarotan adalah untuk melakukan promosi penggalakan sukan sepaktakraw diperingkat akar umbi, selain berkongsi pengetahuan dan pengalaman sebagai pemain sepaktakraw profesional untuk ditiru oleh peminat sepaktakraw seluruh negara. 

Selain beraksi dalam sukan ini, Suhairi juga adalah contoh yang perlu diteladani kerana beliau adalah penuntut di UPM dan ini membuktikan bahawa beliau bijak mengimbangi karier dan pelajaran.

Mulai hari ini, program Siri Jelajah Gelanggang Bolarotan akan membawa Suhairi ke gelanggang yang dikenalpasti iuntuk sesi bersama peminat sepaktakraw dan meneroka potensi baru dalam sukan tradisi negara ini.

Lokasi pertama bagi program ini ialah Balai Raya Salak Tinggi.

Semua foto dan video program boleh dilihat di Facebook rasmi Bolarotan dan juga di akaun Instagram suhairisulaiman20.

Mahu gelanggang anda menjadi salah satu destinasi kami?

02 January 2018

Kursus Asas Kepengadilan MBR 2017

Alhamdulillah, penamat 2017 berjaya disudahi dengan MBR menganjurkan kursus pengadil yang tertangguh agak lama. Ini merupakan siri ketiga kursus pengadil MBR dan kali ini acara berlangsung dengan lebih lancar hasil dari bantuan dana Penggerak Belia Tempatan Zon 7 Majlis Perbandaran Kajang.


Berlangsung pada 31 Disember 2017 sejak 9 pagi, program yang dikendalikan perjalanannya oleh ahli - ahli MBR di Taman Impian Ehsan khususnya oleh Eddie Jr. a.k.a Jambu dan Taiko Balakong ini telah dibuka majlisnya oleh mantan ketua unit pengadilan MBR iaitu Bro Joy. Sesi berikutnya dikendalikan oleh Setiausaha Agong MBR iaitu Cikgu Din berkaitan aspek perundangan dan peraturan permainan. Sesi seterusnya pula disambung oleh Man Tebang / Man Jalut yang juga merupaka Marshall Kejohanan Sepaktakraw Utusan yang lebih memberikan penekanan mengenai aspek teknikal kepengadilan.






Sesi petang pula, mini tournament dijalankan bagi memberikan peserta pengalaman sebenar perjalanan kejohanan. Seramai 18 orang yang  terlibat kali ini dan mereka akan melalui sesi praktikum sebelum layak diangkat sebagai pengadil rasmi MBR di mana praktikum akan berlangsung di UPM pada 13 Januari 2018 nanti.

Semoga program sebegini akan dapat diteruskan di masa akan datang dan lebih ramai lagi pengadil dapat dihasilkan bagi menampung permintaan kejohanan yang mendadak naik jumlahnya.










Terimakasih kepada semua yang terlibat dan selamat maju jaya!